Sunday, March 05, 2006

 

KESUKARELAAN

Kegiatan sukarela bukan perkara baru dalam kehidupan masyarakat. Kesukarelaan telah wujud dan berakar umbi dalam masyarakat sejak dahulu lagi. Namun arus perubahan yang bergerak pantas itu sedikit demi sedikit menghakis kegiatan sukarela. Dan orang-orang yang sanggup menjadi sukarelawan pula kian hari kian menjadi sebagai rare species yang semakin pupus.

Aku merasa amat hiba melihat kepupusan itu berlaku di kalangan bangsaku - bangsa Melayu - yang memang terkenal dengan semangat bekerjasama seperti yang digambarkan melalui pelbagai peribahasa: muafakat itu berkat, bersatu teguh bercerai roboh dan sebagainya. Setiap gerak perlu dikira dengan ringgit dan sen. Pendeknya, tidak ada ringgit, tidak ada kerja yang tercuit.

Aku lebih terharu melihat orang-orang Cina dan India berlumba-lumba melibatkan diri dengan kegiatan sukarela ini. Lihatlah siapa yang ke hadapan dalam St. John Ambulance? Perhatikan siapakah yang menonjol dalam Pengakap atau Bulan Sabit Merah? Siapakah yang mula menguasai Rela? Dahulu mereka tidak minat kerja-kerja serupa ini, tetapi kini mereka sudah ke hadapan.

Adakah kita orang Melayu selama-lamanya hanya bersedia untuk menjadi orang yang menerima sahaja? Tidak sanggupkah kita menjadi orang yang memberi? Dan bayangkan masa hadapan kita, nasib untung anak cucu kita sekiranya semangat kesukarelaan ini sudah tidak menjadi minat anak cucu kita? Kalau berlaku bencana, kemalangan, kesusahan, siapakah yang sanggup bantu kita? Ingatlah, tidak berubah sesuatu kaum kecuali kaum itu sendiri mengubahnya. Itu janji Allah.
Comments: Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]





<< Home

This page is powered by Blogger. Isn't yours?

Subscribe to Posts [Atom]