Wednesday, November 30, 2005

 

BUSANA

Petang ini di Hotel M'Suite, Johor Bahru berlangsung Kursus Jahitan Busana Johor anjuran Majlis Kebudayaan Negeri Johor (MKNJ) yang akan dirasmikan oleh YAM Raja Zarith Sofiah.

Dalam pengertian biasa, busana ialah pakaian. Dalam pengertian budaya, busana ialah pakaian lengkap, yang indah buatannya dengan perhiasan yang sempurna dan indah dipandang, dan dipakai secara kemas, tertib, bersopan santun dan anggun sesuai dengan amalan masyarakat berbudaya.

Jikalau kebaya nyonya diberi promosi yang begitu hebat, kenapa tidak busana Melayu Johor? Bukankah busana Melayu Johor turut berperanan membentuk budaya bangsa dan memperlihatkan kemuliaan dan ketinggian peradaban budaya Melayu? Busana Melayu Johor patut dipelihara, disayangi dan dihargai agar ia terus kekal selaras dengan perkembangan dan tuntutan era globalisasi.

Malam ini Majlis sambutan Hari raya Aidil Fitri anjuran MKNJ di Rumah Limas Johor. Datanglah beramai-ramai dengan memakai busana Melayu Johor.

Monday, November 28, 2005

 

PERUBAHAN

Kita sentiasa berhadapan dengan persekitaran yang berubah dan terus berubah. kita lihat diri kita sendiri. Sedar atau tidak, saban hari perubahan berlaku - muka tambah berkedut, pandangan semakin kabur, pendengaran mula berkurangan, rambut banyak yang putih dari hitam, kekuatan tenaga beransur menjauhkan diri, dan seterusnya. Hati kita, perasaan kita, pemikiran kita seharusnya turut berubah mengikut perubahan fizikal itu. Kalau tua biarlah tua kelapa, semakin tua semakin berguna - sabutnya boleh dijadikan kraf, tempurungnya boleh dijadikan senduk, airnya sedap diminum dan kadang-kadang menjadi ubat, isinya banyak mengandungi santan, boleh menambahkan enaknya makanan atau jika diproses boleh dijadikan minyak makan. Kalau tua jangan biarkan diri seperti keladi, semakin tua gatalnya semakin menjadi, hendak dijadikan makanan pun sudah ganyut tidak mendatangkan selera mengunyahnya.

Yang penting, kita mesti berubah ke arah yang lebih baik. Aku teringat kisah beberapa tahun dahulu yang pernah kualami. Pada awal tahun 1980-an, aku bertugas di Melaka selama lebih tiga tahun. Kerana jenis tugasku, aku berpeluang pergi ke ceruk rantau di negeri Melaka. Kalau sekitar bandar Melaka, kejam mata pun aku tahu di mana sudutnya.

Kemudian aku terpaksa tinggalkan negeri bersejarah itu, sehinggalah lima tahun selepas itu aku diarahkan ke bandar Melaka kerana tugas rasmi. Bersamaku seorang teman yang emang belum pernah ke Melaka. Aku memandu kereta dari Kuala Lumpur menuju ke destinasi yang dituju.

"Tuan haji tahu ke tempat yang kita nak pergi ni?" soal temanku.
"Eh, jangan hina aku. Lebih tiga tahun aku tinggal di Melaka, Mana ceruk rantau yang aku tak pergi," aku menjawab angkuh.
"Kalau macam tu, bolehlah tuan haji jadi pemandu pelancong aku?"
"Bukan saja pemandu pelancong, nak carikan kau jodoh kat Melaka pun aku boleh jalankan," aku mengusik teman yang memang masih bujang walaupun usianya sudah melewati 35 tahun.

Kereta terus bergerak. Akhirnya sampai di bandar Melaka. Aku termagam dibuatnya, kerana bandar Melaka sudah banyak perubahan. Jalan baru sudah dibina, jalan lama sudah dijadikan satu hala. Aku terpaksa berliagar-ligar mengelilingi bandar Melaka kira-kira 45 minit untuk sampai ke Sekolah Tinggi Melaka, teman yan kami tuju itu. Lapan sembilan tahun yang lalu, memang mudah hendak ke sana tetapi kerana perubahan yang pesat dari segi aliran lalu lintas, aku sesat di bandar Melaka dibuatnya.

Dan jangan terperanjat. Bukan aku sahaja sesat kerana aku tidak mengikuti perubahan terkini di bandar Melaka. Aku turut membawa orang lain untuk sesat sama.

Moral daripada cerita ini: Berubahlah mengikut perkembangan kalau tidak mahu menjadi jahil, dan tidak membawa orang lain turut menjadi jahil seperti kita kerana kejahilan itu.

Thursday, November 24, 2005

 

SUARA BANGSA

"Orang Melayu di bumi Malaysia ini perlu mempelajari dan menghayati sejarah perjuangan ibu bapa dan nenek moyang mereka. Bumi yang kita pijak sekarang bukan sedari dulu lagi bebas, aman dan sentosa. Tanah Melayu, malah Nusantara keseluruhannya, pernah dijajah kuasa-kuasa kolonial Barat beratus-ratus tahun lamanya. Saat-saat getir yang terpaksa dilalui, pahit maung ditindas dan dipijak lantaran menumpang di bumi sendiri tidak akan pernah padam dari ingatan setiap dari kita yang melaluinya. Kemerdekaan yang dicapai terlebih dahulu menuntut perjuangan yang bermandikan keringat dan bersiramkan darah."

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi

Rujuk: Kamaruddin M. Said (2004)
500 Tahun Melayu Menghadapi Cabaran.
Shah Alam: Kris Publications

Wednesday, November 23, 2005

 

MENGENAL DIRI

Ada beberapa cara mengenal diri sendiri atau diri orang lain. Ada orang melihatnya dari segi penampilan diri, tetapi banyak juga orang terpedaya kerana terpengaruh oleh penampilan diri seseorang. Seorang penyagak besar yang berserban dan berjubah dikatakan seorang ulama. Dalam akhbar The Star seminggu dua yang lalu menceritakan kisah seorang hartawan Cina di Selangor yang tidak suka memakai baju dan kasut sepanjang masa. Dia memiliki rumah besar, kereta mewah dan ladang luas. Dia berjalan kaki di bandar atau keluar masuk ke bank pun begitulah caranya. Adakah dia seorang yang tidak siuman? Dia menjawab, "Biarlah orang kata apa pun. Aku selesa dengan cara aku.Keluarga aku pun selesa."

Ada orang suka melihat nasib diri melalui tukang telek. Baca tapak tangan, baca tahi lalat dan sebagainya. Tetapi ingat, perbuatan menilik dan meramal dilarang oleh agama Islam.

Ada juga cara-cara mengenal diri melalui alat pengukuran diri atau instrumen khusus yang dibina secara ilmiah berdasarkan uji kaji dan penyelidikan. Alat-alat serupa ini biasanya memerlukan seseorang menjawab beberapa pertanyaan khas yang disediakan secara jujur dan jawapan-jawapan kepada pertanyaan-pertanyaan itu dianalisis untuk mendapat keputusan yang dikehendaki. Keputusan itu akan menunjukkan ciri-ciri peribadi orang yang dinilai itu.

Ada juga orang yang suka mempamerkan ciri-ciri peribadi dirinya melalui huruf-huruf pangkal yang terdapat dalam nama peribadi. Cara ini boleh mendorong diri sendiri ke arah menampilkan ciri-ciri peribadi seperti yang disarankan melalui kembaran perkataan kepada huruf-huruf pada nama. Misalnya, sekiranya nama orang itu ISMAIL, maka dicarilah unsur-unsur yang boleh menunjukkan bahawa dia adalah seorang yang:

Ideal
Skillful
Moral
Artistic
Intelligence
Lovable

Kalau dalam bahasa Melayu, mungkin pula ciri-ciri yang ditonjolkan itu begini:

Imegenatif
Sabar
Mesra
Aktif
Ikhlas
Lasak

Dalam pengurusan, kaedah ini boleh digunakan bagi mendorong diri sendiri atau diri orang lain bagi mewujudkan peribadi diri yang terpuji. Jangan pula huruf-huruf pangkal nama peribadi itu digandingkan dengan ciri-ciri terkutuk, misalnya M untuk Malas, atau K untuk Kedekut dan sebagainya. Tonjolkanlah ciri-ciri terpuji. Guru-guru di sekolah boleh merangsangkan murid-muridnya melalui kaedah ini.

Ada seorang temanku bernama YAAKUB ISA, lantas ditulis nama dirinya sebagai YA AKU BISA. Sekarang teman itu sudah bergelar Dato' dan diberi tanggungjawab menguruskan sebuah institusi penting sebuah kerajaan negeri. Tahniah Dato' !

Di luar bilik ini panas dengan matahari memancar panas, namun di dalam bilik ini juga panas oleh tekanan tugas yang banyak yang perlu diselesaikan walaupun dinyamankan oleh dua unit penghawa dingin yang turut memainkan peranannya. Walaupun begitu, oleh kerana satu daripada ciri peribadiku ialah L iaitu Lasak, segala-galanya berjalan dengan selesa dan tidak meremaskan.

Tuesday, November 22, 2005

 

KOMUNIKASI TELEFON

hari Isnin, 21 Novermber aku bercuti. Sepanjang bercuti banyak masa aku habiskan di rumah. Telefon bimbitku dan telefon bimbing isteriku saling bersilih ganti berdering, terutama kerana yang membuat panggilan ingin maklumat tentang kesihatan isteriku atau tentnag tugas rasmiku. Aku tidak lagi mempunyai telefon rumah, setelah menyedari bahawa keperluannya amat terbatas, terutama apabila rumah ditinggalkan kosong, telefon berdering berpanjangan tiada siapa yang menghiraukan.

Dalam keadaan begitu, aku teringat peristiwa suatu ketika dahulu sewaktu aku sedang bercuti dan duduk di rumah. Pada masa itu, seorang orang anak lelakiku masih tinggal bersama kerana dia masih belajar. Dialah yang selalu terlebih dahulu menyambut panggilan telefon dari luar sebelum disalurkan kepada sesiapa yang diperlukan oleh si pemanggil.

Sedang aku bererhat-rehat di ruang tamu, tiba-tiba telefon berdering. Aku segera angkat ganggang telefon dan menyapa, "Halo ..."

"Emak ada?" aku dengar suara perempuan di cuping telegaku.
"Tak ada," jawabku pendek.
"Mak ke mana?"
"Mak dah meninggal."
"Ha?" suara perempuan itu kedengaran terperanjat. "Bila mak meninggal?"
"15 tahun yang lalu," jawabku selamba.

Aku tidak mendengar pertanyaannya lagi, kecuali terdengar bunyi ganggang telefon diletakkan. Barangkali perempuan itu menyedari kesilapannya kerana mengandaikan yang menyambut panggilan itu adalah anak lelaki isteri aku dan bukan suami kepada isteri aku.

Demikianlah erti sebuah komunikasi. Halangan komunikasi boleh menyebabkan maklumat tidak dapat dikongsi bersama. Akibatnya pelbagai. Kadang-kadang perkara-perkara kecil begini boleh menyebabkan perang besar.

Sedapat mungkin, peliharalah komunikasi untuk mewujudkan keharmonian dan bukan menghasilkan persengkitaan, sama ada komunikasi lisan, tulisan atau bahasa badan.

Monday, November 21, 2005

 

TERGENDALA

Malam 18 November ini sepatutnya aku menghadiri Majlis Penyampaian Anugerah Sastera Negeri Sembilan di Royal Aldelphi Hotel, Seremban. Tetamu istimewa ialah YAB Menteri Besar Negeri Sembilan. Hati sudah merasa riang sebab pastinya ramai teman-teman lama yang boleh kutemui pada malam itu. Aku sudah berpesan kepada isteriku supaya disiapkan pakaian Melayu warna merah untuk majlis tersebut. Namun sesuatu yang tidak diduga berlaku. Isteriku terpaksa ke Colombia Asia Hospital Seremban, dan terpaksa melakukan pembedahan pada pagi 18 November tersebut.

Aku bergegas pulang, tetapi kemudiannya dimaklumkan pembedahan itu terpaksa ditangguhkan esok pagi. Namun masanya sudah terlewat untuk turut serta dalam majlis di Royal Aldelphi Hotel itu. Rancangan tergendala. Tak apalah, manusia sekadar merancang ...

Esoknya, 19 November isteriku selamat menjalani pembedahan, dan hari-hari berikutnya untuk selama seminggu, kerja-kerja mencuci luka terpaksa dilakukan sebelum jahitan untuk menautkan luka dilakukan. Aku terpaksa bercuti sehari pada hari ini kerana isteriku masih kelihatan lemah.

Terima kasih kepada anak-anak yang memahami. Semoga isteriku akan terus sihat, ceria dan bahagia bersama-sama keluarga.

Kalau ada lembah menjurang
Jangan selesa turun ke laut
Kalau ada limpah dan sayang
Sepanjang usia bahagia bertaut

Thursday, November 17, 2005

 

PEJUANG

Sehari dua ini aku terpukau perjuangan Dato' Onn, menginsafi betapa kental semangatnya dan betapa kuat ketahanan dirinya menjejalah ke ceruk rantau Semenanjung Tanah Melayu semata-mata untuk menyelamatkan orang-orang Melayu daripada ancaman Malayan Union.
Kalaulah tidak kerana Dato' Onn, apakah akan terjadi kepada kita?

Dalam keinsafan begitu, aku teringat seorang rakan (abang? - kerana umurnya kini mungkin dalam lingkungan akhir 70-an) di Muar yang dahulu amat hebat berjuang dalam kerja-kerja politik, kemasyarakatan dan kesukarelaan. Sebut sahaja namanya, orang pasti tahu bagaimana semangat perjuangannya. Dia tidak mengenal erti penat dalam perjuangan. Namun beberapa tahun kebelakangan ini dia menyepi diri dan kelihatan surut serta beralih haluan dalam perjungan. Dia berundur. Dia selalu ditanya, "Kenapa berundur?", dan jawapannya mudah. "khianat!" jawabnya pendek. Katanya, setiap kali dia ingin melibatkan diri dalam perjuangan, kehadirannya dicemburui, dan niatnya dikhianati. Dan yang berbuat demikian adalah rakan-rakannya sendiri yang dipanggil bangsa Melayu.

Untuk menghiburkan hati yang lara, dia berdendang dengan serangkap pantun. Sebagai penghargaan, penghormatan dan kekaguman saya terhadapnya, saya paparkan pantun tersebut (setelah saya sunting mengikut keperluan tulisan ini):

Terang berkilat si kunang-kunang
Ikan beleda bertulang bisa
Orang jahat lagi dikenang
Inikah pula pejuang berjasa

Selamat berjuang Tuan Haji ...

Wednesday, November 16, 2005

 

ITU PARLIMEN SAYA BUAT

Pada peringkat akhir tahun-tahun 80-an, saya sering berulang alik dari Seremban ke Jalan Duta, Kuala Lumpur kerana tugas. Pada suatau hari saya menaiki teksi dari Puduraya ke Jalan Duta. pemandunya seorang lelaki India. Dia memandu teksinya mengikut jalan jauh, walaupun jalan pintas yang mudah dan tidak sesak tetap ada.

"Kenapa ikut jalan sini? Jalan ni jauh," tanya saya
"Tak apa. Saya suka lalu sini."
"Bukan soal awak suka.'
"tak apa, encik. Saya tak charge lebih," jawabnya selamba sambil terus memandu teksinya dengan penuh keriangan.

Saya tidak membantah. Kalau saya membantah pun, bukan boleh buat apa, fikir saya.

Sewaktu tiba di kawasan parlimen, dia tiba-tiba memperlahankan teksinya. "Encik tengok itu," katanya sambil tangan menuding ke arah bangunan Parlimen.

"Saya tahu, itu parlimen."
"Itu parlimen saya juga buat," katanya dengan bangga.
"Eh, macam mana,"
"Itu dulu saya kerja kontrak. Buat itu parlimen. itu batu bata saya susunlah. Itu sebab kalau boleh hari-hari saya mahu tengok apa saya sudah buat."

Begitulah kebanggaan seorang tukang susun batu bata bangunan parlimen. Dia bangga terhadap hasil kerjanya dan sumbangannya. Dia bangga dengan apa yang dia sudah lakukan, biar sekecil mana pun kerjanya itu.

Sudahkah aku menghasilkan kerja-kerja yang membanggakan? Sudahkah aku memberi sumbangan yang bererti? Tetapi yang amat penting, buatlah apa sahaja yang baik dengan penuh keikhlasan. Itulah hadiah paling besar kepada diri kita sendiri.

Tuesday, November 15, 2005

 

ASPERASI DAN INSPERASI DATO' ONN

Kini banyak orang - kecil besar, tua muda - menanjungi Mawi, satu nama yang tiba-tiba gah dalam persada seni hiburan di Malaysia. kemunculan namanya yang secara tiba-tiba dan meledak besar merupakan satu fenomina yang luar biasa. Sejarah hampir 60 tahun yang lalu dengan kemunculan Dato' Onn kini berulang kembali rupanya.

Tidak ada siapa yang boleh menyanggah imej tersendiri Dato' Onn yang memukau. Dia timbul secara tiba-tiba sebagai pejuang tulen dari Johor yang kemudiannya menjurai persada perjuangan di peringkat kebangsaan.

Dalam lipatah sejarah, Dato' Onn dicanang sebagai tokoh ternama. Dia mempunyai daya kebijaksanaan, ketahanan, ketabahan, kesungguhan, keazaman dan jati diri yang tinggi.Tetapi sejauh manakah asperiasi dan insperasi Dato' Onn itu sudah kita terjemahkan ke dalam budaya hidup dan arutin pemikiran kita hari ini?

Sebenarnya Dato' Onn adah pengasas kelahiran sebuah negara bangsa Malaysia. Dia bagai seorang pelukis yang melakarkan peta perjalanan masa hadapan Malaysia. Apa yang dilbuat oleh pemimpin-pemimpin selepasnya adalah melakukan perjalanan mengikut peta yang telah disediakan oleh Dato' Onn. Segala-galanya sudah diatur dengan jelas dan kemas.

Tan Siew Sin, Menteri Kewangan Tanah Melayu yang pertama pernah berkata, "Kesilapan beliau (Dato' Onn), kalau perkataan ini tepat saya gunakan ialah kerana beliau telah memikirkan sesuatu yang lebih jauh daripada masa hidupnya. Saya tidak ragu-ragu masa akan mengesahkan pandangan jauhnya itu; mewujudkan sebuah parati politik berbilang kaum di negara ini."

Sebenarnya pandangan jauh dato' Onn tidak terbatas dalam bidang politik. Dia berpandangan jauh dalam banyak hal - politik, ekonomi, pendidikan, agama, kebudayaan dan sebagainya.

Tun Mahathir turut menyanjung Dato' Onn dengan mengatakan. Hanya dato' Onn sahaja yang dapat dianggap sebagai pejuang Melayu yang pertama memimpin perjuangan negara menentang British ... kerana beliaulah UMNO ditubuhkan, dan disebabkan UMNO kita berjaya menentang Malayan Union dan akhirnya mencapai kemerdekaan. Ternyata Dato' Onn bertanggungjawab di atas kemerdekaan negara kita dan kita perlu ingat dan menghargai jasanya setiap masa."

Apa yang perlu kita buat? Kita tidak sepatutnya sekadar mengingatinya semata-mata. Kita perlu bertindak menterjemahkan segala ciri positif dato' Onn ke dalam aktiviti-aktiviti penyelidikan, penulisan, penerbitan, latihan, pendidikan, pengeluaran produk, persembahan dan peragaan dalam bidang siasah, agama, sejarah, sosio-budaya, ekonomi, kebudayaan dan lain-lain secara terancang dan berterusan.

Kalau tidak kita, siapa lagi? Marailah kita bugar dan rungkai akar tradisi, sejarah, warisan dan perjuyangan Dato' Onn bagi mengukuhkan jati diri kita sebagai negara bangsa yang berjaya.

Kalau tidak kita, siapa lagi?


Monday, November 14, 2005

 

PTO

Pengurusan melibatkan kepimpinan. Gaya kepimpinan berbeza-beza. Pada umumnya, ilmu kepimpinan moden membahagikan pemimpin kepada tiga gaya kepimpinan, iaitu kuku besi, selesa dan daif. Ada juga yang membahagikan gaya kepimpinan berdasarkan orientasi kerja, sama ada berasaskan kepada tugas atau berasaskan kepada kemanusiaan. Bagi saya, semua gaya kepimpinan itu boleh digunakan berdasarkan PTO - people, time dan organisation.

Setiap orang mempunyai sifat peribadi yang berlainan. Sebagai contoh, saya mempunyai tujuh orang anak, tetapi masing-masing berbeza perangainya antara satu sama lain. seorang anak saya, saya jeling sahaja dia sudah tahu saya marah dan dia faham, kadang-kadang dia menangis dibuatnya. seorang anak lagi, sampai berbuihlah mulut saya menasihatinya, dia tidak akan peduli, tetapi akan akur apabila saya ajak dia berunding. Yang seorang lagi, lain sedikit perangainya. marah saya dilihat sebagai gurauan. Begitulah seterusnya. Ertinya, lain orang lain perangainya. Kita boleh boleh menggunakan cara yang sama untuk mengurusnya.

Begitu juga dari segi masa. Pada masa kecemasan, budi bicara tidak perlu lagi. Mesyuarat tidak lagi bererti. Pada ketika ini, arahan atau paksaan lebih berkesan.

Orgaanisasi pun ada pelbagai jenis. Ada organisasi yang berkaitan dengan keselamatan dan mengurus maklumat rahsia. Kepimpinan yang berorientasikan kemanuisaan mungkin boleh menggagalkan misi organisasi tersebut. Di sini konsep arah, kerah dan marah mungkin lebih sesuai.

pendek kata, apabila kita memimpin, gunakanlah pendekatan PTO - people, time dan organisation. Sesuaikah ini di rumah? sesuaikah ini di sekolah? Sesuaikah ini di pejabat? Sesuaikah ini di mana-mana?

Sunday, November 13, 2005

 

JATI DIRI

Kini terlalu banyak dibicarakan tentang "jati diri". Apakah sebenarnya "jati diri"? Kalau "jati" maknanya "asal, asli, tulen, murni", maka "jati diri" bererti "diri yang asal, asli, tulen dan murni". Secara mudah, kalau seseorang itu dilahirkan sebagai lelaki, maka asalnya adalah lelaki. Janganlah pula lelaki nak jadi perempuan atau sebaliknya. Kalau begitu halnya, maknanya jati dirinya sudah tidak ada. Kalau seseorang itu dilahirkan berambut hitam dan klitnya sawo matang, perbuatannya menjadikan rambutnya perang dan kulitnya merah kenuning-kuningan, ertinya jadi dirinya sudah hilang. jika jati dirinya itu tidak mahu dipakai, maknanya dia tidak menghargai, menghormati dan mengiktiraf dirinya sebagaimana apa yang dijadikan berdasarkan warisan. Dalam konteks ini, "jati diri" bererti "keksanggupan seseorang menghargai, menghormati dan mengiktiraf kejadian dirinya berasaskan warisan kelompok secara turun termurun".

Kalau mengaku orang Melayu, jati dirinya ialah memahami dan mengamalkan budaya Melayu. Kalau mengaku dirinya Islam, jati dirinya ialah menurut segala perintah Allah - mengerjakan apa yang diperintahkan dan meninggalkan apa yang dilarang. Maknanya, kita menghormati, menghargai dan mengiktiraf apa yang ditentukan untuk kita. Kalau ibu bapanya memberi nama Abu Bakar atau Khatijah, hargai nama itu dan bukan menukarkan sebagai Albert Burn atau Kathy. Kalau jati diri sudah luluh, ertinya pengenalan diri hilang, harga diri tenggelam dan maruah diri terbuang.

Berapa ramaikah orang Melayu yang sudah membuang jati dirinya?Berapa ramaikah orang Melayu yang segan mengaku dirinya Melayu?Berapa ramaikah orang Melayu yang segan belajar budaya, sejarah dan bahasa bangsanya? DAN BERAPA RAMAIKAH PEMIMPIN MELAYU YANG GAGAL MEMAHAMI JATI DIRI BANGSANYA DAN MEMPERJUANGKAN NASIB BANGSANYA - BANGSA MELAYU? Allah berperman, "Tidak berubah sesuatu KAUM kecuali KAUM itu sendiri mengubahnya." Ertinya, perjuangan manusia tidak sekadar untuk kepentingan dirinya sendiri, tetapi keperntingan kaumnya.

Wednesday, November 09, 2005

 

HARI RAYA CERMIN PERPADUAN UMMAH

Dalam budaya Melayu, hanya dua hari kebesaran Islam yang dikaitkan dengan hari raya. Konsep ini tidak ada dalam budaya lain. Dalam konteks ini, hari raya tidak sekadara hari besar, tetapi juga hari mulia memperlihatkan unsur kegembiraan, kemesraan, kerukunan dan kebersamaan.

Selaras dengan konsep budaya Islam, hari raya melahirkan hubungan baik antara manusia dengan pencipta-Nya, dengan manusia lain dan dengan alam sekitar, selaras dengan tanggungjawab umat memakmurkan alam.

Kerana itu, semasa hari raya, unsur-unsur meningkatkan rasa kesyukuran, hormat menghormati, maaf memaafi, kasih sayang dan berbaik sangka amat ditekankan. Sifat tolerensi yang terdapat dalam Islam amat ditonjolkan supaya dilihat dan difahami semua lapisan masyarakat.

Ketika hari raya, umat Islam tidak sekadar memuji kebesaran Allah dengan bertakbir, tetapi juga menjalin hubungan baik sesama manusia dengan kunjung mengunjungi, menjamu makan, memberi sedekah dan mengeratkan hubungan silatulrahim sesama manusia.

Di negeri Johor, semangat hari raya menjadi sebahagian budaya yang diamalkan bersama seluruh rakyat Johor sejak dulu lagi. Orang bukan islam turut meraikan hari raya, terutama dari segi ziarah menziarahi dan kunjung mengunjungi.

Ciri penting hari raya ialah bermaaf maafan secara ikhlas. ini menjadi teras perpaduan berkekalan. Permusuhan ditamatkan, salah silap dimaafkan, buruk sangka di ketepikan, perselisihan dilupakan, kedamaian dan kerukunan diwujudkan.

kemeriahan hari raya ditambah dengan wujudnya kumpulan marhaban, yang berkunjung dari rumah ke rumah secara kumpulan, bermarhaban beramai-ramai dan mendoakan kesejahteraan serta keselamatan tuan rumah. Ada kumpulan orang tua, ada kumpulan perempuan, dan ada kumpulan kanak-kanak. Tuan rumah sentiasa menunggu-menunggu kedatangan mereka. Kalau di kampung, tidak ada rumah yang tertinggal menerima kunjungan kumpulan-kumpulan marhaban ini.

Konsep umum yang dibina melalui hari raya ialah rumah terbuka. Berdasarkan semangat rumah terbuka ini, setiap orang boleh mengunjungi rumah siapa sahaja pada harai raya tanpa memerlukan jemputan, undangan atau temu janji. Datanglah pada bila-bila masa, tetamu akan disambut dengan mesra, gembira dan ceria, malah dijamu dengan kuih muih dan makanan yang tersedia. Tidak ada hari khusus yang ditetapkan. Begitulah murninya hari raya, berpayungkan nilai-nilai murni baik harai, ramah tamah dan mesra ria.

Pada hari ini, sesuai dengan perkembangan zaman, rumah terbuka menerima perubahan. Tarikh dan masa untuk rumah terbuka ditetapkan. Hal ini bertujuan memudahkan persiapan dan pelaksanaan, kerana sistem hubungan dalam masyarakat kini sudah banyak berubah. Apapun keadaannya, semangat hari raya perlu dikekalkan.

Sambutan hari raya memainkan peranan penting dalam masyarakat majmuk. Ia merupakan faktor utama yang mudah diterima oleh semua rakyat bagi mengeratkan perpaduan, mencerminkan keharamonian hidup bersama dalam masyarakat, dan menjadi pedoman generasi muda memelihara identiti serta budaya bangsa.

Bagi mengekalkan amalan murni ini, keluarga memainkan peranan penting. segala-galanya bermula dari sebuah keluarga kecil suami isteri dan anak-anak. Eratkanlah hubungan kekeluargaan dan hidupkanlah semangat kasih sayang dan hormat menghormati antara satu sama lain.

Sebulan kita berhari raya. Dalam berhari raya, ingat ... Sudah tunaikan puasa enam?


Monday, November 07, 2005

 

SYAWAL

Tahu sahaja esok hari raya, kami di masjid mengatur program bertakbir dari rumah ke rumah seperti tahun-tahun lalu. Hujan rentek-rentek tidak menghalang kami bergerak. kKumpulan Meranti mengandungi kira-kira 25 orang melibatkan sebanyak 14 buah rumah, dipimpin oleh Tuan Imam Haji Jalal Aman. Hampir jam 1.00 pagi baru kami bersurai.

Esoknya, 3 Noveber 2005, jam 8.30 pagi, sebahyang hari raya dimulakan. Semuanya ahli keluarga,kecuali seorang yang di Moscow, berkumpul - seorang suami/bapa, seorang isteri/ibu, enam orang anak dan tiga orang cucu. meriah juga dengan ketupat, rendang, lodeh dan kuih muih. Pada sebelah petangnya saudara mara berkunjung berhari raya. Riuh rendah dengan suara dan gelagat anak-anak kecil tambah memeriahkan suasana.


4 November 2005, sewaktu di rumah abang ipar di Mantin dikejutkan dengan berita kematian anak saudara isteri. Umurnya menjelang 40 tahun, kena serangan sakit jantung. kerana mati mengejut, kena juga buat pemeriksaan di Hospital Besar kuala Lumpur sebelum dikebumikan jam 11.00 malam di Tanah perkuburan Gombak.

5 November 2005, sekali lagi saudara mara datang berhari raya.

6 November 2005, jam 9.00 pagi dikejutkan dengan kedatangan dua SMS berturut-turut. SMS pertama, "Puan Habibah Arifin sakit tenat di Strand Hospital Sungai Petani," diikuti dengan SMS kedua, "Puan Habibah sedang nazak." Selepas itu tidak ada sebarang berita, sementara aku sibuk mengurus dan menghantar anakku kembali ke Politeknik Johor Bahru ditemani isteri dan anak bungsu.
Sedang tidur kira-kira jam 12.00 tengah malam, SMS mengatakan Puan Habibah telah meninggal dunia diterima. Kuhadiahkan fatihah moga-moga rohnya dimasukkan ke dalam roh orang-orang yang beriman. Amin.

7 November 2005, hari pertama bekerja selepas cuti panjang hari raya. Ramai juga yang sudah balik daripada bercuti, jadi tidaklah terasa sunyi sangat.

Demikianlah rintitan peristiwa sepanjang masa menjelang dan sesudah hari raya. segala-galanya berjalan dengan lancar sekiranya kita merancangnya dengan baik. Namun begitu, kita jangan lupa bahawa Allah yang maha berkuasa menentukan sama ada yang kita laksanakan berdasarkan perancangan itu dapat dicapai. Itulah sebabnya, kita diajar untuk berkata, "Insya-Allah." Segala-galanya boleh berlaku dengan izin Allah.

Sesungguhnya Allah maha agung. Ya, Allah! lindungilah aku dengan rahmat kurnia-Mu beroleh keberkatan dan kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat. Amin ...


This page is powered by Blogger. Isn't yours?

Subscribe to Posts [Atom]