Tuesday, April 18, 2006

 

SAJAK AWAL

Memang sudah lama aku mencarinya - berpuluh tahun - tetapi tidak pernah ketemu. Aku agak hampa dibuatnya, kerana ia agak sentimental buatku. Ia merupakan sajak pertamaku yang terbit dalam majalah selepas sajak Ke Puncak Jaya yang terbit dalam majalah Sekolah Datuk Abdul Razak bernama SEDAR pada tahun 1961.

Aku teringat ada membeli majalah tersebut, tetapi oleh kerana terlalu lama, entah di mana lesapnya majalah itu, aku sendiri kurang pasti. Tiba-tiba seorang temanku menunjukkan majalah Gema Dunia, keluaran Januari 1964 yang diterbitkan oleh Bi-Karya Publication Ltd. Kuala Lumpur. Di situlah sajakku berjodol Berkaca Di Dada diterbitkan. Ketika itu aku berada di Tingkatan Enam Atas, tetapi sajak tersebut aku kirimkan sewaktu aku berada di Tingkatan Enam Bawah, Sekolah Alam Shah, Kuala Lumpur.

Aku juga teringat, semasa di sekolah tersebut, aku telah menggodol tiga hadiah tempat pertama bagi semua kategori penulisan kreatif dalam Pertandiangan Mengarang di peringkat sekolah. Drama sebabak (Anak Sulung), cerpen (Sebuah Permulaan) dan sajak (Perintis) mengalahkan Ilias Zaidi yang terkenal dengan sajak-sajaknya banyak di akhbar dan majalah tempatan pada ketika itu. Sayangnya majalah Bahtera (Majalah Bahasa dan Sastera, Sekolah Alam Shah) yang menerbitkan ketiga-tiga hasil karyaku itu juga tidak lagi dalam simpanan. Sesiapa pun masih menyimpannya, mohon dapat menghubungi aku supaya aku dapat membuat salinan karya-karya tersebut.

Sekadar untuk kenangan, aku perturunkan semula sajak itu.

BERKACA DI DADA
(Buat Su yang sepi)

Dulu cermin secerah bulan kini suram berdebu
wajah layu ditelan hari yang luka
cermin tersimpan di dada cuma kenangan dihias malam.

Dalam pelukan sepi si gadis lari ke alam mimpi
malam yang kelam mengapa gadis terguris hati
berkaca dalam dada bercermin di ambang diri
membuang segala ingatan selama cermin berwajah sepi.


Membaca sajak tersbut, teman yang menunjukkan majalah Gema Dunia itu bertanya kepadaku, Siapakah gadis yang bernama Su itu?" Jawabku, itu adalah kisah peribadi zaman remaja yang hanya sesuai tersimpan dalam album memori diriku sendiri. Apapun, aku sendiri merasa hairan bagaimana aku dapat menghasilkan sebuah sajak perlambangan begitu pada ketika itu.
Comments: Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]





<< Home

This page is powered by Blogger. Isn't yours?

Subscribe to Posts [Atom]