Monday, November 28, 2005

 

PERUBAHAN

Kita sentiasa berhadapan dengan persekitaran yang berubah dan terus berubah. kita lihat diri kita sendiri. Sedar atau tidak, saban hari perubahan berlaku - muka tambah berkedut, pandangan semakin kabur, pendengaran mula berkurangan, rambut banyak yang putih dari hitam, kekuatan tenaga beransur menjauhkan diri, dan seterusnya. Hati kita, perasaan kita, pemikiran kita seharusnya turut berubah mengikut perubahan fizikal itu. Kalau tua biarlah tua kelapa, semakin tua semakin berguna - sabutnya boleh dijadikan kraf, tempurungnya boleh dijadikan senduk, airnya sedap diminum dan kadang-kadang menjadi ubat, isinya banyak mengandungi santan, boleh menambahkan enaknya makanan atau jika diproses boleh dijadikan minyak makan. Kalau tua jangan biarkan diri seperti keladi, semakin tua gatalnya semakin menjadi, hendak dijadikan makanan pun sudah ganyut tidak mendatangkan selera mengunyahnya.

Yang penting, kita mesti berubah ke arah yang lebih baik. Aku teringat kisah beberapa tahun dahulu yang pernah kualami. Pada awal tahun 1980-an, aku bertugas di Melaka selama lebih tiga tahun. Kerana jenis tugasku, aku berpeluang pergi ke ceruk rantau di negeri Melaka. Kalau sekitar bandar Melaka, kejam mata pun aku tahu di mana sudutnya.

Kemudian aku terpaksa tinggalkan negeri bersejarah itu, sehinggalah lima tahun selepas itu aku diarahkan ke bandar Melaka kerana tugas rasmi. Bersamaku seorang teman yang emang belum pernah ke Melaka. Aku memandu kereta dari Kuala Lumpur menuju ke destinasi yang dituju.

"Tuan haji tahu ke tempat yang kita nak pergi ni?" soal temanku.
"Eh, jangan hina aku. Lebih tiga tahun aku tinggal di Melaka, Mana ceruk rantau yang aku tak pergi," aku menjawab angkuh.
"Kalau macam tu, bolehlah tuan haji jadi pemandu pelancong aku?"
"Bukan saja pemandu pelancong, nak carikan kau jodoh kat Melaka pun aku boleh jalankan," aku mengusik teman yang memang masih bujang walaupun usianya sudah melewati 35 tahun.

Kereta terus bergerak. Akhirnya sampai di bandar Melaka. Aku termagam dibuatnya, kerana bandar Melaka sudah banyak perubahan. Jalan baru sudah dibina, jalan lama sudah dijadikan satu hala. Aku terpaksa berliagar-ligar mengelilingi bandar Melaka kira-kira 45 minit untuk sampai ke Sekolah Tinggi Melaka, teman yan kami tuju itu. Lapan sembilan tahun yang lalu, memang mudah hendak ke sana tetapi kerana perubahan yang pesat dari segi aliran lalu lintas, aku sesat di bandar Melaka dibuatnya.

Dan jangan terperanjat. Bukan aku sahaja sesat kerana aku tidak mengikuti perubahan terkini di bandar Melaka. Aku turut membawa orang lain untuk sesat sama.

Moral daripada cerita ini: Berubahlah mengikut perkembangan kalau tidak mahu menjadi jahil, dan tidak membawa orang lain turut menjadi jahil seperti kita kerana kejahilan itu.
Comments: Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]





<< Home

This page is powered by Blogger. Isn't yours?

Subscribe to Posts [Atom]