Monday, March 20, 2006

 

BELAJAR MENJADI SI PEMBERI

Kelmarin hari minggu. Selepas selesai program Seminar Pemikiran Dato' Onn Jaafar di KUiTTHO, Batu Pahat pada petang Sabtu itu, aku terus pulang ke Seremban. Isteri dan anak bungsuku, Izza, menemani aku pulang. Mereka datang sehari sebelumnya dan kami bermalam di Katerina Hotel, Batu Pahat.

Memang bersemangat dengar bicara tentang Dato' Onn daripada Profesor Datuk Dr. Hajah Ramlah Adam, Profesor Datuk Dr. Syed Hussein Al-Attas, Dr. Adnan Kamis, Haji Kasim Thukiman dan Haji Othman Zaindduin yang bercerita tentang ketokohan Dato' Onn. Apatah lagi mereka menceritakan perkara-perkara yang belum pernah ditulis orang dalam buku-buku sejarah. Memang perlu banyak digali dan dikaji tentang peribadi Dato' Onn ini. Unik dan unggul.

Hari minggu 19 Mac adalah ulang tahun kelahiran Izza ke-15. Aku katakan kepadanya, 'Izza, ayah tidak ada hadiah untukmu, tak ada kek hari lahir untuk dipotong. Kamu mesti belajar bersyukur sebab Allah telah kurniaimu dengan usia yang bertambah. Sebagai tanda kesyukuran, kamu mesti ajar diri kamu untuk menyukakan orang lain." Aku cadangkan padanya supaya pada hari ulang tahun kelahiran ini, jamulah kawan-kawan. Kataku lagi,
"Jangan harapkan mereka menjamu dan memberi kamu hadiah. Tangan yang memberi itu lebih baik daripada tangan yang menerima. Belajarlah menjadi si pemberi lebih daripada si penerima."

Tapi bagaimana dia mahu menjamu kawan-kawan tanpa wang? Lantas aku belikan dia sebiji kek dan 30 ketul ayam goreng untuk dibawanya balik ke asrama di Cyberjaya dan makan bersama-sama kawan-kawan dalam dorm. Dia seronok dengan cara itu. "Secara simbolik, kamulah yang belanja kawan-kawan walaupun wangnya ayah yang keluarkan," aku mengingatkannya.

Dalam pada itu, kita juga perlu sedarkan kepada si penerima. Dia juga harus sanggup menjadi si pemberi juga. Umpamanya, kalau si ayah kerana sayangkan seorang anak remajanya dengan membelikannya kereta, maka si anak yang menerima hadiah kereta itu juga harus memberi kepada si ayah dengan cara menjaga kereta itu dengan baik, memandu dengan cermat, jangan berlumba di jalan raya dan sebagainya. Mengenang hal itu, aku amat terharu mendengar kisah seorang anak saudara isteriku dua hari lalu menerima kemalangan jalan raya. Kereta pemberian ayah yang dipandunya jam 1.30 pagi bersama tiga orang rakan itu merempuh pembahagi jalan di bandar Seremban menyebabkan dia terlantar di hospital dengan patah dua belah kaki dan cedera di bahagian kepala. Seorang rakannya meninggal dunia, seorang lagi cedera parah, sementara seorang lagi sekadar cedera ringan. Ironainya, yang cedera ringan itu khabarnya memakai topi keledar. Soalnya: Apa perlunya memakai topi keledar di dalam kereta?

Allah! Selamatkanlah Hafiz ...
Comments: Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]





<< Home

This page is powered by Blogger. Isn't yours?

Subscribe to Posts [Atom]