Wednesday, November 16, 2005

 

ITU PARLIMEN SAYA BUAT

Pada peringkat akhir tahun-tahun 80-an, saya sering berulang alik dari Seremban ke Jalan Duta, Kuala Lumpur kerana tugas. Pada suatau hari saya menaiki teksi dari Puduraya ke Jalan Duta. pemandunya seorang lelaki India. Dia memandu teksinya mengikut jalan jauh, walaupun jalan pintas yang mudah dan tidak sesak tetap ada.

"Kenapa ikut jalan sini? Jalan ni jauh," tanya saya
"Tak apa. Saya suka lalu sini."
"Bukan soal awak suka.'
"tak apa, encik. Saya tak charge lebih," jawabnya selamba sambil terus memandu teksinya dengan penuh keriangan.

Saya tidak membantah. Kalau saya membantah pun, bukan boleh buat apa, fikir saya.

Sewaktu tiba di kawasan parlimen, dia tiba-tiba memperlahankan teksinya. "Encik tengok itu," katanya sambil tangan menuding ke arah bangunan Parlimen.

"Saya tahu, itu parlimen."
"Itu parlimen saya juga buat," katanya dengan bangga.
"Eh, macam mana,"
"Itu dulu saya kerja kontrak. Buat itu parlimen. itu batu bata saya susunlah. Itu sebab kalau boleh hari-hari saya mahu tengok apa saya sudah buat."

Begitulah kebanggaan seorang tukang susun batu bata bangunan parlimen. Dia bangga terhadap hasil kerjanya dan sumbangannya. Dia bangga dengan apa yang dia sudah lakukan, biar sekecil mana pun kerjanya itu.

Sudahkah aku menghasilkan kerja-kerja yang membanggakan? Sudahkah aku memberi sumbangan yang bererti? Tetapi yang amat penting, buatlah apa sahaja yang baik dengan penuh keikhlasan. Itulah hadiah paling besar kepada diri kita sendiri.
Comments: Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]





<< Home

This page is powered by Blogger. Isn't yours?

Subscribe to Posts [Atom]