Wednesday, February 22, 2006

 

HARI-HARI YANG SIBUK

Kebelakangan ini aku sentiasa sahaja berlumba dengan masa untuk menyempurnakan tugas-tugas rasmi yang menuntut perhatian khusus. Projek Dato' Onn Pengasas Sebuah Negara Bangsa memerlukan tumpuan sepenuh masa, sementara kursus-kursus kepimpinan perlu dijalankan seperti yang direncana. Justeru hujung-hujung minggu tidak lagi dapat dinikmati dengan santai bersama isteri kesayangan mengunjungi cucu-cucu atau melawat anak di asrama. Barangkali inilah yang sering diungkapkan orang sebagai pengorbanan. Dan pengorbanan adalah sesuatu tingkah laku yang disaluti dengan kepercayaan, keikhlasan dan kejujuran. semoga Allah sentiasa memberkati. Amin!

Thursday, February 16, 2006

 

SEMAKIN TUA SEMAKIN SENSITIF

Memang agaknya telah ditakdirkan begitu. Jiwa orang tua yang sensitif, yang cepat tersentuh atau terusik. Hasilnya, orang tua dikatakan sering merajuk atau membawa diri.

Sewaktu aku kembali ke Seremban hujung minggu lalu, isteriku menceritakan tentang Majlis Perasmian Memorial Tun Hussein Onn yang ditengok lintas langsungnya melalui kaca TV. Dia sungguh kagum dengan kehebatan memorial tersebut. Rugi kalau kita tak tengok, terutama generasi muda, katanya. Aku ingat orang melihat cerita Hindustan sahaja boleh mengalirkan air mata.

Katanya lagi, dia mengeluarkan air mata menyaksikan peristiwa tersebut. Sebak. Pujian tinggi diberikan kepada Allahyarham. Dia terharu. Tetapi dia lebih rasa terharu kerana tidak ada usaha untuk mengajak hadirin menghadiah Fatihah kepada Allahyarham Tun Hussein Onn, walaupun oleh anaknya sendiri, Datuk Hishamuddin. Kalau aku mati nanti, adakah anak-anakku mendoakan aku, menghadiahkan aku Fatihah dan sebagainya, dia berbisik kepadaku. Aku turut terharu.

Dia selalu berkongsi pengalaman bersamaku. Katanya, dia sering merindukan kehadiran anak-anak di sampingnya, atau sekurang-kurangnya mendengar suara anak-anaknya menelefonnya bertanyakan khabar. Dia menjadi seorang menghiba. Justeru dari jauh aku sering menghiburkan hatinya (?) dengan menelifonnya - pagi, petang, siang, malam. Malangnya banyak kali panggilan tidak bersambut dan menjadi missed call yang berturut-turut.

Aku sendiri merasakan diriku menjadi seorang yang amat sensitif. Kadang-kadang secara tiba-tiba sahaja aku marah kepada perkara-perkara remeh temeh, atau kadang-kadang merasa terlalu hiba kepada hal-hal yang tidak sepatutnya dihebakan. Aku kini cuba memahami perubahan diriku sendiri. Mungkin aku perlu lebih sensitif kepada hal-hal yang lebih positif.

Thursday, February 09, 2006

 

KASIHILAH ANAK MUDA

Sewaktu orang lain merasa risau dengan kehadiran anak-anak muda Melayu yang hilang jati dirinya, yang lupa daratan, yang terjebak dengan gejala sosial, yang terdorong ke kancak maksiat, aku temui di alam maya banyak anak muda Melayu yang berwawasan, yang dedikasi, yang bersopan santun, yang kreatif dan inovatif serta mempunyai jati diri yang kukuh. Kunjungilah pelbagai blog anak-anak muda ini, anda akan ketemu dengan hakikat yang aku nyatakan. Terima kasih kepada anak-anak muda yang menyediakan blog positif masing-masing. Mereka merangkai jalinan kemesraan dan keilmuan melalui alam maya. Aku sendiri dapat banyak ilmu dan belajar.

Aku yakin sekiranya kerja-kerja seni mereka, dedikasi mereka, pengorbanan mereka dan gagasan bestari mereka diterima, dihargai dan diiktiraf oleh orang-orang tua seperti saya, kita upaya mewujudkan generasi Melayu yang cemerlang, gemilang dan terbilang seperti yang diharapkan oleh Pak Lah. Dekati mereka dan kasihi mereka. Mereka adalah aset yang paling berharga untuk bangsa kita.

Mereka bukan anak muda yang banyak kerinah. Mereka cuma ingin mereka difahami. Itu sahaja. Malangnya orang-orang tua seperti aku sering lebih gemar mencari kesilapan dan kesalahan mereka. Lebih malang mereka juga tidak rajin mengemaskinikan ilmu, terutama dari segi perkembangan teknologi maklumat. Seorang wakil wakyat yang aku hantar SMS supaya mengunjungi blog aku menjawab ringkas, "Tak faham." Dalam hati aku berkata, sebenarnya dia tidak faham atau dia tidak tahu. Kunjungilah isbiha.blogdrive.com, onnjaafar.blogspot.com, dan warisanjohor.blogspot.com. Di situ aku melepaskan suara hatiku.

Hari ini hari asyura dan antara lain kita sunat berpuasa.

This page is powered by Blogger. Isn't yours?

Subscribe to Posts [Atom]