Wednesday, August 09, 2006

 

MUAFAKAT

Minggu lepas berlalu dengan program rasmi yang membanggakan. Pada 5 Ogos berlangsung Semnar Pemikiran Dato' Onn Jaafar di Galeri Mawar, Johor Bahru. Buku susunanku berjodol Dato' Onn Jaafar dan Perjuangan Kemerdekaan dilancarkan, mengandungi tiga bahagian, iaitu Bahagian Perjuangan Dato' Onn, Bahagian Perjuangan Kemerdekaan, dan Bahagian Apresiasi Sajak Dato' Onn. Kira-kira 500 peserta terdiri siswa siswi IPTA di Johor dan pelajar sekolah menengah hadir. Dua pembentangan dan satu forum dijalankan. Biarpun ada satu dua kelemahan dalam pelaksanaan, namun keseluruhan seminar itu aku anggap berjaya. Pembentangan Datuk Profesor Dr. Ramlah Adam amat berkesan dan penuh dengan motivasi. Terima kasih kepada semua yang memainkan peranan masing-masing menjayakan program ini. Inilah nikmat apabila ada semangat muafakat.

Seleasi program, aku lantas pulang ke Seremban, bergerak dari Johor Bahru jam 6.30 petang dan sampai di rumah sua setengah jam kemudian. Esoknya pada 6 Ogos aku menghadiri majlis perkahwinan anak seorang teman sekolah sejak Tingkatan Satu hingga Tingkatan Enam. Seperti aku, dia sudah bersara dan menetap di Taman Tun Dr. Ismail. Namanya Hussein Mohamadiah, berasal dari Serom, Muar. Di situ aku bertemu teman-teman lama yang sudah sekian lama tidak berhubungan seperti Hairi Abdullah, Ibrahim Yunos, A. Rahim Lambak, Abas Kasan dan Abdul Wahab Johar. Tak sangka aku bertemu dengan Tembun, orang kampung yang sudah menetap di Taman Tun Dr. Ismail juga. Di majlis tersebut, aku mendapat perkhabaran Hassan Khamis sudah meninggal dunia. Mudah-mudahan rohnya sentiasa dalam golongan roh orang-orang beriman.

Aku tidak dapat lama di situ, kerana terpaksa ke Cyberjaya menjenguk anak bungsuku yang belajar di Sekolah Seri Puteri. Bulan Oktober ini dia akan menghadapi PMR. Kalau tunggu lama sedikit, besar kemungkinan aku akan bertemu dengan teman-teman lain seperti Halimah Ali, Mohd. Fadzli Mahyuddin (Datuk), Abdul Rahman Yeop (Dato,), Kapsah Jaafar, Hafsah Abdul Rahman dan lain-lain.

Esoknya, 7 Ogos, jam 3.00 pagi, aku sudah bangun tidur, dan setengah jam kemudian sudah berada di dalam kereta bergerak menuju ke Johor Bahru. Sebaik sahaja tiba di Johor Bahru jam 6.00 pagi, aku terus solat Subuh dan bersiap-siap untuk bertugas. Hari ini ada perhimpunan pagi, dan bahagianku sampai gilirannya untuk menguruskan perhimpunan tersebut. Alhamdulillah, Pengarah memuji bahawa inilah perhimpunan terbaik selama ini yang dia hadiri. Syukur, berkat muafakat dan perundingan bersama. Turut mengesankan dalam perhimpunan itu ialah keupayaan Ilham Sanip, seorang PRA mendeklimasikan sajak ciptaannya berjodol Aku Mengisi Kemerdekaan.

Sesungguhnya setiap manusia mempunyai kekuatannya yang tersendiri. Kekuatan itulah yang perlu ditonjolkan dan digilap. Dan sesungguhnya juga budaya muafakat dan bekerja sebagai satu kumpulan banyak manfaatnya. Maatilah bersama kita hidupkan semangat kumpulan - sentiasa berprasangka baik dan elakkan perpecahan. Muafakat itu berkat. Bersatu teguh, bercerai roboh.
Comments: Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]





<< Home

This page is powered by Blogger. Isn't yours?

Subscribe to Posts [Atom]