Thursday, December 22, 2005

 

MENGIMBAU KENANGAN LAMA

berada di Kuala Lumpur selama dua hari pada 19 dan 20 Disember mengimbau kenangan lama bersama teman sekuliah semasa di Universiti Malaya pada tahun 1969 - 1972. Selepas menamatkan pengajian pada Januari 1972, aku tidak lagi bersua dengan Rahani Jamil (kini Datuk Hajah). Kerana tugasnya sebagai Ketua Pengarah Arkib Negara membawa aku menemuinya pada 19 Disember bagi menjalin muafakat dan kerjasama untuk satu projek Kerajaan Negeri Johor, iaitu Projek Dato' Onn Pengasas Sebuah Negara Bangsa. Dia masih tetap seperti dahulu - cergas, becok dan ceria walaupun perkhidmatannya sudah dilanjutkan sebagai pegawai kontrak seperti aku. Dia begitu ghairah bercerita tentang rancangan dan projek-projeknya.

Semasa kami sama-sama mengambil Kursus Drama di bawah pimpinan MKY pada tahun 1971, dia pernah berlakon drama arahanku, dan berjaya melakonkan wataknya sebagai Cik Hendon yang berpasangan dengan Zakaria Ahmad yang membawa watak Pak Karim (Tak dengar khabarnya kini. Sudah jadi ketua Setiauahakah? Atau sudah pencen?). Turut berlakon dalam drama Jahanam ialah Mohd. Zin Idros, Kalthom Mohamad dan Noraini (anak siapa dah lupa). Kami sama-sama bersyukur kerana dalam usia emas ini kami diberkati Allah dengan kesihatan dan ketahanan bagi terus memberikan sumbangan kecil kepada kelangsungan warisan bangsa dan negara. Alhamdulillah.

Esoknya pada 21 Disember, aku ke Batu Pahat dan berpeluang bertemu pula dengan dua orang teman yang sama-sama bertugas di Semerah pada akhir tahun 1960-an. Sungguh ceria mengimbau kembali kenangan lama sambil menikmati nasi baryani Mohd. Shah di pinggir Sungai Batu Pahat. Kami mengharap sekiranya dapat diaturkan pertemuan semula antara bekas-bekas guru di Sekolah Menengah Semerah, alangkah baiknya! Bayangkan, ada yang sudah menjadi imam masjid, wakil rakyat, pakar motivasi, pelukis, usahawan dan sebagainya selepas meninggalkan dunia pendidikan. kami berpisah dan membawa haluan masing-masing.

"Negara kita sungguh cepat berubah. Bayangkan zaman kita dahulu, baru berapa tahun? Sekejap sangat rasanya. Zaman kita di universiti dulu, cuma ada Universiti Malaya, kini dah semacam tak terkira banyaknya IPTA dan IPTS," ujar Mohd. Zin pada suatau hari.

"Demikianlah nikmatnya sebuah negara merdeka. Dapatkah kita terus bertahan?" jawabku.

"Anak cucu kitalah yang akan menentukan. Kita mewariskan kepada mereka."

"Semoga anak cucu kita terus selamat dan terhormat."
Comments: Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]





<< Home

This page is powered by Blogger. Isn't yours?

Subscribe to Posts [Atom]