Tuesday, October 03, 2006

 

BEREHAT LAMA

Rasanya memang terlalu lama aku tidak mengemaskinikan blog ini. Malah aku juga sudah lama tidak mengunjunginya. Aku lebih banyak mengunjungi blog-blog lain, terutama blog kawan-kawan penulis. Sesungguhnya ramai bilangan anak muda yang berbakat dan berpotensi dalam bidang penulisan yang kutemui melalui blog-blog mereka. Aku kagum. Aku juga suka melayari fotopages orang, menikmati kreativiti yang ditunjukkan dalam bidang seni foto.

Sudah lama berehat, aku merasa agak sulit untuk memulakan semula bicara dalam blog ini. Bulan September lepas langsung tidak terisi dengan apa-apa, walaupun sebenarnya banyak peristiwa berlaku sepanjang bulan tersebut. Apapun, aku sekadar ingin mencatatkan di sini bahawa tiga orang ahli keluargaku menerima ijazah masing-masing. Pertama, Izwan dengan Sarjana Muda Seni Bina Lanskap dari UTM. Kedua, isteriku dengan Sarjana Muda Sains Pembangunan Manusia dari UPM. Ketiga, Kak dengan Diploma Pentadbiran Awam dari INTAN. Yang membanggakan, dalam usianya 55 tahun, isteriku berupaya mendapat ijazah dengan pencapaian Kelas Dua Tertinggi. Tahniah kepada semua.

Aku sendiri agak bertambah sibuk, terutama kerana keputusan kerajaan menambah fungsi IKLAS dengan tugas-tugas berkaitan dengan pelaksanaan Pelan Integriti Nasional (PIN). Justeru kini IKLAS dikenali sebagai Institut Integriti, Kepimpinan dan Latihan Semangat. Sekarang sedang sibuk merancang aktiviti-aktiviti yang akan dilaksanakan hingga akhir tahun ini dan tahun hadapan.

Ketika ini puteri bungsu di Sekolah Seri Puteri, Cyberjaya sedang berhempas puas dengan PMRnya yang akan berakhir dua tiga hari lagi. Moga-moga dia beroleh kejayaan cemerlang. Sewaktu ahli keluarga berkumpul untuk berbuka puasa bersama minggu lepas, kami sempat mengadakan solat hajat sebelum solaat terawih berjemaah di rumah untuk kejayaannya. Semoga kejayaan juga merangkuli anak-anakku yang lain dalam apa juga kehidupan yang mereka alami dan hajati kini dan masa hadapan - Kak Long, Kak Ngah, Dino, Izwan, Am dan Ilia. Kepada Allah aku berdoa dan berserah. Malah kejayaan dan kecemerlangan dipohon untuk diriku dan isteriku serta cucu-cucuku.

Sesungguhnya aku melihat suatu sinar kejayaan berada di hadapanku ... Aku amat positif.

Kepada semua, selamat berpuasa dan selamat berhari raya; semoga Allah sentiasa memberkati dan melindungi. Amin.
Comments: Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]





<< Home

This page is powered by Blogger. Isn't yours?

Subscribe to Posts [Atom]