Saturday, March 05, 2005

 

KAKU DAN BEKU

Di luar hari bekerja seperti hari ini keadaan seolah-olah kaku dan beku. Bilik-bilik pejabat kosong dan lengang. Tiada siapa yang datang bekerja. Bunyi alat pendingin hawa begitu kuat, dan seolah-olah bunyi itu sahajalah yang kedengaran. Sekali-kali terdengar di luar deru kereta yang lemah - mungkin kerana tersalah jalan atau mencari jalan. Kadang-kadang terdengar juga bunyi motosikal yang memecah kesunyian - mungkin motosikal itu dipandu oleh anak muda yang pada waktu malam suka berlumba haram. Dalam keadaan kaku dan beku ini, minda terasa semacam kosong dan sukar untuk menjana idea-idea baru. Suatu keadaan yang terbalik. Tapi itulah aku. Duduk mengelamun di hadapan komputer tanpa sebarang aktiviti yang bermanfaat.

Wednesday, March 02, 2005

 

MEREDAH EMBUN

Pada kebiasaannya, sebelum matahari memancarkan sinar, embun menghiasi dedaun bagai manik-manik putih jernih. Mengimbau zaman kanak-kanak, aku awal pagi sudah meredah embun pergi ke sekolah, berjalan dengan berkaki ayam sejauh 2.5 kilometer. embun masih setia menumpang kasih di atas kehijauan dedaun. Terasa nyaman dan bahagia. Sewaktu remaja, malam-malam bertanding di simpang empat, sembang-sembang sesama teman di atas cokrok, dan kembali ke rumah apabila embun jantan mula gugur ke bumi. Teringkat Alamat Hari Nak Siang dalam H ikayat Malim Deman:

Tengah malam sudah lampau
Dini hari belum lagi
Budak-budak dua kali jaga
Orang muda pulang bertandang
Orang tua beralih tidur
.....................................
.....................................

Kini berada di tengah-tengah kota, embun sudah segan untuk taurun. Tidak ada lagi kenikmatan merempuh embun, sebaliknya keazaban merembuh asap beracun dari pelbagai kenderaan yang lalu lalang. Ah, betapa hibanya mengenang nikmat yang sudah hilang, bahagia yang sudah lupus. Teringat pesan Nabi Muhamad, menyuruh kita supaya ingat lima perkara sebelum terjadi lima perkara - sihat sebelum sakit, kuat sebelum lemah, lapang sebelum sibuk, kaya sebelum miskin, dan hidup sebelum mati. Sesungguhnya tidak ada yang kekal di dunia ini.

Tuesday, March 01, 2005

 

SUNYI SENDIRI

Teman serumah bertugas di luar. Setelah kembali dari Majlis Penutupan Bengkel Seni Khat jam 11.00 malam, aku kembali di hadapan komputer menulis blog ini. Aku teringat pagi tadi, aku sibuk membincangkan tentang penyediaan modul latihan bagi tajuk Jati Diri. Ada keperluan untuk mengadakan satu sesi percambahan fikiran (brainstorming) - pernah satu ketika diistilahkan sebagai sumbangsaran - saranan-saranan yang sumbang (?) . Nampaknya tahun ini banyak perkara yang hendak difikirkan tentang pelaksanaan latihan. Baru hujung minggu lalu, satu sesi latihan motivasi kepada staf diadakan melalui kaedah lawatan ke Putrajaya. Nampaknya berkesan berbanding dengan kaedah bilik darjah. Ambil iktibar daripada peristiwa Israk dan Mikraj.
 

MELAKAR RASA

Bersendirian selepas tugas rasmi memberi peluang untuk melayan rasa hati. Secara kebetulan pertama kali aku berpeluang mengenali blog apabil aku membuka blog anakku di Moscow, pelajar tahun Tiga, Russian Medical State University. Hal ini medorongku untuk mempunyai blog sendiri, sekurang-kurangnya aku dapat meluahkan rasa hatiku, atau mungkin menjalin hubungan silaturahim dengan pemilik-pemilik blog yang lain.

This page is powered by Blogger. Isn't yours?

Subscribe to Posts [Atom]