Wednesday, February 21, 2007

 

LEBUH RAYA DAN TOL

Di sini tol di sana pun tol;
Lebuh raya sentiasa sesak;
Samy Vellu jadi sasaran;
Sakit hati menahan berang.
Rakyat keliru siapa yang betul;
Kerajaan terus didesak diasak;
Op Sikap apakah tujuan;
Mati katak tidak pun kurang.

Saat yang menjengkelkan. Pada jam 5.00 petang, 16 Februari aku bertolak dari Johor Bahru ke Seremban. Hampir sepanjang perjalanan, kenderaan bertunda bumper ke humper, bergerak macam semut. Dalam lambat itu pun masih juga ada kemalangan di lebuh raya. Atau kemalangan itu sebenarnya memang disebabkan perjalanan yang lambat. Bayangkan, perjalanan yang lazimnya memakan masa selama tiga jam, aku terpaksa menghadapinya selama lebih lima jam. Aku sampai Seremban jam 10.15 malam. Dan keadaan yang serupa aku hadapi sewaktu aku pulang ke Johor Baharu pada petang 20 Februari.

Ketidakselesaan ini menyebabkan aku menyoal sendiri: Apakah ertinya lebuh raya? Apakah maknanya bayaran tol? Apakah yang tersirat dalam perjanjian konsesi? Kerana itu, langkah untuk mendedahkan kandaungan perjanjian kerajaan dengan syarikat konsesi lebih raya itu ada juga baiknya supaya kerajaan dilihat telus dan tulus.

Benarkah syaraikat konsesi tak untung? Khabarnya pekerja-pekerja lebuh raya mendapat bonus hingga tiga bulan gaji. Ada pula yang kata, enam bulan gaji. Malah ada juga yang kata setahun gaji. Betulkah itu?

Jawablah dengan jujur. Pilihanraya sudah di ambang pintu ...

Thursday, February 15, 2007

 

CANTIK DAN INDAH


Sesungguhnya kecantikan seseorang perempuan itu bukan sekadar terpancar melalui wajah yang ayu dan tubuh badan yang menarik atau terjelma melalui pakaian indah dan berharga yang menyaluti tubuhnya, tetapi yang lebih penting ialah ketinggian akhlak yang menghiasi dirinya.

Bagaimana dengan lelaki? Siapakah pilihan anda? Yang ayu? Yang gebu? Yang syahdu? Yang akhlak bermutu? Tanya selera hendak makan apa?

Wednesday, February 14, 2007

 

MARAH DAN PUJUK
















Firman Allah yang menceritakan tentang pesan Luqman Al-Hakim kepada anaknya, bermaksud: "Lunakkanlah suaramu ... "

Sekiranya kamu salurkan air panas dan air sejuk serentak melalui satu saluran yang sama, kamu hanya akan mendapat air suam. Dan jika kamu lontarkan kemarahan dan pujukan kepada seseorang pada masa yang sama, yang kamu perolehi hanyalah hati yang tercalar. Luka sudah berlaku, parutnya tetap ada. Kerana itu, pendamkanlah kemarahan kamu dan tumpukan perhatian kamu kepada idea semata-mata. Idea yang baik akan menghasilkan tindakan yang positif sekaligus menjulang perhubungan mesra dan kasih sayang.

Sesungguhnya kemarahan tidak upaya mempengaruhi orang, dan kemarahan juga tidak upaya mencetuskan pemikiran rasional, malah kemarahan tidak tergolong sifat terpuji. Manusia berakhlak ialah manusia yang antara lain berjaya membendung rasa amarahnya.

Tuesday, February 13, 2007

 

LOGO


Apakah yang dapat diperhatikan?
sebuah logo sebagai perlambangan
mewakili citra satu sudut pandangan
bentuk dan warna menjadi pilihan
diadun dalam kreativiti rekaan.
Apakah yang ingin dilontarkan?
dalam tersirat ada tersurat
Apakah rahsia di sebalik kenyataan
dalam gerak menyimpul hasrat

Friday, February 09, 2007

 

BUDI BAHASA JATI DIRI KITA

















BUDI BAHASA JATI DIRI KITA

Mari ke mari hulurkan tanganmu kita erat berjabat
di bawah sinar damai kita jejaki rantau selamat
santun kita dalam gegak gempita memerkasa jati diri
memagang amanah berbekalkan budi bahasa nilai murni
syukur berpanjangan biar terus bertakhta di lubuk hati.

Mari ke mari kita taburkan benih kecintaan
gendang perjuangan sudah dipalu, aturkan barisan
sederap kita bergerak tegakkan budaya warisan
menjadi mercu tanda ketinggian sebuah peradaban
budi bahasa cemerlang, sopan santun gemilang
jangan biarkan yang tercicir meratap sepi sendirian
lalu membuka pintu cemburu mengundang petualang.

Kita megah memelihara bersama wilayah damai ini
kita berhimpun menyusun barisan mengatur strategi
sebagai pewaris setia sopan santun budi bahasa
pakaian peribadi lambang keteguhan jati diri
sumber kekuatan mempertahan hak mutlak bangsa
menjanjikan rantau selamat rukun hidup harmoni
merungkai amarah berpanjangan, dendam dan benci
jangan sampai terpalit tercalar angkara keji.

Mari ke mari kita penuhkan setiap ruang
menjadi kelompok besar di puncak satu wawasan
megah berdiri sebagai juara di tengah gelanggang
nilai-nilai murni kukuh teguh benteng ketahanan
budi bahasa sentiasa menjadi dinding kesantunan
budi bicara membentuk pagar menjana cendiaka
budi pekerti tembok kukuh pertahankan upaya.

Mari ke mari kita bangunkan teras kekuatan
tertegak budi bahasa jati diri kita bersama
menepis menapis segala cabaran musim
langkah tangkas tidak dilihat sumbang
gerak jelas tidak mungkir.

ISBIHA

Johor Bahru, 9 Februari 2007

Thursday, February 08, 2007

 

ANAK JANTAN



Apa tanda si anak jantan?

Matinya di tengah gelanggang

Tidurnya di puncak gelombang

Makannya ditebing panjang

Langkahnya menghentam bumi

Lenggangnya menepis semak

Gelaknya terbang ke langit

Tangisnya di angin lalu

Esaknya ditelan tanah

Yang tak kenal air mata

Terendam sama basah

Terbakar sama hangus

Sakit tidak disebut

Mati tidak diungkit


Wednesday, February 07, 2007

 

MELENTUR BULUH

Kata peribahasa Melayu: Melentur buluh biar dari rebungnya. Peribahasa ini bererti bahawa kerja-kerja mendidik hendaklah dilakukan seawal seseorang itu masih berada di alam kanak-kanak lagi. Usah ini lebih mudah, kurang tekanan dan lebih berkesan. Justeru pendidikan awal kanak-kanak di tadika, di rumah dan di sekolah rendah menjadi agenda yang amat penting unutk memastikan anak-anak akan membesar mengikut didikan yang kita berikan. Kalau tidak, maka jadilah apa yangpernah diungkapkan oleh Raja Ali Haji dalam Gurindam Dua Belas:

Kalau anak tidak dilatih
Bila besar ibu bapanya letih

Bagaimanakah kita hendak menyemai perpaduan di kalangan generasi muda? Tidak lain dan tidak bukan ialah dengan melalui pendekatan melentur buluh ini. Gambar foto di atas menunjukkan sekumpulan anak-anak kaum Tionghua dari sebuah SRJK (Cina) di negeri Johor sedang menarikan tarian zapin, satu unsur jati diri Johor

Tuesday, February 06, 2007

 

LEMBU ATAS LORI

Sepuluh ekor lembu dipunggah ke atas lori.
Lori itu dipandu di atas jalan raya.
Jalannya sejauh Rembau ke Seremban.
Di simpang jalan, lampu isyarat merah.
Lori berhenti tanda hormat undang-undang.
Dua ekor lembu di atas lori melompat.
Apabila lampu isyarat hijau, lori terus jalan.
Sampai lagi di simpang jalan, lori berhenti lagi.
Dan tiga ekor lembu pula melompat.
Akhirnya sampai lori itu ke destinasi.
Berapa ekor lembu tinggal di atas lori?

Monday, February 05, 2007

 

BANGUNAN DATO' JAAFAR

Bangunan bersejarah adalah warisan budaya yang perlu dipelihara, dipulihara dan dikekalkan. Sebagai contoh, Bangunan Dato' Jaafar ini yang berusia 110 tahun masih tersergam indah di atas Bukit Senyum, Johor Bahru, beralamat di JKR 514, Jalan Yahya Al-Dattar.

Bangunan ini bukan sekadar menyimpan banyak rahsia sejarah, tetapi juga unik dari segi reka bentuk yang menyamai beberapa bangunan lama di England seperti Hardwick Hall dan River Castle.

Rumah ini dibina oleh Dato' Jaafar Mohamad, Menteri Besar Johor yang pertama. Pembinaan rumah ini bermula pada tahun 1986 dan siap dalam tempoh dua tahun, dengan kos pembinaan peringkat pertama berjumlah RM 80,000.00. Selama 22 tahun Dato' Jaafar mendiami rumah ini. Selepas kematiannya -ada 3 Julai 1919, kerajaan Johor mengambil alih rumah ini.

Untuk beberapa ketika, bangunan ini terbiar begitu sahaja. Pada zaman pemerintah Jepun (1941 - 1945) bangunan ini digunakan oleh tentera-tentera Jepun untuk meletakkan perempuan-perempuan simpanan mereka. Pihak Inggeris juga selepas berkuasa semula di Tanah Melayu pernah menggunakan bangunan itu sebagai markas tentera.

Selepas Merdeka, Bangunan Dato' Jaafar dijadikan Maktab Perguruan Bahasa sebelum insitusi itu dipindahkan ke Lembah Pantai, Kuala Lumpur. Beberapa pejabat kerajaan seperti JKR, KEMAS dan Yayasan Warisan Johor pernah ditempatkan di bangunan ini.

Sekarang bangunan ini telah diserahkan oleh Kerajaan Negeri Johor lkepada Yayasan Warisan Johor untuk dibangunkan sebagai Muzium Tokoh. Namun beberapa tahun kebelakangan ini, bangunan tersebut masih terus sunyi tanpa penghuni. Takut-takut kesepian itu nanti diriuhkan oleh anak-anak muda yang berpesta yang akhirnya mengundang keruntuhan moral. Khabarnya projek ini tergendala kerana kekurangan peruntukan kewangan. Janganlah biarkan dibazirkan khazanah negara dengan sikap yang tidak serius dan komitmen yang rendah. Selamatkanlah segera Bangunan Dato' Jaafar!

This page is powered by Blogger. Isn't yours?

Subscribe to Posts [Atom]