Tuesday, March 28, 2006

 

DEKAT TAPI JAUH, JAUH TAPI DEKAT

Pepatah Inggeris ada menyebut: Too near yet too far. Terlalu dekat tapi terlalu jauh. Apakah maknanya pepatah itu?

Beberapa tahun lampau, aku mengikut kerenah temanku berkereta dari Kuala Lumpur, ke selatan tanahair, kemudian menyusuri hutan menyeberang ke pantai timur. Penat tapi seronok. Ada beberapa tempat terpaksa menaiki feri menyeberangi sungai.

Tiba di Johor Bahru petang. Hasrat di hati hendak menyeberang ke Singapura pada sebelah malam, tetapi tidak kesampaian sebab tidak mempunyai pasport. Temanku itu beria-ia hendak pergi kerana di situ tinggal teman wanitanya yang baru dikenali. Malang. Dia berkata menyedapkan hatinya, "Too near yet too far." Aku senyum mendengarnya.

Esoknya kami putar-putar keliling Johor Bahru - pergi zoo dan lepak di Masjid Abu Bakar. Petangnya bertolak ke Kota Tinggi lantas ke Mersing. Temanku beria-ia hendak bermalam di bandar kecil itu. Hendak tinggalkan kenangan, katanya. Kenangan apa? Petang aitulah baharu dia ceritakan padaku bahawa bekas kekasihnya duduk di Mersing. "Marilah kita kunjungi dia," saranku. "Kau nak mati? Dia dah jadi isteri orang," jawabnya sambil mengulangi kata-katanya di Johor Baharu - too near yet too far.

Hari ini aku teringat isteriku di Seremban, sedang aku di Johor Bahru. Kami hanya bertemu pada hujung minggu. Itu pun jik aku tidak ada program di Johor Bahru. Saban hari dua tiga kali aku telefon dia, bertujuan untuk menjadikan too far yet too near. Mendengar celotehnya dan keluh kisahnya pun cukup.

Isteriku sering meninginkan anak-anak sentiasa dekat dengannya. Namun mereka kini sudah besar panjang. Sebahagiannya sudah berkeluarga dan tidak duduk bersama. Yang lain masih belajar dan tinggal di asrama atau menyewa di tempat mereka belajar.Yang paling hampir tinggal di Seremban, di samping ada yang tinggal di Johor Bahru, Kuala Lumpur dan Pasir Gudang.

Isterku sering berharap anak-anaknya rajin menghubunginya. Kalau tidak menjenguk, paling kurang membuat panggilan telefon. Setidak-tidaknya bertanya khabar. Namun dia sering terus merindui saat-saat bahagia yang sukara menjelang. Aku tak kisah. Kataku kepadanya, "Jangan diharap sangat. Kan mereka sibuk. Doakan saja mereka selamat." Tetapi dia menjawab, "Tanya khabar berita emak bapak tak kan tak ada masa. Tanyalah, hidup ke mati ke, sihat ke tidak ke? Nanti I dah terjongkang dah baru nak kisah." Aku senyap tidak mahu menjadikan hal itu berpanjangan. Aku sedar, perkara ini memang dianggap enteng oleh anak-anak muda kini. Mungkin mereka tidak berniat begitu. Kita jangan terlalu kecewa. Kalau kecewa pun, pendam sahaja dalam hati, kerana itulah hakikat menjadi orang tua.

Dia berkata lagi. "Nak ikut hati, memang rasa nak merajuk. Yang jauh hampir saban minggu telefon. Siap pesan, jangan I telefon, biar dia yang telefon. Yang dekat tunggu I telefon." Aku terus mendengar rungutannya tanpa memberi reaksi lisan.

Soalnya: Adakah salah ibu mengandung? Atau salah sewaktu membedung? Mungkin salah dalam mendukung? Peranan bapa bagaimana dihitung? Walau apa pun keadannya, benarlah dekat tapi jauh, dan jauh tapi dekat. Harapannya, yang dekat, biarlah terus bertambah dekat, dan yang jauh, usahakanlah supaya menjadi dekat. Era globalisasi dan dunia tanpa sempadan sepatutnya bukan halangan.
Comments:
Sdr Isbiha,
Benar, kata saudara. Malah, saya masih rasa bersalah kerana sudah hampir dua bulan tidak menjengah ibu nun di utara sememanjung biarpun tetap menyapanya di hujung talian saban malam...
 
Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]





<< Home

This page is powered by Blogger. Isn't yours?

Subscribe to Posts [Atom]