Wednesday, November 23, 2005

 

MENGENAL DIRI

Ada beberapa cara mengenal diri sendiri atau diri orang lain. Ada orang melihatnya dari segi penampilan diri, tetapi banyak juga orang terpedaya kerana terpengaruh oleh penampilan diri seseorang. Seorang penyagak besar yang berserban dan berjubah dikatakan seorang ulama. Dalam akhbar The Star seminggu dua yang lalu menceritakan kisah seorang hartawan Cina di Selangor yang tidak suka memakai baju dan kasut sepanjang masa. Dia memiliki rumah besar, kereta mewah dan ladang luas. Dia berjalan kaki di bandar atau keluar masuk ke bank pun begitulah caranya. Adakah dia seorang yang tidak siuman? Dia menjawab, "Biarlah orang kata apa pun. Aku selesa dengan cara aku.Keluarga aku pun selesa."

Ada orang suka melihat nasib diri melalui tukang telek. Baca tapak tangan, baca tahi lalat dan sebagainya. Tetapi ingat, perbuatan menilik dan meramal dilarang oleh agama Islam.

Ada juga cara-cara mengenal diri melalui alat pengukuran diri atau instrumen khusus yang dibina secara ilmiah berdasarkan uji kaji dan penyelidikan. Alat-alat serupa ini biasanya memerlukan seseorang menjawab beberapa pertanyaan khas yang disediakan secara jujur dan jawapan-jawapan kepada pertanyaan-pertanyaan itu dianalisis untuk mendapat keputusan yang dikehendaki. Keputusan itu akan menunjukkan ciri-ciri peribadi orang yang dinilai itu.

Ada juga orang yang suka mempamerkan ciri-ciri peribadi dirinya melalui huruf-huruf pangkal yang terdapat dalam nama peribadi. Cara ini boleh mendorong diri sendiri ke arah menampilkan ciri-ciri peribadi seperti yang disarankan melalui kembaran perkataan kepada huruf-huruf pada nama. Misalnya, sekiranya nama orang itu ISMAIL, maka dicarilah unsur-unsur yang boleh menunjukkan bahawa dia adalah seorang yang:

Ideal
Skillful
Moral
Artistic
Intelligence
Lovable

Kalau dalam bahasa Melayu, mungkin pula ciri-ciri yang ditonjolkan itu begini:

Imegenatif
Sabar
Mesra
Aktif
Ikhlas
Lasak

Dalam pengurusan, kaedah ini boleh digunakan bagi mendorong diri sendiri atau diri orang lain bagi mewujudkan peribadi diri yang terpuji. Jangan pula huruf-huruf pangkal nama peribadi itu digandingkan dengan ciri-ciri terkutuk, misalnya M untuk Malas, atau K untuk Kedekut dan sebagainya. Tonjolkanlah ciri-ciri terpuji. Guru-guru di sekolah boleh merangsangkan murid-muridnya melalui kaedah ini.

Ada seorang temanku bernama YAAKUB ISA, lantas ditulis nama dirinya sebagai YA AKU BISA. Sekarang teman itu sudah bergelar Dato' dan diberi tanggungjawab menguruskan sebuah institusi penting sebuah kerajaan negeri. Tahniah Dato' !

Di luar bilik ini panas dengan matahari memancar panas, namun di dalam bilik ini juga panas oleh tekanan tugas yang banyak yang perlu diselesaikan walaupun dinyamankan oleh dua unit penghawa dingin yang turut memainkan peranannya. Walaupun begitu, oleh kerana satu daripada ciri peribadiku ialah L iaitu Lasak, segala-galanya berjalan dengan selesa dan tidak meremaskan.
Comments:
assalamualikum dan salam perkenalan,

saya faizah yg pernah singgah sanggar warisan johor. sekali sekala ada sy jenguk sanggar itu. kalau pak mail tak keberatan sy nak link sanggar ini ke blog sy. membaca coretan pengalaman orang lama boleh memberi pedoman. secara peribadi saya akui amat meminati Dato' Onn Jaafar. Membaca biografi memang bagus, tapi kalau dapat mendengar sendiri drpd orang-orang lama yng pernah berjuang bersama ataupun dekat dengan pejuang itu setidak-tidaknya adalah lebih bermakna.

pak mail juga boleh lawati saya di www.cahayapuisi.blogspot.com

pak mail penulis PEN? Minggu lalu saya berkesempatan mengikuti bengkel cerpen PEN dan khabarnya malam sabtu itu ada majlis anugerah sasterawan negeri sembilan. Pertama kali bertemu kak nisah haron.

Selamat Hari Raya Eidulfitri dan ampun maaf jika adalah tersilap dan terkasar bhs.
 
Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]





<< Home

This page is powered by Blogger. Isn't yours?

Subscribe to Posts [Atom]