Friday, October 05, 2007

 

ANAK KEBANGGAAN AYAH

Seorang teman kebelakangan ini sering sahaja bercerita tentang anak-anaknya dan kejayaan yang mereka tempa. Baginya, dia bersyukur kepada Allah dikurniai anak-anak yang dianggap tidak menyusahkannya, kerana anak-anaknya itu berjaya melalui liku-liku jalan zaman kanak-kanak dan mengharungi gelombang zaman remaja dengan baik dan selamat. Dia berbangga kerana anak-anaknya berjaya melepasi cabaran pendidikan formal peringkat rendah, menengah dan pengajian tinggi dengan cemerlang, dan seterusnya berpotensi besar untuk terus cemerlang dalam bidang kerjaya pula.

Anaknya yang bungsu kini sudah mempunyai pekerjaan yang membanggakan di Petronas biarpun keputusan akhir pengajiannya di IPTA belum diperolehi, semata-mata kerana dia tersenarai dalam Senarai Naib Censelor. Malah ada beberapa agensi lain yang menawarkannya kerja yang dianggap baik. Pencapaian GPA keseluruhan hampir mencapai 4. Anak-anaknya yang lain seramai tiga orang sudah tidak perlu diceritakan lagi kejayaan mereka, sebab memang sudah terbukti dengan jawatan dan pekerjaan yang dianggap selesa.

Sesungguhnya anak-anak memanglah harta yang tidak ternilai bagi ibu dan bapa. Sekiranya sesama teman dan saudara mara bertemu setelah lama berpisah, pertanyaan yang awal dikemukakan bukan berapa banyak harta yang kita punyai, tetapi beberap orang anak yang kita dimiliki. Itulah besarnya erti anak kepada ibu dan bapa.

Tidak banyak ibu bapa yang berupaya membekalkan anak mereka dengan kekayaan harta benda dan wang ringgit. Lagi pun, biasanya kekayaan harta benda ini tidak kekal sekiranya tidak diuruskan dengan betul oleh orang yang berilmu. Namun tidak kurang - malah menjadi hasrat dan hakikat - ibu bapa yang berjaya memberikan anak-anak dengan kasih sayang dan didikan. Begitupun, lazimnya kasih sayang itu kadang-kadang sukar difahami atau dimengerti, biarpun oleh anak-anak sendiri. Kasih sayang merupakan sesuatu yang abstrak, yang sukar dihurai atau disamakan dengan apa yang lain sekalipun. Cuma yang jelas, harapan ibu bapa hanya satu - si anak berjaya mengurus hidupnya tanpa menyusahkan mereka. Itulah hadiah paling bererti kepada ibu bapa daripada anak.

Apakah yang dimaksudkan "tanpa menyusahkan mereka"? Aku teringat kata-kata YB Dato' Hishamuddin Tun Hussein, Menteri Pelajaran Malaysia ketika mengungkapkan peribadi bapanya Tun Hussein Onn berkaitan dengan integriti. Kata Tun Hussein Onn kepada anak-anaknya, "Aku tak ada harta dan kekayaan untuk aku berikan kepada kamu.Yang aku boleh beri kepada kamu ialah ilmu. Dengan ilmu itulah aku harap kau dapat menjalani hidup kau."

Pastinya Tun Hussein Onn berbangga dengan kejayaan yang dikecapi oleh anak-anaknya, seperti juga kebanggaan bapanya Dato' Onn Jaafar berjaya mendidik anak-anaknya menjadi orang-orang yang berjaya dalam hidup mereka, satu warisan yang diturunkan oleh bapanya Dato' Jaafar Mohamad, Menteri Besar Johor yang pertama, yang menghasilkan tiga orang anak sebagai Menteri Besar Johor selepasnya.

Apakah yang mereka tinggalkan kepada anak-anak? Tidak ada kecuali kasih sayang dan didikan yang membekalkan ilmu untuk hidup. Dato' Onn Jaafar ketika kematiannya meninggalkan wang tunai RM 30.00 dengan RM 300.00 dalam akaun simpanannya, sekadar cukup untuk membeli kain kafan dan menguruskan jenazahnya.

Ilmu untuk hidup. Ilmu untuk mengurus diri sendiri. Ilmu untuk tidak menyusahkan ibu bapa. Ilmu untuk menjadi warga yang berguna kepada diri sendiri, keluarga,bangsa, agama dan negara. Sebagai seorang ayah, itulah yang mampu aku harpakan dariapda anak-anakku. Aku yakin anak-anakku faham dan menghayati hakikat ini. Dan segala-galanya ada dalam diri sendiri, bukan warisan harta yang akhirnya menjadi rebutan, pertelingkahan dan permusuhan.
Comments: Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]





<< Home

This page is powered by Blogger. Isn't yours?

Subscribe to Posts [Atom]