Monday, November 21, 2005

 

TERGENDALA

Malam 18 November ini sepatutnya aku menghadiri Majlis Penyampaian Anugerah Sastera Negeri Sembilan di Royal Aldelphi Hotel, Seremban. Tetamu istimewa ialah YAB Menteri Besar Negeri Sembilan. Hati sudah merasa riang sebab pastinya ramai teman-teman lama yang boleh kutemui pada malam itu. Aku sudah berpesan kepada isteriku supaya disiapkan pakaian Melayu warna merah untuk majlis tersebut. Namun sesuatu yang tidak diduga berlaku. Isteriku terpaksa ke Colombia Asia Hospital Seremban, dan terpaksa melakukan pembedahan pada pagi 18 November tersebut.

Aku bergegas pulang, tetapi kemudiannya dimaklumkan pembedahan itu terpaksa ditangguhkan esok pagi. Namun masanya sudah terlewat untuk turut serta dalam majlis di Royal Aldelphi Hotel itu. Rancangan tergendala. Tak apalah, manusia sekadar merancang ...

Esoknya, 19 November isteriku selamat menjalani pembedahan, dan hari-hari berikutnya untuk selama seminggu, kerja-kerja mencuci luka terpaksa dilakukan sebelum jahitan untuk menautkan luka dilakukan. Aku terpaksa bercuti sehari pada hari ini kerana isteriku masih kelihatan lemah.

Terima kasih kepada anak-anak yang memahami. Semoga isteriku akan terus sihat, ceria dan bahagia bersama-sama keluarga.

Kalau ada lembah menjurang
Jangan selesa turun ke laut
Kalau ada limpah dan sayang
Sepanjang usia bahagia bertaut

Comments: Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]





<< Home

This page is powered by Blogger. Isn't yours?

Subscribe to Posts [Atom]