Tuesday, July 11, 2006

 

ANAKKU

Aku tidak pernah menyangka seorang anakku yang kini sedang menuntut dalam bidang perubatan di Russia mempunyai bakat dalam bidang penulisan, terutama sajak. Memang dia tidak pernah memamerkan bakatnya sebelum ini, kecuali setelah tiga tahun berada di perantauan. Baru-baru ini aku singgah di blognya dan catatan terbarunya ialah sebuah sajak dengan jodol Di Jendela Ini. Aku perturunkan sajak tersebut di sini:

DI JENDELA INI

Di jendela ini

aku sendiri menanti menjelangnya malam
sunyi kurasa kehilangan semua orang
kerana aku jauh di perantauan
di mana hendak kusandarkan harapan
kecuali doa restu sepanjangan.


Di jendela ini
kuhiburkian hati yang pilu bimbang
satu demi satu teman-teman menghilang

semakin jauh meninggalkan bayang
pulang ke tanah air tersayang.

Di jendela ini
Shremetyevo memanggilku
memberi khabaran Charles de Gaules

memintaku lekas bergegas
mengusung segenap bagasi hikmah

kelak nanti Waterloo menjadi berang
dik kealpaan khayal pesona indahnya senja
lewat jendela yang luas terbuka.

Aku segera sedar hakikat nyata
kehadiranku bukan sekadar berkelana
tetapi menggenggam anamat bangsa
di kerajaan Charles ini biar kutakluk

kubuktikan lelaki ini bukan sebarangan
walau jauh di mana hatta di jendela ini
aku tetap mara dan berjaya.

KHAIRIL IDHAM ISMAIL

Kini aku menanti kehadirannya pulang bercuti pada 21 Julai ini dan akan berada di tanah air hingga 2 September. Kelmarin dia menelefon aku mengatakan dia kini berada di Paris dalam perjalanan ke UK meraikan seorang temannya dalam konvokesyen. Selepas itu dia akan kembali ke Moscow sebelum bertolak pulang ke tanah air melalui Kerachi. Katanya, di Malaysia dia terlibat menganjurkan Summer Camp kelolaan Persatuan Perubatan Malaysia Cawangan Russia yang dia telah dipilih menjadi pengerusinya. Dia juga memberitahu bahawa pihak JPA akanmengadakan perjumpaan antara JPA dengan pelajar-pelajar tajaananya pada akhir bulan Julai ini. Semoga dia selamat.
Comments:
Selamat berjumpa kembali. Alhamdulillah masih sihat. Seronok jumpa kawan lama. Tahniah mempunyai anak dalam bidang perubatan tetapi berminat dalam sastera. Ke mana tumpahnya kuah, kalau tidak ke nasi.
 
Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]





<< Home

This page is powered by Blogger. Isn't yours?

Subscribe to Posts [Atom]