Wednesday, November 09, 2005

 

HARI RAYA CERMIN PERPADUAN UMMAH

Dalam budaya Melayu, hanya dua hari kebesaran Islam yang dikaitkan dengan hari raya. Konsep ini tidak ada dalam budaya lain. Dalam konteks ini, hari raya tidak sekadara hari besar, tetapi juga hari mulia memperlihatkan unsur kegembiraan, kemesraan, kerukunan dan kebersamaan.

Selaras dengan konsep budaya Islam, hari raya melahirkan hubungan baik antara manusia dengan pencipta-Nya, dengan manusia lain dan dengan alam sekitar, selaras dengan tanggungjawab umat memakmurkan alam.

Kerana itu, semasa hari raya, unsur-unsur meningkatkan rasa kesyukuran, hormat menghormati, maaf memaafi, kasih sayang dan berbaik sangka amat ditekankan. Sifat tolerensi yang terdapat dalam Islam amat ditonjolkan supaya dilihat dan difahami semua lapisan masyarakat.

Ketika hari raya, umat Islam tidak sekadar memuji kebesaran Allah dengan bertakbir, tetapi juga menjalin hubungan baik sesama manusia dengan kunjung mengunjungi, menjamu makan, memberi sedekah dan mengeratkan hubungan silatulrahim sesama manusia.

Di negeri Johor, semangat hari raya menjadi sebahagian budaya yang diamalkan bersama seluruh rakyat Johor sejak dulu lagi. Orang bukan islam turut meraikan hari raya, terutama dari segi ziarah menziarahi dan kunjung mengunjungi.

Ciri penting hari raya ialah bermaaf maafan secara ikhlas. ini menjadi teras perpaduan berkekalan. Permusuhan ditamatkan, salah silap dimaafkan, buruk sangka di ketepikan, perselisihan dilupakan, kedamaian dan kerukunan diwujudkan.

kemeriahan hari raya ditambah dengan wujudnya kumpulan marhaban, yang berkunjung dari rumah ke rumah secara kumpulan, bermarhaban beramai-ramai dan mendoakan kesejahteraan serta keselamatan tuan rumah. Ada kumpulan orang tua, ada kumpulan perempuan, dan ada kumpulan kanak-kanak. Tuan rumah sentiasa menunggu-menunggu kedatangan mereka. Kalau di kampung, tidak ada rumah yang tertinggal menerima kunjungan kumpulan-kumpulan marhaban ini.

Konsep umum yang dibina melalui hari raya ialah rumah terbuka. Berdasarkan semangat rumah terbuka ini, setiap orang boleh mengunjungi rumah siapa sahaja pada harai raya tanpa memerlukan jemputan, undangan atau temu janji. Datanglah pada bila-bila masa, tetamu akan disambut dengan mesra, gembira dan ceria, malah dijamu dengan kuih muih dan makanan yang tersedia. Tidak ada hari khusus yang ditetapkan. Begitulah murninya hari raya, berpayungkan nilai-nilai murni baik harai, ramah tamah dan mesra ria.

Pada hari ini, sesuai dengan perkembangan zaman, rumah terbuka menerima perubahan. Tarikh dan masa untuk rumah terbuka ditetapkan. Hal ini bertujuan memudahkan persiapan dan pelaksanaan, kerana sistem hubungan dalam masyarakat kini sudah banyak berubah. Apapun keadaannya, semangat hari raya perlu dikekalkan.

Sambutan hari raya memainkan peranan penting dalam masyarakat majmuk. Ia merupakan faktor utama yang mudah diterima oleh semua rakyat bagi mengeratkan perpaduan, mencerminkan keharamonian hidup bersama dalam masyarakat, dan menjadi pedoman generasi muda memelihara identiti serta budaya bangsa.

Bagi mengekalkan amalan murni ini, keluarga memainkan peranan penting. segala-galanya bermula dari sebuah keluarga kecil suami isteri dan anak-anak. Eratkanlah hubungan kekeluargaan dan hidupkanlah semangat kasih sayang dan hormat menghormati antara satu sama lain.

Sebulan kita berhari raya. Dalam berhari raya, ingat ... Sudah tunaikan puasa enam?


Comments: Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]





<< Home

This page is powered by Blogger. Isn't yours?

Subscribe to Posts [Atom]