Monday, April 30, 2007

 

PENGALAMAN UMRAH (3)



















Ada beberapa perkara yang mengusik jiwaku sepanjang mengerjakan ibadat umrah yang ingin kukongsikan di sini. Moga-moga ada manfaatnya.


Pertama, kali terakhir aku ke tanah suci sebelum kunjunganku pada April ini ialah pada tahun 1996 untuk umrah. 11 tahun telah berlalu. Aku sungguh bersemangat dan bertenaga pada ketika itu dalam usia 51 tahun. Aku berupaya melakukan sebanyak tujuh kali umrah, selain turut menyertai lawatan dan ziarah. Pada kali ini semangatku masih tetap sama, tetapi rupa-rupanya tenagaku sudah berkurangan. Aku sekadar berupaya melakukan dua umrah. Selebihnya aku hanya beriktikaf dalam masjid dan melakukan apa-apa ibadat yang patut. Moral ceritanya, kerjakanlah ibadat haji dan umrah ini sewaktu usia masih muda. Bagi anak-anakku, kumpullah wang dan rancanglah mengerjakan haji dan umrah seawal mungkin setelah segala kemampuan tersedia.


Kedua, aku kagum melihat betapa jemaah dari Iran, Turki dan Indonesia sentiasa bermuafakat , bersatu padu dan bersama-sama dalam mengerjakan umrah. Jelas nampak semangat berpadukan yang ditunjukkan - pakaian seragam, bergerak dalam kumpulan dan jelas nampak sepakat. Semangat inilah yang aku perhatikan tidak ada dalam jemaah Malaysia. Kumpulan aku sendiri pun bukannya ramai, sekadar sepuluh orang. Malangnya masing-masing kelihatan membawa haluan sendiri. Betapa slogan "Muafakat Membawa Barkat" itu dihayati dan diamalkan?


Ketiga, di Mekah aku ketemu sekumpulan staf Johor Corp hyang dihantar melakukan umrah oleh majikannya. Kata salah seorang ahli kumpulan itu, setiap bulan Johor Corp menghantar stafnya ke tanah suci untuik melakaukan umrah sebagai motivasi kerjaya. Alangkah bagusnya jika ahli-ahli korporat Islam di Malaysia yang mempunyai pemikiran seperti Tan Sri Ahli Hashim ini. Kata orang doa di tanah suci lebih makbul dan segera kesannya. Bayangkan betapa indahnya jika setiap orang yang menerima anugerah itu mendoakan untuk kejayaan organisasinya. Aku yakin memang hal itu dilakukan. Patutnya Johor Corp sentiasa bergerak maju ke hadapan.


Keempat, tanpa kuduga di hadapan Kaabah di Mekah aku diketmukan Mohd. Asraf, jiraqnku di Bkit Chedang. Bayangkan dalam puluh ribu manusia yang ada di situ, aku ketemu dengannya. Yang hairan, di Bukit Chedang sendiri, oleh kerana tugas masing-masing, boleh dikatakan kami tidak pernah bersua muka untuk sekian lamanya. Kalau aku tak silap, kali akhir aku bersamanya ialah pada malam Hari Raya Aidil-Fitri yang lepas sewaktu kami befrsama-sama abertakbir dari rumah ke rumah. Alangkah besarnya kekuyasaan Allah!

Sunday, April 29, 2007

 

PENGALAMAN UMRAH (2)





Cucuku Muhamad Afnan Khair gelak besar melihat kepalaku yang gondol itu sekembalinya aku dari tanah suci. "Yai botak, macam Mawi," katanaya dalam ketawa. Adiknya Sofina Khair juga turut ketawa. Malah isterku juga ketawa sama.

Sewaktu aku mengambil keputusan untuk mencukur semua rambut di kepala selepas tahlul kerana tanda sempurna melakukan umrah, Haji Shamsudin Abu Bakar yang sama-sama dalam rombongan East Qabillah itu membuat komen, " Bagus tu ji. Kita tinggalkana dosa dan penyakit kita di sini, di tanah suci ini. Kita balik ke tanahair sebagai orang baru. Berhijrah ke arah yang lebih baik, lebih berkualiti. "

Aku angguk akur, sebab itulah yang kupohonkan kepada Allah setiap kali selepas solat. Mudah-mudahan Allah makbulkan. Amin.

 

PENGALAMAN UMRAH






Selamat aku kembali ke tanahair pada 23 April setelah sepuluh hari mengerjakan umrah bersama isteri. Syukur alhamdulillah segala-galanya berjalan seperti yang dijadualkan, biarpun pada awalnya menghadapi kesukaran dan kelewatan perjalanan disebabkan masalah visa. Terima kasih kepada Saudara Fadzil Abdullah dari East Qabillah Travel & Tours yang memungkinkan perjalanan ke tanah suci bersama isteri dimakbulkan Allh dan dilalui dengan penuh pengertian.

Kata orang, kalau balik dari Mekah dan Madinah tidak batuk, tidak sah pergi ke tanah suci. Itulah yang aku bawa balik bersama-sama beberapa oleh-oleh kecil untuk "anak buah", ahli keluarga dan jiran tetangga - tamar, kopiah, kain tudung, CD bacaan Al-Quran, air zamzam dan sebagainya.

Thursday, April 12, 2007

 

APA TINDAKAN KITA?

Islam dihina!
Umat Islam dicabar!
Ajaran Islam dipersenda!
Anak bangsa diajak meninggalkan Islam!
Umat Islam diajar mengamalkan Islam ikut caranya!
Sanggupkah kita membiarkan sahaja?
Sanggupkah kita berdiam diri?
Sanggupkah kita bencana ini terus melanda?
Sanggupkah kita?
Dan apa tindakan kita?

Permainan minda pada pagi ini selepas solat Subuh sarat dengan persoalan-persoalan seperti di atas. Entah mengapa tiba-tiba sahaja persoalan ini timbul dalam fikiran. Umat Islam di seluruh dunia menjadi mangsa penjajahan minda apabila mereka dicap dengan label terrorist. Seluruh dunia dipaksa mempercayai bahawa itulah hakikatnya.

Tetapi penjajahan minda yang lebih dahsyat telah masuk ke rumah-rumah umat Islam melalui media penyiaran. Tidak cukup dengan pelbagai rancangan hiburan yang melalaikan, muncul pelbagai rancangan realiti yang berasaskan judi, keseronokan, dan yang lebih hebat, rancangan yang menggugat keimanan. Hal ini belum lagi termasuk pelbagai kisah di luar - lari rumah, buang bayi, lumba haram, menagih dadah, bersekedudukan, dan yang mengerikan menukar agama.

Jusetru, sekurang-kurangnya marilah teguhkan iman dalam keluarga kita. Didiklah anak-anak di rumah dengan penuh keimanan kepada Allah dengan penuh kasih sayang. Memang susah untuk meangotakan apa yang dikata. Tetapi jadikan kata-kata ini azam kita bersama. Demi masa depan bangsa dan agama. Jangan sampai anak-anak kita terpedaya. Sampai sampai anak-anak kita tergoda. Jangan sampai pada akhirnya bangsa dan agama tergadai. Itulah harapanku ...

Wednesday, April 11, 2007

 

ADAB DAN BIADAB

Dalam kehidupan bermasyarakat, sejak dahulu lagi manusia telah membentuk peraturan untuk mengatur perhubungan peribadi sesama manusia dalam masyarakat. Satu daripada aspek penting dalam perkara ini ialah adab. Sehubungan itu, dalam masyarakat Melayu, timbul perlakuan yang saling bertentangan, yang diungkapkan melalui perkataan "adab" dan "biadab".

Mengikut kefahaman aku, beradab biasanya merujuk kepada orang baik-baik dan berkedudukan terhormat. Biadab dikaitkan dengan perlakuan orang-orang yang kurang berpelajaran dan berstatus rendah. Hakikatnya tidak begitu. Pengalaman mengajar aku bahawa adab dan biadab ini rupa-rupa tidak mengenal pangkat dan kedudukan.

Aku amat tercabar dengan sikap seorang pemimpin tinggi kerjaan Johor yang aku anggap bukan sahaja ego dan angkuh, tetapi juga biadab. Bukankah biadab namanya jika orang dalam kedudukan tinggi dan terhormat sepertinya menjajakan keaiban seseorang dan sesebuah organisasi di merata-merata tempat, sebahagiannya dalam nada menghasut. Perkara aib yang disebut di sana ini itu pun bukan betul. Malangnya orang dan organisasi aterlibat tidak berpeluang menjawab atau mengenakannya kembali, sebab "penjualan" dilakukan "di pasar gelap". Ikut sedap mulut menyebutnya dengan penuh emosi. Sungguh malang ...

Dalam hati aku menyimpan rasa marah dan kecewa. Beberapa orang lain juga turut kecewa. Tetapi aku segera memujuk hatiku dengan mengambil pesan daripada Ustaz Abu Bakar Selamat, Ketua Unit Warisan Kesenian Islam di tempat kerjaku.Katanya, "Itu memang kerja dia. Dia nak sombong, dia nak angkuh, nak apapun, itu kerja dia. Kerja kita buat baik, beradab dan merendah diri. Itu kerja kita." Hatiku jadi terhibur. Aku menjadi tenang. Moga-moga Allah membukakan pintu hatinya menginsafi sifat buruknya itu. Aku menyedari bahawa sifat buruk aku sendiri pun kadang-kadang pun aku tak sedar, kecuali ada orang lain memberitahunya.

Sebagai orang Islam, kita mengawal perilaku kita seperti yang dituntut oleh agama Islam. Dalam Islam telah diaturkan dengan baik dan cantik bagaimana kita boleh melakukan perkara-perkara yang dibenarkan, perkara-perkara yang digalakkan, perkara-perkara yang perlu ditinggalkan, perkara-perkara yang perlu dilakukan, dan perkara-perkara yang diegah. Kata kuncinya - harus, sunat, markuh, wajib dan haram.

Yang menarik, tidak banyak perlakuan manusia dalam Islam yang tergolong dalam kategori wajib dan haram. Yang banyak ialah perkara-perkara yang diharuskan. Malah garis pemisah antara kelima-lima kategori perlakuan itu mempunyai kelonggaran pada waktu-waktu tertentu. Perlakuana yang terlarang pada keadaan biasa mungkin menjadi wajib dalam keadaan tertentu. Sebagai contoh, Islam melarang umatnya memakan daging babi, tetapi dibolehkan pula memakannya dalam keadaan kebuluran dan hanya daging babi yang ada untuk menyelamatkan nyawanya.

Itulah nikamtnya agama Islam ini. Dan itulah juga nikmatnya apabila kita beradab mengikut lunas-lunas Islam. Ya, Allah! Kau tetapkan keimananku menjunjung adab dengan kalimah "La illaha-il-lallah, Muhammadur-rasulullah" dan jangan sekali-kali Kau palingkan hatiku selain darinya.

Hiasalah diriku dengan adab Islam ... dan hiasailah seluruh diri umat Islam dengan adab Islam. Jadikanlah hidup kita beradab. Jangan kita jadi biadab. Amin.

Tuesday, April 10, 2007

 

RICH DAD, POOR DAD

Saya berpeluang membaca buku Rich Dad, Poor Dad oleh Robert T. Kiyosaki secara tebuk-tebuk. Maklumlah, perangai orang malas. Namun ada satu kisah yang menarik yang diceritakan dalam buku ini, iaitu mengenai pengasas McDonard's, Ray Kroc.

Selepas satu ceramahnya kepada sekumpulan mahasiswa MBA di Texas University, Austin, dia bertanya kepada mereka, "Apakah perniagaan saya?" Semua ketawa kerana menjangka Ray melawak. Beberapa kali pertanyaan yang sama dikemukakan, tetapi tidak ada yang ingin menjawab.

Akhirnya seorang mahasiswa menjawab, "Semua orang tahu, tuan menjalankan perniagaan hamburger."

Ray ketawa kecil. Yang lain hairan. Lalu dia berkata, "Saya dah agak anda akan menjawab begitu. Tapi sebenarnya saya bukan berniaga hamburger. Saya mengusahakan perniagaan hartanah."

Banyak yang tak faham. Aku juga pada mulanya tak faham. Apabila terus membacanya, barulah aku mengerti mengapa Ray berkata demikian. Cuba fikirkan.

Apa yang tersirat? Ringkasnya, kalau hendak kaya, kalau hendak berjaya dalam apa sahaja ... kita mesti ada pemikiran strategik dan pendekatan strategik. Macam juga dalam peperangan. Macam juga dalam perniagaan. Macam juga dalam pengurusan. Semuanya sama.

Fikir-fikirkanlah!

Monday, April 09, 2007

 

ALHAMDULILLAH

Sementara belum sibuk, aku ingin terus mengisi blog ini. Apatah lagi setelah aku tidak mengemaskinikan sejak beberapa lama oleh masalah teknikal (agaknya!).

Hari ini merupakan hari yang amat bermakna bagiku. Selepas solat Subuh pagi tadi, seperti lazimnya aku berdoa ke hadrat Ilahi. Macam-macamlah yang dipohon. Tetapi ada satu kelainan dalam doaku pagi ini, yang belum pernah kulakukan sebelum ini. Aku tambahkan dalam doaku satu permohonan supaya aku pada hari ini lebih baik dari hari semalam.

Sesungguhnya aku merasakan memang hari ini lebih baik dari semalam. Aku amat merasainya. Sewaktu kebanyakan kakitangan awam di negeri Johor berehat kerana cuti am, aku di pejabat bersendiri bekerja. Bayangkan, aku berada di pejabat membuat kerja-kerja rasmi dari jam 6.15 pagi hingga jam 6.00 petang. Bayangkan, sembahyang Zohor dan sembahyang Asar pun aku lakukan di bilik pejabat. Tambahan pula, aku sempat menyempurnakan puasa sunatku yang pertama aku lakukan bagi tahun ini.

Dan sepanjang di pejabat, aku sempat menyempurnakan beberapa kerja. Pertama, draf ucapan Perasmian Bengkel Seni Visual pada 27 April telah dapat disiapkan. Kedua, kertas cadangan untuk dibentangkan Mesyuarat Lembaga Pengarah dapat dibereskan. Ketiga, sebahagian besar Manual Prosedur Kerja yang baru bagi IKLAS mengandungi latar belakang, falsafah, misi, objektif, fungsi, carta organisasi dan senarai tugas semua staf dapat disempurnakan. Keempat, laporan aktiviti dan program IKLAS untuk dibentangkan dalam Mesyuarat Keutuhan Pengurusan dapat disediakan. Syukur alhamdulillah. Sesungguhnya Allah Maha Pemurah, Maha Penyayang dan Maha Pengasih. Jadi, jangan lupa Allah. Allah akan terus bersama kita.

Sepanjang hari ini hingga ke saat pengisian blog ini dibuat (jam 11.11 malam) aku masih sendirian. Namun hari ini aku berbelanja sebanyak RM 35.40 untuk berbuka puasa yang mengandungi pizza, kepak ayam goreng dan air minuman yang aku pesan dari Domino's Pizza melalui sistem penghantaran. Dan seharian juga aku terkurung di rumah cum pejabat.

Aku berharap hari esok juga akan terus lebih baik dari hari ini.
 

RAHMAT

Halangan. Aku sudah memohon cuti rehat selama dua minggu mulai 2 April. Mengikut rancanagan, 3 April aku dan isteri bertolak ke Mekah untuk melakukan umrah. Tetapi rancangan terhalang kerana masalah visa. Kata agen pelancongan yang menguruskan perjalanan kami, Kerajaan Saudi Arabia menukar peraturan pemberian visa umrah dan akibatanya urusan mengenainya tergendala. Kesukaran ini melibatkan seluruh Asia Tenggara, katanya.

Aku tunggu dan tunggu dari sehari ke sehari, namun jawapannya masih negatif. Sehinggalah pada hari Jumaat 6 April, aku diberitahu kelulusan visa sudah diperolehi dan rancangan bertolak ke Mekah pada 13 April, berlepas jam 2.40 petang. Hai, lama lagi tu.

Untuk tidak mensia-siakan cuti rehatku, aku pun bercadang pulang ke Johor Bahru untuk menyambung kerja mulai 9 April hingga 12 April. Sekurang-kurangnya empat hari cuti rehat dapat diselamatkan. Bagi memudahkan isteriku bergerak ke sana ke mari sementera keretanya digunakan oleh Ilia berulang alik ke Senawang di tempatnya menjalani latihan amali pengajiannya, aku bercadang meninggalkan keretaku di Seremban. Malangnya semua tiket bas bagi perjalanan Seremban ke Johor Bahru pada hari Ahad sudah habis ditempah. Aku kecewa.

Kerana itu, semalam isteriku ditemani Ilia dan Izza menghantarku pulang ke Johor Bahru. Petangnya mereka kembali berkereta ke Seremban meninggalkan aku sendirian di rumah cum pejabat tanpa kenderaan. Tak apa. Rumah di bawah, pejabat di atas.

Pagi ini selepas solat Subuh aku bergegas di pejabat selawal jam 6.15 pagi. Tanpa sarapan. Aku terus menghadapi komputer ini. Aku berharap dapat bersarapan bersama teman-teman sepejabat apabila mereka sampai nanti. Tetapi hingga jam 8.00 pagi, tidak ada seorang pun yang muncul di pejabat. Aku hairan dan mula mengsyaki sesuatu. Aku buka kalender. Ya, Allah! hari ini cuti am bagi negeri Johor rupanya kerana menggantikan hari kelmarin - cuti Ulang Tahun Keputeraan DYMM Sultan Johor.

Tapi tak apa. Aku anggap ini rahmat. Pertama, aku terus berniat puasa sunat (semoga terhasil sekiranya dapat terus bertahan). Kedua, aku dapat menyiapkan beberapa tugasan. Ketiga, aku dapat menenangkan fikiran bersendirian tanpa sebarang gangguan.

Dan dalam bersendirian itu, aku dapat merenung banyaak perkara. Antaranya, betapa bersyukurnya aku dengan banyaknya rahmat dan nikmat Allah - sedar atau tidak sedar. Syukur aku dianugerahi seorang isteri bernama Siti Khadijah yang begitu banyak berkorban untuk suami dan keluarga. Terima kasih, sayang ... Aku sungguh mencintaimu.

Betapalah jika anak-anak tidak menghargai, menghormati dan mensykuri pengorbanan seorang wanita yang bernama ibu. Percayalah, leteran dan omelannya adah halua telinga dan hadiah yang tidak bernilai. Kau sekadar mendengar suaranya dalam amarah, tapi aku melihat air matanya yang tercurah, sedang hatinya mungkin luka tanpa darah. Jangan pula menjadi parah. Kau akan mengerti apabila dia sudah tiada nanti. Percayalah ...
 

KEMBALI

Aku sudah merasa bosan. Banyak kali kucuba merangkai kata yang baaru tidak kesampaian. Aku tidak pasti mengapa, tetapi hal ini bermula semenjak aku menukar ke format baru. Adakah aku yang jahil atau memang ada masalah teknikal.

Sebenarnya amat banyak yang ingin kucoretkan di sini, terutama selepas tidak mengemaskinikan beberapa lama. Hal tentang kerja, hal tentnag diri, hal tentang keluarga dan banyak lagi. Segala-galanya akan bergantung kepada hasil percubaan kali ini. Jikalau percubaan ini juga gagal, aku tidak tahu bagaimana aku ingin mengatasinya. Kesempatan yang terluang amat terbatas.

This page is powered by Blogger. Isn't yours?

Subscribe to Posts [Atom]