Friday, October 20, 2006

 

MENONGKAH ARUS

Termasuk hari ini tinggal empat hari lagi menjelang aidil fitri. Hari ini aku akan pulang ke Seremban. Seperti lazimnya setiap hari Jumaat, majlis membudayakan Al-Quran dimulakan jam 8.00 pagi. Kehadiran staf tidak begitu ramai, pastinya ramai yang sudah bercuti rehat. Aku juga mengambil cuti yang agak panjang, terutama kerana cuti rehatku masih banyak berbaki. Tetapi seperti selalunya, kebenaran bercuti akan ditarik balik apabila ada sesuatu tugas penting dan urgent yang memerlukan tindakanku.

Aku tidak pasti bagaimana keadaan lalu lintas di jalan raya pada hari ini. Yang pasti tentulah kesibukannya melebihi keadaan biasa. Namun aku berdoa semoga perjalanannya permudahkan Allah, terhindar daripada segala halangan, rintangan, kesusahan dan kemalangan. Kelmarin Izwan turun ke Johor Bahru untuk menemani aku pulang hari ini. Turut bersama pulang ke Seremban ialah Ilia dari Pasir Gudang.

Aku merancang untuk bertolak pulang kira-kiran jam 2.30 petang dari Pasir Gudang. Kerana perlu mengambil kuih yang dipesan daripada seorang teman, aku akan singgah di rumah teman itu di Parit Kuda, Batu Pahat. Dalam keadaan demikian, aku tidak pasti jam berapa akan sampai Seremban. Lebih-lebih lagi teman tersebut beria-ia sangat mengajakku berbuka puasa di rumahnya. Kalau sudah berbuka puasa dahulu, maknanya perjalanan akan menjadi bertambah lambat. Tetapi tak apalah, mungkin pada ketika itu jalan raya sudah tidak sibuk lagi. Ingat, pandu cermat jiwa selamat. Syaratnya, orang lain juga perlu pandu cermat. Berhati-haati di jalan raya.

Menjelang hari raya, aku terkenang tentang kerja-kerja yang aku lakukan kini. Dalam diam tak diam, aku sudah bergelumang dengan tugas-tugas memelihara warisan budaya ini selama hampir tujuh tahun. Aku tidak pernah terbayang bahawa selepas aku bersara wajib daripada perkhidmatan awam sewaktu usiaku 55 tahun p[ada bulan awal Januari 2000, aku diminta menyambung tugas ini secara konttrak di Johor. Kalau tidak, apakah agaknya yang aku lakukan? Barangkali aku akan sekadar duduk di raumah - tidur, bangun, baca surat khabar dan makan. Sekali sekala pada waktu petang berborak dengan kawan-kawan. Aduhai, betapa bosannya ... Aku bersyukur, aku masih terus aktif bekerja. Terima kasih Kerajaan Negeri Johor.

Sajak di bawah ini sedikit sebanyak menggambarkan apa yang aku lakukan kini. Namun aku merasa amat bahagia, puas dan selesa, walaupun cabaran sentiasa mendesak menduga.

MENONGKAH ARUS

Semua orang berperahu ke hilir
Pantas dibawa derasnya air mengalir
Sorakan sokongan gemuruh di pinggiran
Pengayuh di tangan sekadar perhiasan
Usah risau rintangan halangan
Sambutan meriah menanti di pangkalan.

Sedang aku berpeluh berkayuh ke hulu
Menongkah arus menyongsang angin
Bergerak sendiri memelihara tradisi
Mengutip tinggalan warisan yang tercicir
Jangan sampai aku tewas dan tergelincir
Dibawa derasnya air menerjah lubuk hati
Hingga terdampar terkulai di pantai
Bersatu bersama bangkai.

Thursday, October 19, 2006

 

HARAPAN

HARAPAN
(Untuk Khaledatul Izza)


Apabila nanti sampai ketikanya
Kau dewasa harus dalam perkasa
Angin global memerangkap alpa
Jika kau tidak peduli mahalnya usia
Yang hilang tanpa rancang dan usaha
Kau jadi sehelai daun layu
Terbang entah ke mana hala tuju.

Maka kau harus kuat
Terokai dunia timur dan barat
Dengan ilmu dan kudrat
Dengan fikir tajam makrifat
Bukan sekadar tulang empat kerat

Menyimpan kesal tidak bertempat.

Jati diri mengakar umbi
Iman kuat dan teguh
Menjadi benteng peribadi

Kau tidak tersungkur jatuh.

Isbiha




Wednesday, October 18, 2006

 

JEREBU, TSUNAMI DAN RAMADAN

Indeks kualiti udara semalam menunjukkan bahawa Johor Bahru merupakan kawasan paling buruk diakibatkan oleh jerebu. Sejak dua tiga bulan kebelakangan ini, Malaysia merupakan antara negara yang terjejas teruk akibat jerebu disebabkan oleh pembakaran terbuka di Indonesia, sehinggakan satu mesyuarat peringkat Asean diadakan baru-baru ini bagi membincangkan bagaimana menangani masalah tersebut. Siapa mahu dipersalahkan? Pihak kerajaan Indonesia sudah mengeluarkan pernyataan minta maaf kepada negara-negara jirannya, tetapi adakah cukup sekadar meminta maaf? Saban tahun masalah yang sama berulang kembali.

Kita bernasib baik kerana negara kita setakat ini dipelihara Allah daripada menerima bencana alam yang lebih dahsyat seperti gempa bumi, ribut taufan, banjir besar, tsunami menggunung dan sebagainya. Kalau ada pun, kehadiran musibah ini sekadar sebagai peringatan awal Allah. Kalau dibandingkan dengan pengurusan manusia dalam organisasi, sifatnya sekadar memberi amaran secara lisan, belum sampai ke peringkat amaran bertulis, atau potong gaji, atau tahan kenaikan gaji, atau gantung kerja, atau tahan kerja, atau malah buang kerja. Oleh itu, kita harus sering beringat tentang janji Allah itu, iaitu manusia mendapat apa yang mereka kerjakan. Ingatlah bahawa kehadiran manusia di dunia ini adalah untuk memakmurkan bumi Allah ini, bukan menjahnamkannya dengan kerosakan, kemusnahan dan kemungkaran.

Pada bulan Ramadan ini, jadikanlah kehadirannya sebagai peluang untuk kita mengucap syukur dan terima kasih kepada Allah. Selain sebulan berpuasa, marilah kita hayati sesungguh-sungguhnya tujuan sebenar kita diwajibkan berpuasa Ramadan. Kita selalu kena ingat bahawa Ramadan bukan bulan menjamu selera hinggakan wujud pelbagai Bazar Ramadan di merata tempat seluruh negara. Kita selalu kena ingat bahawa Ramadan bukan bulan membazirkan harta, hingga kita sanggup berbelanja besar menyediakan juadah berbuka yang akhirnya tidak lalu dimakan lagi kerana basi atau perut sudah penuh. Kita selalu kena ingat Ramadan bukan bulan kita mengaut keutunngan segera yang berganda dengan menaikkan harga barangan yang kita jual itu tidak berpada. Kita kena selalu ingat bahawa Ramadan bukan bulan pesta, berbuka di hotel-hotel besar yang menyediakan sajian yang mahal berserta hiburan muzik yang berpanjangan. Ingatlah, Ramadan adalah bulan sebaliknya ...

Jangan biarkan Allah murka kerana kelalaian kita itu dan diturunkan kepada kita bencana yang membawa derita. Apa yang kita mahukan ialah perlindungan dan keberkatan daripada Allah. Dalam fikir dan renung, dalam timbang dan hitung, dalam sedar dan menung, aku sering teringat betapa Allah banyak kali menduga kita, antaranya tanpa kita jangka, Allah menghantar tsunami ke negara kita awal tahun lepas. Bayangkan, dalam sekelip mata, penderitaan datang menerpa, sedang di negara-negara jiran kesangsaraan tak usah lagi dikata. Untuk itu, izinkan aku menurunkan sebuah sajak berkaitan yang pernah kukarang suatu ketika dahulu. Mungkin sajak ini boleh menjadi bahan untuk renungan kita bersama.



RAKSAKSA PUTIH

Dalam kealpaan tiba-tiba sahaja kita terjaga
Lautan Hindi yang tenang memecah gelora
Ratusan raksaksa putih menyusun barisan
Lalu meluncur deras memecah lautan
Menerpa pantai menerobos naik ke daratan
Menelan segala keindahan dan kecintaan
Menghakis keselesaan dan kesombongan
Menusuk masuk ke benteng ego
Diperdayanya kita kerana kejahilan yang panjang
Dibalasnya kezaliman kita dengan keruntuhan.

Raksaksa putih itu sungguh luar biasa
Mempamer keajaiban yang mengundang pesona
Lalu kita sambut kehadirannya dengan pesta
Takjub melihatnya berdiri gagah di muka sagara
Tanpa memahami citra kebengisan di wajahnya
Bersandarkan nama tsunami membawa khabar derita
Terpukau kita menjadi terpaku dalam trauma.

Pelbagai teknologi canggih kita pelajari dan kaji
Tidak terjangkau mengenal kebangkitan tsunami
Keupayaannya bagai raksaksa putih yang hebat
Mengajar kita mengenal erti kebesaran Ilahi
Merangsang daya fikir yang terkubur dalam sengketa
Betapa kita sudah lama lupa mengucap syukur
Kemakmuran bumi ini sudah tidak terpelihara
Darah yang tertumpah sudah tidak lagi berharga
Masihkan kita mempersoal Allah yang murka?


ISBIHA

Pulai Desaru, KotaTinggi
26 Januari 2005

Tuesday, October 17, 2006

 

BERBUKA DI PERSADA

17 Oktober
Mendapat jemputan berbuka puasa di Persada, pusat konvensyen terbesar di Johor Bahru yang baru sahaja siap kepunyaan Perbadanan Johor yang diterajui oleh Tan Sri Ali Hashim. Sebagai pelanggannya, pengurusan Persada memperuntukkan satu meja 10 orang untuk tujuan tersebut kepada jabatanku. Kini Persada sedang membuat promosi berbuka puasa termurah di bandaraya ini, iaitu RM 15.00 ++ seorang.

Aku kagum dengan dewan yang indah dan luas itu. Khabarnya dewan utama yang digunakan untuk berbuka puasa ini boleh memuatkan seramai 7,000 orang. Khabarnya juga Perhubungan UMNO Johor akan membuka tirai menggunakan kemudahan ini untuk satu Konvensyen UMNO Johor pada 4 dan 5 November ini. Khabarnya juga aku akan dilibatkan dalam pelaksanaan konvensyen ini. Tunggulah suratnya ...

Aku dan Zam tiba jam 6.30 petang. Sewaktu masuk disambut dengan penyambut tetamu dengan ramah, sambil dengan senyum membawa kami ke meja yang dikhaskan. Nombor meja ialah 23, tidak jauh dari pentas persembahan oleh kumpulan nasyid terkemuka tanahair. Aku tidak pasti berapa banyak meja yang disediakan, tetapi pastinya tidak kurang 120 meja. Itu yang ternampak olehku.

Makanan yang dihidangkan sungguh banyak, pelbagai dan enak. Tak termakan semuanya. Sakit kakiku sudah berkuarangan, namun hal itu tidak dapat menghalang nafsuku mengambil makanan yang tidak sepatutnya aku makan seperti sop ekor, rojak dan makanan laut. "Tak apa, jadi ubat," aku memujuk hatiku sendiri.

Apa yang menarik perhatianku ialah ramainya bilangan tetamu bukan Muslim bersama-sama di situ. Barangkali mereka tertarik kerana harganya makanan yang secara perbandingan amat murah. Mungkin juga mereka ingin turut mengalami kemeriahan berbuka puasa. Mungkin juga ada yang ingin memberi motivasi pekerjanya aatau membelanja kawan-kawannya yang beragama Islam. Tetapi lebih menarik, mereka turut sanggup menunggu sama laungan azan daripada ahli kumpulan nasyid untuk memulakan makan. Aduhai, betapa indah dan harmoninya kehidupan di Malaysia ini! Kenapa masih ada yang ingin mengganggu atau membuat kacau?

16 Oktober
Hari ini aku cuti rehat kerana aku ingin menguruskan pembaharuan cukai jalan kereta yang akan tamat pada 24 Oktober. Takut terlupa dan tak sempat kerana terlalu asyik dengan sambutan hari raya dan cuti panjang. Hari ini juga aku membuat keputusan bahawa kerja-kerja lanskap taman perlu diserahkan kepada kontraktor lain untuk menyudahkannya. Si A memang tidak boleh diharap lagi. Kontraktor baru sudah dikenal pasti. Izwan diberi tugas menguruskannya. Kalau boleh, sebelum hari raya, kerja-kerja tersebut sudah disempurnakan. Tak apalah berbelanja lebih asalkan mata dan hati tak sakit. Kata orang, duit boleh dicari, biar muka terus berseri, hati senang tidak terperi.

Hari ini aku berbuka puasa di rumah di Seremban seadanya. Bubur nasi, cekodok pisang dan air laici sejuk. Selepas solat Maghrib, aku bergegas ke Terminal 1 untuk menaiki bas Plusliner ke Johor Bahru yang bertolak jam 8.00 malam. Malam itu tak ramai penumpang. Jadi, dapatlah aku duduk seoranag dalam baris kerusi berdua itu. Sekejap tertidur sekejap terjaga dalam perjalanan lebih tiga jam itu. Sampai di kediaman di Johor Bahru jam 11.30 malam dihantar dengan teksi dari Terminal Bas Larkin dengan bayaran sebenar entah berapa ringgit, aku tak pasti. Aku serahkan RM 10.00 kepada pemandu teksi itu, dan sewaktu dia ingin memulangkan baki wang tambang tersebut, aku berkata, "Tak apa, simpanlah baki tu." Biasanya tambanag sebelah malam ialah dua kali ganda pada waktu siang, iaitu kira-kira RM 8.00. Tetapi ada juga pemanadu yang mengenakan tambang RM 5.00 sahaja, walaupun tidak kurang yang terus terang meminta RM 10.00. Kalau berdasarkan meter mengikut perjalanan biasa tambang dari Terminal Bas Larkin ke kediamanku hanya RM 3.50. Tetapi, pengalamanku menunjukkan tidak ramai pemandu yang patuh kepada peraturan menggunakan meter itu. Bagiku, tidak pernah menjadi masalah memberi lebih seringgit dua sekali sekala, sebab jumlah itu tidak menyebabkan aku menjadi kaya atau miskin. Namun bagi orang-orang yang kurang berkemampuan, sudah pasti perkara ini menjadi masalah besar. Kadang-kadang boleh menjadi pertengkaran. Hati mahu baik ...

Di rumah aku menghadapi komputer hingga jam 1.30 pagi baharu aku tidur. Hari sudah bergerak melangkau dari hari Isnin kepada hari Selasa. Aku merasa agak sedih juga apabila Idham mengatakan dalam fotopagesnya bahawa dia tidak akan menyambung mengemaskinikan fotopages. Aku hormati pilihannya dan tidak berhasrat untuk mengetahui apa masalahnya. Dia pasti lebih arif. Cuma aku terasa aku akan terputus hubungan komunikasi dengannya tanpa fotopagesnya. Tidak terjaga untuk bersahur, kerana aku terjaga dari tidur hanya pada jam 6.00 pagi. Aku bersyukur, sewaktu aku bangun, sakit kakiku berkurangan, walaupun bengkaknya baharu sedikit surutnya.

15 Oktober
Walaupun hari minggu, aku sekadar duduk di rumah sahaja. Gout menyerang kembali kali ini menyebabkan kaki kirinya membengkak dan sakit.

Berbuka agak meriah dengan kehadiran Dino dan Zam serta Iman, juga Lin dan Hazly bersama Afnan dan Sofina. Ada roti canai, martabak dan kari ayam buah tangan isteriku bersama-sama dengan ikan sembilang masak lemak masakan Lin. Yang lain ialah tembikai dan kuih pelita yang dibeli dilawankan air kopi O. Selepas berbuka, Dino sekelaurga dan Lin sekluarga pulang ke rumah masing-masing. Tinggallah kami berempat beranak di rumah. Izza sejak balik ke rumah selepas PMR tidak lagi pulang ke sekolah. Katanya, dia balik ke sekolah lepas hari raya sahaja. Yang aku masih belum memberi jawpaan yang pasti ialah tentang permintaannya untuk bertukar ke sekolah harian biasa selepas PMR. "Dulu ayah janji supaya tunggu sampai PMR," Izza menagih janji aku sewaktu dia Tingkatan Satu dan sibuk hendak keluar dari SSP. "Tunggulah macam mana keputusan PMR awak," aku mengelak.

Aku sudah tidur kira-kira jam 11.00 malam apabila A datang. Dia ingin menerangkan masalahnya berhubung dengan kerja-kerja pembinaan lanskap taman yang belum siap. Dalam keadaan menahan sakit kaki, aku gagal mengawal emosiku. Sebelum aku tinggalkan dia terus berunding dengan isterikan dan Izwan kerana khuatir suasana menjadi lebih tegang, aku dengan tegas berkata, "Aku bangga dengan kau, seorang anak muda yang berdikari dan berjiwa usahawan. Aku tambah bangga kerana kau orang Melayu keturunan Jawa dari Johor. Kau ini aku anggap cermin diriku. Tetapi rupa-rupanya kau tidak begitu. Aku bukan tidak sukakan kau, tetapi aku benci dengan sifat pembohong sepertimu."

14 Oktober
Dino bersama isteri dan anaknya pulang ke Seremban dan sampai beberapa minit sebelum berbuka. Iman sudah semakin cerdik. Berbuka agak meriah juga dengan hidangan sate, ayam goreng, bubur pulut hitam dan air tembikai. Kakiku sudah terasa agak sakit, pastinya gaut mula hendak menyerang kembali. Dino mengadu bahawa dia juga sudah menginap penyakit gaut. Aku nasihatkan supaya dia berwaspada dari segi makanan, terutama kerana usianya masih muda.

13 Oktober
Pulang ke Seremban dengan bas Plusliner dan sampai jam 6.30 petang, dijemput oleh Izwan di Tol Seremban untuk pulang ke rumah. Aku lupa apakah hidang berbuka pada hari ini, kecuali aku banyak makan kuih raya hasil masakan isteriku. Memang sedap. Isteriku kemudian menunjukkan aku contoh kek kukus yang dibawa oleh Lin, hasil kerja usahawan desa. Kek tersebut dimasukkan ke dalam sebuah kotak kayu buatan sendiri. Harganya kalau tidak silap aku lebih RM 90.00. Ini adalah satu usaha yang kreatif, namun kreativiti itu tidak terserlah sangat pada kotak itu. Kerja kursus Kemahiran Hidup pelajar-pelajar Sekolah Menengah pun ada yang jauh lebih baik dari itu. Jadi, dari segi tarikan pembungkusan, aku rasa produk ini belum dapat menarik perhatian pembeli berbanding dengan harganya. (Seorang teman di Batu Pahat menjual kes kukus hanya dengan harga RM 17.00 sebiji.) Soalnya: yang dijual itu keknya atau kotaknya? Orang hendak beli keknya atau kotaknya?

Aku bertanya sendiri. Kalau di peringkat tempatan pun sudah kalah dalam pertandingan, bagaimana harus beradu di peringkat global. Hal ini perlu diambil perhatian dan ditangani dengan serius oleh pihak-pihak yang terlibat. Berilah bimbingan sewajarnya untuk usahawan kita supaya lebih kreatif, inovatif dan kompitetif. Apa tindakan Kementerian Luar Bandar dan Wilayah? Apa perancangan Kementerian Pembangunan Usahawan? Apa langkah positif Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani?

Thursday, October 12, 2006

 

SELAMET POSO

Dalam diam tak diam, sedar tak sedar, rupa-rupa kita sudah masuk hari ke-19 berpuasa Ramadan pada tahun ini. Kelmarin di tempat kerjaku aku majlis berbuka puasa diikuti dengan solat terawih berjemaah diimamkan oleh Ustaz Abu Bakar Selamat. Rasa berselera apabila berbuka beramai-ramai begitu setelah entah berapa lama sepanjang bulan ini berbuka ala pelarian. Barangkali kerana terlalu kekeyangan hinggakan aku tidak terjaga untuk bersahur pagi ini, walaupun bekalan makanan disediakan khusus untukku dan Zam oleh Jawatankuasa Pengelola Majlis.

Kerana gagal untuk bangun bersahur pagi ini, aku teringat sebuah sajak tentang bulan Ramadan yang aku cipta tahun lepas. Elok juga kalau aku paparkan dalam blog ini, sekurang-kurangnya menjadi bahan catatan yang boleh dikongsi bersama. Itupun kalau ada sesiapa yang datang bertandang. Kalau tidak cukuplah untuk diabadikan dalam bentuk yang sekadar menyenangkan hati sendiri.

SELAMET POSO

Selamet poso adik sedulor
Awan-awan gawe kerjo ojo podo ngeluyor
Ono moso boco kitab ojo podo nyator
Pohlo poso dijogo ojo sampek lebor
Tahan nafsu ne iman ojo podo gugor
Setan wes diiket, urepmu dewe seng ngator.

Wakto buko weteng nge ojo kopyor
Ono sego, ono banyu, ono bubor
Solat teraweh dok mejid podo diator
Lepas teraweh podo-podo kotekan jidor
Main galah gowo podo-podo ngucap syukor.

Ati ne ayem turu ne ojo ngelindor
Kelonan karo bojo ojo lewat tangi sahor
Mangan ne sampurno ora ngawor
Weteng wes warek moto wes kawor
Digugah solat Suboh ojo ora semaor.

Isbiha

Sajak dalam "bahasa Inggeris" ini aku rasa cukup menarik kalau dapat diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu dalam untaian yang puitis. Ada sesiapa yang berminat? kalau Dr. Noriah Mohamed dapat membaca sajak ini, aku yakin dia pasti tergelak besar. Mana Dr. Noriah?
 

ATUK MERDEKA

Hari ini aku ingin berkongsi bahan berupa sebuah sajak oleh Ujang yang dicipta 14 tahun yang lalu. Dalam berseloroh, sajak ini mempunyai erti yang amat mendalam dari segi memerkasa kemerdekaan diri dan jati diri seseorang. Terkesan dengan pengalaman membina lanskap taman seperti yang kuceritakan sebelum ini, aku merasa sajak Ujang ini adalah satu peernyataan hati yang amat jujur. Justeru aku nukilkan semula sajak ini untuk tatapan anak-anak Melayu di bumi Malaysia ini, khususnya bagi renungan anak-anakku dan cucu-cucuku.

ATUK MERDEKA

Cucuku
Kau ingin menjadi apa bila dewasa nanti?

Atukku
Aku ingin menjadi kayu.

Jika kau menjadi kayu
Jadilah kayu golf
Disebut kayu tetapi besi
Diulit dato’, tauke dan menteri.
Jangan kau menjadi tunggul.

Cucuku
Kau ingin menjadi apa bila dewasa nanti?

Atukku
Aku ingin menjadi pagar.

Jika kau menjadi pagar
Jadilah pagar karan
Dipicit suis power berjalan
Dirempuh diusik boleh pengsan.
Jangan kau jadi pagar makan padi.

Cucuku
Kau ingin menjadi apa bila dewasa nanti?

Atukku
Aku ingin menjadi mangkuk.

Jika kau menjadi mangkuk
Jadilah mangkuk purba zaman batu
Buruan ahli arkeologi setiap waktu
Membawa bukti tamadun dan ilmu.
Jangan kau menjadi mangkuk hayun.

Cucuku
Kau ingin menjadi apa bila dewasa nanti?

Atukku
Aku ingin menjadi bintang.

Jika kau menjadi bintang
Jadilah bintang di langit
Tiada boleh ditukar wang ringgit
Tidak boleh dijolok dikait.
Jangan jadi Bintang Tiga.

Cucuku
Kau ingin menjadi apa bila dewasa nanti?

Atukku
Aku ingin menjadi seluar dalam.

Jika kau menjadi seluar dalam
Jadilah seluar dalam Superman
Sarung di luar nampak gentleman
Tiada manusia memberi komen.
Jangan kau menjadi seluar dalam model Playboy.

Cucuku
Kau ingin menjadi apa bila dewasa nanti?

Atukku
Aku ingin merdeka.

Jika kau ingin merdeka
Lupakan tentang perarakan di Dataran Merdeka
Simpanlah budget kereta berhias dan pentas lintas hormat
Untuk membeli kayu
Untuk membeli pagar
Untuk membeli mangkuk
Untuk membeli bintang
Untuk membeli seluar dalam
Untuk membeli merdeka.

UJANG
Kuala Lumpur 1992

Tuesday, October 10, 2006

 

MENGAPA MELAYU?

Aku selamanya merasa bangga sebagai orang Melayu yang dilahirkan dan dibesarkan di tanah yang dikenal sebagai Tanah Melayu (kini bernama Malaysia). Sebagai orang Melayu, aku suka kalau aku dapat tolong bangsaku - orang Melayu. Memang itulah naluri semula jadi manusia - menyenangi sesuatu yang mencerminkan dirinya sendiri.

Sebulan sebelum menjelang Ramadan, aku ingin menghias rumahku. Sekurang-kurangnya adalah perubahan apabila Hari Raya nanti. Jadi, aku merancang menggubah lanskap di pekerangan rumahku. Lebih-lebih lagi anakku Izwan baru berjaya dengan Ijazah Seni Bina Lanskap, maka aku ingin melihat buah tangannya dalam bidang tersebut.

Reka bentuk pun disediakan dan kontraktor pun dicari. Seorang anak muda Melayu dipilih (lebih-lebih lagi berketurunan Jawa dan berasal dari Johor sepertiku) untuk menyempurnakan tugas itu. Aku tertawan dengan penampilan awalnya memperlihatkan kerjanya yang profesional. Perjanjian bertulis secara rasmi disediakan, dan kerja bermula dengan pantas.

Tetapi aku amat menyesal ketika ini. Apa yang ditunjukkan cuma lakonan barangkali. Kerja terbengkalai. Batang hidung anak muda ini pun tidak nampak. Bayaran perkhidmatan sudah diselesaikan. Salah aku juga barangkali, kerana terpengaruh dengan penampilan awal dan kata-katanya yang lunak.

Isteriku sudah tidak terkata apa-apa. Anakku Izwan yang mencadangkan pengambilan anak muda itu juga khilangan kata-kata. Aku? Hiba memikirkan prangai buruk bangsaku, bangsa Melayu. Rasanya sampai Hari Raya pun kami tidak dapat menikmati lanaskap taman yang dihajati.

Terkilan dalam hati. Kenapakah bangsaku, bangsa Melayu berperangai begini? Jadi usahawan, rupanya usahawan penipu. Di manakah integriti? Sampai bila begini? Sampai kiamat?

Siapa yang mempunyai jawapannya?

Tuesday, October 03, 2006

 

BEREHAT LAMA

Rasanya memang terlalu lama aku tidak mengemaskinikan blog ini. Malah aku juga sudah lama tidak mengunjunginya. Aku lebih banyak mengunjungi blog-blog lain, terutama blog kawan-kawan penulis. Sesungguhnya ramai bilangan anak muda yang berbakat dan berpotensi dalam bidang penulisan yang kutemui melalui blog-blog mereka. Aku kagum. Aku juga suka melayari fotopages orang, menikmati kreativiti yang ditunjukkan dalam bidang seni foto.

Sudah lama berehat, aku merasa agak sulit untuk memulakan semula bicara dalam blog ini. Bulan September lepas langsung tidak terisi dengan apa-apa, walaupun sebenarnya banyak peristiwa berlaku sepanjang bulan tersebut. Apapun, aku sekadar ingin mencatatkan di sini bahawa tiga orang ahli keluargaku menerima ijazah masing-masing. Pertama, Izwan dengan Sarjana Muda Seni Bina Lanskap dari UTM. Kedua, isteriku dengan Sarjana Muda Sains Pembangunan Manusia dari UPM. Ketiga, Kak dengan Diploma Pentadbiran Awam dari INTAN. Yang membanggakan, dalam usianya 55 tahun, isteriku berupaya mendapat ijazah dengan pencapaian Kelas Dua Tertinggi. Tahniah kepada semua.

Aku sendiri agak bertambah sibuk, terutama kerana keputusan kerajaan menambah fungsi IKLAS dengan tugas-tugas berkaitan dengan pelaksanaan Pelan Integriti Nasional (PIN). Justeru kini IKLAS dikenali sebagai Institut Integriti, Kepimpinan dan Latihan Semangat. Sekarang sedang sibuk merancang aktiviti-aktiviti yang akan dilaksanakan hingga akhir tahun ini dan tahun hadapan.

Ketika ini puteri bungsu di Sekolah Seri Puteri, Cyberjaya sedang berhempas puas dengan PMRnya yang akan berakhir dua tiga hari lagi. Moga-moga dia beroleh kejayaan cemerlang. Sewaktu ahli keluarga berkumpul untuk berbuka puasa bersama minggu lepas, kami sempat mengadakan solat hajat sebelum solaat terawih berjemaah di rumah untuk kejayaannya. Semoga kejayaan juga merangkuli anak-anakku yang lain dalam apa juga kehidupan yang mereka alami dan hajati kini dan masa hadapan - Kak Long, Kak Ngah, Dino, Izwan, Am dan Ilia. Kepada Allah aku berdoa dan berserah. Malah kejayaan dan kecemerlangan dipohon untuk diriku dan isteriku serta cucu-cucuku.

Sesungguhnya aku melihat suatu sinar kejayaan berada di hadapanku ... Aku amat positif.

Kepada semua, selamat berpuasa dan selamat berhari raya; semoga Allah sentiasa memberkati dan melindungi. Amin.

This page is powered by Blogger. Isn't yours?

Subscribe to Posts [Atom]