Friday, January 13, 2006

 

BERKORBAN APA SAJA

Dua hari yang lalu kita merayakan Hari Raya Aidil Adha. Buat pertama kali sejak tiga tahun yang lalu, semua ahli keluarga dapat berkumpul sama menyambut hari yang mulia ini. Khairil Idham sengaja balik bercuti sebulan dari Moscow menyebabkan suasana hari 10 Januari itu meriah, lebih-lebih lagi dengan kehadiran dua orang menantu lelaki, seorang menantu perempuan dan tiga orang cucu. Keriuhan dan kemeriahan sungguh terasa. Hingga aku sendiri terlupa bahawa esoknya, 11 Januari (sama dengan tarikh kelahiran Siti Nurhaliza Taharuddin) merupakan ulang tahun kelahiranku. Nasib baik isteri dan anak-anak mengingatkan melalui ucapan mereka. Syukur, Allah masih memanjangkan usiaku dengan kesihatan yang memadai sebagai seorang warga emas.

Selepas sembahyang sunat Aidil Adha, ibadat korban dijalankan di masjid. Tujuh ekor lembu menjadi korban. Ibadat ini merupakan amalan sunat yang dituntut sebagai memperingati dan menghayati erti pengorbanan tiga orang tokoh utama dalam sejarah Islam - Nabi Ibrahim bersama isterinya Siti Hajar dan anaknya Ismail. Kalau dibandingkan, betapa jauh bezanya pengorbanan mereka dengan pengorbanan kita kini.

Dalam keriuhan dikelilingi isteri, anak-anak dan cucu-cucu, aku merasa kesepian mengenangkan dan menginsafi sejauh mana sudah aku berkorban untuk keluargaku, masyarakatku, bangsaku, agamaku dan negaraku.

Sepotong senikata lagu nyayian Allahyarham P. Ramlee, "Berkorban apa saja, harta ataupun nyawa ..." Upayakah aku berbuat demikian? Demikian aku terasa amat kerdil.
Comments: Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]





<< Home

This page is powered by Blogger. Isn't yours?

Subscribe to Posts [Atom]