Thursday, December 01, 2005

 

CUTI TAK MACAM CUTI

Hari ini aku cuti rehat. Sahaja bercuti kerana cuti rehatku masih berbaki 13 hari. Kalau aku tidak habiskan cuti itu sebelum 31 Disember ini, ertinya cuti itu akan hilang begitu sahaja. Begitu antara perjanjian dalam kontrak.

Dalam bercuti begini, aku tidak ada rancangan khusus. Aku ingin pulang ke Seremban sebelah tengah hari. Kesihan isteri sendirian. Esok akan ku ajak dia menemani aku ke Hotel Tanjung Balau mengendalikan kursus belia.

Pagi-pagi lagi aku ke bilik pejabat, melihat e-mel yang diterima. Dalam seronok membaca e-mel, Pengarah minta teks ucapannya di Hotel Tanjung Balau itu. Memang tidak ada rancangan henak menyediakan teks ucapan itu, sebab selalunya Pengarah bercakap off-hand sahaja. Jadi kenalah duduk dan siapkan teks ucapan itu. Dan terlanjur membuat kerja tersebut, aku sambung dengan menyediakan teks ucapan untuk diriku sendiri. Alhamdulillah, kedua-duanya dapat diselesaikan dengan cepat.

Maklumat dari Pengarah juga mengatakan petang ini ada mesyuarat. Maklumat balas segera diperlukan untuk menyemak draf Akta Warisan Negara. Dah satu kerja lagi. Lepas itu, YB Ahmad Zahri pula memberitahu, ada mesyuarat petang ini untuk menyelaraskan kerja-kerja penggulungan ucapan di Dewan Undangan.Dah itu, nak buat macam mana? Terus cuti?

Aku teringat satu cerita seorang teman di Kementerian Pelajaran. Hari itu dia bercuti rehat dan dalam perjalanan balik kampung di Kedah. Dalam perjalanan dia singgah di pejabatnya untuk mengambil suatu barang. Dia bertembung dengan YB Dato' Hussein Onn (ketika itu Menteri Pelajaran) di lif dan memberikannya tugas penting yang perlu diselesaikan segera. Nak tolak? Nak kata, saya bercuti? Mulut tidak terbuka, lidah kelu berkata-kata.

Dia mengadap Tan Sri Hamdan (ketika itu Ketua Pengarah Pelajaran) mohon belas ihsan. Apa kata Tan Sri? "Siapa suruh datang pejabat? Dah cuti, cutilah. Dah tu, buatlah .." Dia terdiam mendengar kata-kata itu sambil memikirkan anak isteri sudah berpeluh dalam kereta menanti ketibaannya. Penantaian berakahir dengan kata-kata daripadanya, "Kita tak jadi balik Kedah. Kita balik saja Datuk Keramat."

Begitulah kisahnya. Ada lagi seorang kawan ni, dia sanggup bercuti kerana hendak membuat kerja-kerja pejabat. Sebabnya, kalau dia duduk pejabat, kerja tak siap kerana sentiasa diganggu oleh tetamu yang ingin berurusan dengannya. Kata aku kepadanya, "Tak payah cuti. Cakap aja dengan bos, kerja dari rumah."

Itulah sebenarnya yang aku katakan kepada bos aku apabila pada suatu hari dia meminta aku menyediakan teks ucapan Menteri untuk satu majlis penting dalam tempoh yang suntuk. Bos faham. Aku riang. Kerja pun dapat disempurnakan.
Comments: Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]





<< Home

This page is powered by Blogger. Isn't yours?

Subscribe to Posts [Atom]