Saturday, November 04, 2006

 

SABTU YANG SEPI

Hari Sabtu ini aku bersendirian di Johor Bahru. Walaupun kehadiran Pak Lah berjaya mengheret ribuan orang ke Teluk Danga hari ini, aku sendiri tidak berminat untuk sama-sama menyertai Majlis Perasmian Wilayah Ekonomi Johor Selatan (SJER) yang disempurnakan oleh DYMM Sultan Iskandar. Mengikut perancangan, projek ekonomi ini memang hebat. Projek ini melibatkan pembangunan kawasan seluas 2,217 kilometer persegi meliputi kawasan segitiga antara Lapangan Terbang Senai di selatan, Pelabuhan Tanjung Pepepas di barat daya dan Pelabuhan Pasir Gudang di tenggara menjadi pusat pertumbuhan ekonomi bertaraf sebuah metropolis antarabangsa. Terangkum dalam projek itu ialah Kompleks Pentadbiran Kerajaan Negeri Johor yang terancang dan bersepadu di Nusajaya yang bakal menjadi mercu tanda baru di negeri Johor, sama seperti Putrajaya.

Aku memulakan hari dengan menziarahi Ilia di Pasir Gudang dan bersamanya bersarapan pada jam 8.30 pagi. Sepinggan nasi lemak bersama telur rebus dan paru goreng serta segelas kopi O sudah cukup memenuhi ruang kosong perutku. Bayangkan malam tadi aku sekadar makan malam dengan segelas Nescafe kosong dan beberapa biji kuih raya yang dibekalkan oleh isteriku dari Seremban.

Sesampainya semula ke tempat kediaman, aku membaca akhbar sebelum berhadapan dengan TV secara berbaring. Dapat juga aku mengikuti Majlis Pelancaran SJER melalui TV3 yang dipancarkan secara langsung. Dalam keadaan yang selesa secara berbaring itu, rupa-rupanya aku turut merakam audio dari TV di sebelahku itu ke dalam mimpiku.

Apabila terjaga kira-kira jam 1.00 petang, aku meneruskan aktivitiku di hadapan komputer ini, membuat homework untuk tugas dalam Konvensyen UMNO Johor esok dan lusa yang akan dijalankan di Persada, Johor Bahru. Timbalan Perdana Menteri akan hadir pada 6 November untuk menerima penyerahan resolusi konvensyen daripada Ketua Perhubungan UMNO Johor, YAB Dato' Haji Abdul Ghani Othman. Harap-harap kerja rumah ini akan dapat membantu sesi perbengkelan nanti. Sebenarnya aktiviti ini jugalah yang menyebabkan aku tidak pulang ke Seremban hujung minggu ini. Tak apalah, sudah menjadi tugas ...

Dan walaupun kini sudah jam 2.30 petang, aku belum berhasrat untuk makan tengah hari. Pastinya isteriku ditemani anak-anakku kini sudah berada di Bangi, menghadiri majlis rumah terbuka hari raya sepupunya, Kiah. Sedangkan aku sedang berfikir, adakah cukup aku merebus dua biji telur untuk makan tengah hariku?

TV di kiriku sedang menayangkan sebuah filem Hindustan - riuh dengan muzik dan dialog. Sesekali sambil menaip aku menjeling visual yang ditayangkan itu, terutama apabila mendengar hilai ketawa atau pengucapan pelakon wanita yang lain sedikit bunyinya. Namun visual itu tidak dapat memikat perhatianku.

Namun aku tetap terus sepi pada hari Sabtu ini.

Wednesday, November 01, 2006

 

SELEPAS HARI RAYA

Cuti rehatku masih banyak. Kerana itu, aku mengambil peluang cuti am hari raya aidil fitri untuk bercuti panjang, iaitu dari 21 Oktober hingga 4 November. Namun hasrat tidak kesampaian, dan hari ini aku terpaksa bergerak pulang ke Johor Bahru kerana esok pagi ada mesyuarat penting yang perlu aku hadiri. Aku merancang bertolak dari Seremban selepas Subuh, tetapi akhirnya jam 2.oo petang baru meninggalkan rumah. Lebuhraya tak sibuk, tetapi terpaksa menempuh hujan sebahagian perjalanan. Agak lebih juga. Kerana terlalu mengantuk (agaknya kerana bangun tidur jam 4.00 pagi kerana bersahur puasa sunat), aku berhenti di Kawasan Rehat Air Keruh dan tidur sebentar. Akhirnya aku sampai Johor Bahru jam 5.00 petang.

Tak ada yang luar biasa sepanjang berhari raya. Seperti biasa, kami bertakbir dari rumah ke rumah pada malam 1 Syawal. Malam itu kami dapat mengunjungi 13 buah rumah sehingga jam 12.00 malam. Esoknya sembahyang hari raya di masjid, tetapi agak terkilan apabila imam banyak membuat kesilapan, termasuk lupa mengangkat tujuh kali takbir sebelum membaca Surah Fatihah. Agaknya dia tidak fokus atau terlalu fokus. Aku tak pasti.

Hari-hari berikutnya berjalan seperti biasa. Izwan sempata mengajak kawan-kawannya ke rumah dan BBQ di tepi kolam yang baru dibina. Riuah rendah anak-anak muda itu berbual danbergelak ketawa. Akhirnya siap juga taman kolam yang dirancanag seadanya, biarpun kerja-kerja menyempurnakannya masih dilakukan selepas solat hari raya. Seminggu dua ini kerja-kerja pembaikan akan ditgeruskan kerana banyak perkara yang tidak sempurna.

Pada hari Jumaat lepas, kami berkumpul di rumah Lin untuk makan tengah hari dan baca doa selamat. Maklumlah sejak dia berpindah rumah di Vision Home, belum lagi dibuat doa selamat. Memang telah lama dirancang tetapi ada sahaja halangannya. Alhamdulillah, aku dan isteri, Kak Long dan Adam, Dino dan Zam serta Iman, Izwan dan Ilia dapat bersama-sama.

This page is powered by Blogger. Isn't yours?

Subscribe to Posts [Atom]