Thursday, July 13, 2006

 

LAGI TENTANG JATI DIRI JOHOR

Aku teringat beberapa tahun dahulu seorang penulis mempersoalkan pertukaran nama sebuah sekolah menengah di Batu Pahat kepada Sekolah Menengah Datin Onn. Siapakah Datin Onn itu, soalnya. Adakah dia seorang kedi (pondan)? Kenapa tidak terus dinamakan Sekolah Menengah Datin Halimah?

Aku teringat hal ini kerana hari ini seorang teman mengirim e-mel bertanya tentang penggunaan gelaran Dato' bagi mereka yang menerima kurniaan darjah kebesaran negeri atau negara. Apakah gelaran yang perlu diberikan kepada suami bagi isteri yang dianugerahi Dato'? Kalau isteri Dato' bergelar Datin, adakah suami Dato' bergelar Daton? Katanya lagi, kalau Daton itu terus berjasa, maka dia akan digelar Katon pula?

Di negeri Johor, Tidak ada sebarang kekeliruan tentang gelaran tersebut. Rajanya tidak menganugerahi Dato' kepada perempuan. Kalau yang menerima anugerah itu perempuan, maka si penerima digelar Datin Paduka. Tiada sebarang gelaran untuk suami (sebab ego lelaki tinggi dan malu kalau dia menumpang kejayaan seorang perempuan, walaupun perempuan itu isterinya.) Kalau suaminya yang menerima, maka gelaran Datin diberikan kepada isteri, dan gelaran itu disandarkan kepada nama suami. Misalnya, isteri Dato' Ismail akan dipanggil Datin Ismail. Penggunaannya seperti yang sering dipakai oleh orang Barat, yang membahasakan isteri aku misalnya dengan panggilan Mrs. Ismail. Jadi, tidak hairan dan tidak salah apabila nama Datin Onn digunakan.

Justeru, kalau jati diri itu dikaitkan dengan sesuatu yang unik dan istimewa pada seseorang atau sesuatu bangsa atau sesuatu negeri, adakah penggunaan Datin dan Datin Paduka yang khusus di negeri Johor ini sebagai jati diri Johor? Aku tidak pasti.

Yang pasti, aku adalah datuk kepada cucu-cucuku. Tetapi untuk mengelakkan daripada disalah anggap sebagai orang yang menerima gelar Dato', maka cucu-cucuku memanggil aku "yai", yang bermakna "datuk" dalam bahasa Jawa. Adakah ini jati diri aku sebagai oranag Melayu keturunan Jawa? Aku teringat sajak "Melayu" hasil karya Dato' Usman Awang.

Tunggu Yayasan Warisan Johor dan Majlis Kebudayaan Negeri Johor mengadakan seminar tentang jati diri Johor.
Comments: Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]





<< Home

This page is powered by Blogger. Isn't yours?

Subscribe to Posts [Atom]