Tuesday, October 17, 2006

 

BERBUKA DI PERSADA

17 Oktober
Mendapat jemputan berbuka puasa di Persada, pusat konvensyen terbesar di Johor Bahru yang baru sahaja siap kepunyaan Perbadanan Johor yang diterajui oleh Tan Sri Ali Hashim. Sebagai pelanggannya, pengurusan Persada memperuntukkan satu meja 10 orang untuk tujuan tersebut kepada jabatanku. Kini Persada sedang membuat promosi berbuka puasa termurah di bandaraya ini, iaitu RM 15.00 ++ seorang.

Aku kagum dengan dewan yang indah dan luas itu. Khabarnya dewan utama yang digunakan untuk berbuka puasa ini boleh memuatkan seramai 7,000 orang. Khabarnya juga Perhubungan UMNO Johor akan membuka tirai menggunakan kemudahan ini untuk satu Konvensyen UMNO Johor pada 4 dan 5 November ini. Khabarnya juga aku akan dilibatkan dalam pelaksanaan konvensyen ini. Tunggulah suratnya ...

Aku dan Zam tiba jam 6.30 petang. Sewaktu masuk disambut dengan penyambut tetamu dengan ramah, sambil dengan senyum membawa kami ke meja yang dikhaskan. Nombor meja ialah 23, tidak jauh dari pentas persembahan oleh kumpulan nasyid terkemuka tanahair. Aku tidak pasti berapa banyak meja yang disediakan, tetapi pastinya tidak kurang 120 meja. Itu yang ternampak olehku.

Makanan yang dihidangkan sungguh banyak, pelbagai dan enak. Tak termakan semuanya. Sakit kakiku sudah berkuarangan, namun hal itu tidak dapat menghalang nafsuku mengambil makanan yang tidak sepatutnya aku makan seperti sop ekor, rojak dan makanan laut. "Tak apa, jadi ubat," aku memujuk hatiku sendiri.

Apa yang menarik perhatianku ialah ramainya bilangan tetamu bukan Muslim bersama-sama di situ. Barangkali mereka tertarik kerana harganya makanan yang secara perbandingan amat murah. Mungkin juga mereka ingin turut mengalami kemeriahan berbuka puasa. Mungkin juga ada yang ingin memberi motivasi pekerjanya aatau membelanja kawan-kawannya yang beragama Islam. Tetapi lebih menarik, mereka turut sanggup menunggu sama laungan azan daripada ahli kumpulan nasyid untuk memulakan makan. Aduhai, betapa indah dan harmoninya kehidupan di Malaysia ini! Kenapa masih ada yang ingin mengganggu atau membuat kacau?

16 Oktober
Hari ini aku cuti rehat kerana aku ingin menguruskan pembaharuan cukai jalan kereta yang akan tamat pada 24 Oktober. Takut terlupa dan tak sempat kerana terlalu asyik dengan sambutan hari raya dan cuti panjang. Hari ini juga aku membuat keputusan bahawa kerja-kerja lanskap taman perlu diserahkan kepada kontraktor lain untuk menyudahkannya. Si A memang tidak boleh diharap lagi. Kontraktor baru sudah dikenal pasti. Izwan diberi tugas menguruskannya. Kalau boleh, sebelum hari raya, kerja-kerja tersebut sudah disempurnakan. Tak apalah berbelanja lebih asalkan mata dan hati tak sakit. Kata orang, duit boleh dicari, biar muka terus berseri, hati senang tidak terperi.

Hari ini aku berbuka puasa di rumah di Seremban seadanya. Bubur nasi, cekodok pisang dan air laici sejuk. Selepas solat Maghrib, aku bergegas ke Terminal 1 untuk menaiki bas Plusliner ke Johor Bahru yang bertolak jam 8.00 malam. Malam itu tak ramai penumpang. Jadi, dapatlah aku duduk seoranag dalam baris kerusi berdua itu. Sekejap tertidur sekejap terjaga dalam perjalanan lebih tiga jam itu. Sampai di kediaman di Johor Bahru jam 11.30 malam dihantar dengan teksi dari Terminal Bas Larkin dengan bayaran sebenar entah berapa ringgit, aku tak pasti. Aku serahkan RM 10.00 kepada pemandu teksi itu, dan sewaktu dia ingin memulangkan baki wang tambang tersebut, aku berkata, "Tak apa, simpanlah baki tu." Biasanya tambanag sebelah malam ialah dua kali ganda pada waktu siang, iaitu kira-kira RM 8.00. Tetapi ada juga pemanadu yang mengenakan tambang RM 5.00 sahaja, walaupun tidak kurang yang terus terang meminta RM 10.00. Kalau berdasarkan meter mengikut perjalanan biasa tambang dari Terminal Bas Larkin ke kediamanku hanya RM 3.50. Tetapi, pengalamanku menunjukkan tidak ramai pemandu yang patuh kepada peraturan menggunakan meter itu. Bagiku, tidak pernah menjadi masalah memberi lebih seringgit dua sekali sekala, sebab jumlah itu tidak menyebabkan aku menjadi kaya atau miskin. Namun bagi orang-orang yang kurang berkemampuan, sudah pasti perkara ini menjadi masalah besar. Kadang-kadang boleh menjadi pertengkaran. Hati mahu baik ...

Di rumah aku menghadapi komputer hingga jam 1.30 pagi baharu aku tidur. Hari sudah bergerak melangkau dari hari Isnin kepada hari Selasa. Aku merasa agak sedih juga apabila Idham mengatakan dalam fotopagesnya bahawa dia tidak akan menyambung mengemaskinikan fotopages. Aku hormati pilihannya dan tidak berhasrat untuk mengetahui apa masalahnya. Dia pasti lebih arif. Cuma aku terasa aku akan terputus hubungan komunikasi dengannya tanpa fotopagesnya. Tidak terjaga untuk bersahur, kerana aku terjaga dari tidur hanya pada jam 6.00 pagi. Aku bersyukur, sewaktu aku bangun, sakit kakiku berkurangan, walaupun bengkaknya baharu sedikit surutnya.

15 Oktober
Walaupun hari minggu, aku sekadar duduk di rumah sahaja. Gout menyerang kembali kali ini menyebabkan kaki kirinya membengkak dan sakit.

Berbuka agak meriah dengan kehadiran Dino dan Zam serta Iman, juga Lin dan Hazly bersama Afnan dan Sofina. Ada roti canai, martabak dan kari ayam buah tangan isteriku bersama-sama dengan ikan sembilang masak lemak masakan Lin. Yang lain ialah tembikai dan kuih pelita yang dibeli dilawankan air kopi O. Selepas berbuka, Dino sekelaurga dan Lin sekluarga pulang ke rumah masing-masing. Tinggallah kami berempat beranak di rumah. Izza sejak balik ke rumah selepas PMR tidak lagi pulang ke sekolah. Katanya, dia balik ke sekolah lepas hari raya sahaja. Yang aku masih belum memberi jawpaan yang pasti ialah tentang permintaannya untuk bertukar ke sekolah harian biasa selepas PMR. "Dulu ayah janji supaya tunggu sampai PMR," Izza menagih janji aku sewaktu dia Tingkatan Satu dan sibuk hendak keluar dari SSP. "Tunggulah macam mana keputusan PMR awak," aku mengelak.

Aku sudah tidur kira-kira jam 11.00 malam apabila A datang. Dia ingin menerangkan masalahnya berhubung dengan kerja-kerja pembinaan lanskap taman yang belum siap. Dalam keadaan menahan sakit kaki, aku gagal mengawal emosiku. Sebelum aku tinggalkan dia terus berunding dengan isterikan dan Izwan kerana khuatir suasana menjadi lebih tegang, aku dengan tegas berkata, "Aku bangga dengan kau, seorang anak muda yang berdikari dan berjiwa usahawan. Aku tambah bangga kerana kau orang Melayu keturunan Jawa dari Johor. Kau ini aku anggap cermin diriku. Tetapi rupa-rupanya kau tidak begitu. Aku bukan tidak sukakan kau, tetapi aku benci dengan sifat pembohong sepertimu."

14 Oktober
Dino bersama isteri dan anaknya pulang ke Seremban dan sampai beberapa minit sebelum berbuka. Iman sudah semakin cerdik. Berbuka agak meriah juga dengan hidangan sate, ayam goreng, bubur pulut hitam dan air tembikai. Kakiku sudah terasa agak sakit, pastinya gaut mula hendak menyerang kembali. Dino mengadu bahawa dia juga sudah menginap penyakit gaut. Aku nasihatkan supaya dia berwaspada dari segi makanan, terutama kerana usianya masih muda.

13 Oktober
Pulang ke Seremban dengan bas Plusliner dan sampai jam 6.30 petang, dijemput oleh Izwan di Tol Seremban untuk pulang ke rumah. Aku lupa apakah hidang berbuka pada hari ini, kecuali aku banyak makan kuih raya hasil masakan isteriku. Memang sedap. Isteriku kemudian menunjukkan aku contoh kek kukus yang dibawa oleh Lin, hasil kerja usahawan desa. Kek tersebut dimasukkan ke dalam sebuah kotak kayu buatan sendiri. Harganya kalau tidak silap aku lebih RM 90.00. Ini adalah satu usaha yang kreatif, namun kreativiti itu tidak terserlah sangat pada kotak itu. Kerja kursus Kemahiran Hidup pelajar-pelajar Sekolah Menengah pun ada yang jauh lebih baik dari itu. Jadi, dari segi tarikan pembungkusan, aku rasa produk ini belum dapat menarik perhatian pembeli berbanding dengan harganya. (Seorang teman di Batu Pahat menjual kes kukus hanya dengan harga RM 17.00 sebiji.) Soalnya: yang dijual itu keknya atau kotaknya? Orang hendak beli keknya atau kotaknya?

Aku bertanya sendiri. Kalau di peringkat tempatan pun sudah kalah dalam pertandingan, bagaimana harus beradu di peringkat global. Hal ini perlu diambil perhatian dan ditangani dengan serius oleh pihak-pihak yang terlibat. Berilah bimbingan sewajarnya untuk usahawan kita supaya lebih kreatif, inovatif dan kompitetif. Apa tindakan Kementerian Luar Bandar dan Wilayah? Apa perancangan Kementerian Pembangunan Usahawan? Apa langkah positif Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani?
Comments: Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]





<< Home

This page is powered by Blogger. Isn't yours?

Subscribe to Posts [Atom]