Wednesday, October 18, 2006

 

JEREBU, TSUNAMI DAN RAMADAN

Indeks kualiti udara semalam menunjukkan bahawa Johor Bahru merupakan kawasan paling buruk diakibatkan oleh jerebu. Sejak dua tiga bulan kebelakangan ini, Malaysia merupakan antara negara yang terjejas teruk akibat jerebu disebabkan oleh pembakaran terbuka di Indonesia, sehinggakan satu mesyuarat peringkat Asean diadakan baru-baru ini bagi membincangkan bagaimana menangani masalah tersebut. Siapa mahu dipersalahkan? Pihak kerajaan Indonesia sudah mengeluarkan pernyataan minta maaf kepada negara-negara jirannya, tetapi adakah cukup sekadar meminta maaf? Saban tahun masalah yang sama berulang kembali.

Kita bernasib baik kerana negara kita setakat ini dipelihara Allah daripada menerima bencana alam yang lebih dahsyat seperti gempa bumi, ribut taufan, banjir besar, tsunami menggunung dan sebagainya. Kalau ada pun, kehadiran musibah ini sekadar sebagai peringatan awal Allah. Kalau dibandingkan dengan pengurusan manusia dalam organisasi, sifatnya sekadar memberi amaran secara lisan, belum sampai ke peringkat amaran bertulis, atau potong gaji, atau tahan kenaikan gaji, atau gantung kerja, atau tahan kerja, atau malah buang kerja. Oleh itu, kita harus sering beringat tentang janji Allah itu, iaitu manusia mendapat apa yang mereka kerjakan. Ingatlah bahawa kehadiran manusia di dunia ini adalah untuk memakmurkan bumi Allah ini, bukan menjahnamkannya dengan kerosakan, kemusnahan dan kemungkaran.

Pada bulan Ramadan ini, jadikanlah kehadirannya sebagai peluang untuk kita mengucap syukur dan terima kasih kepada Allah. Selain sebulan berpuasa, marilah kita hayati sesungguh-sungguhnya tujuan sebenar kita diwajibkan berpuasa Ramadan. Kita selalu kena ingat bahawa Ramadan bukan bulan menjamu selera hinggakan wujud pelbagai Bazar Ramadan di merata tempat seluruh negara. Kita selalu kena ingat bahawa Ramadan bukan bulan membazirkan harta, hingga kita sanggup berbelanja besar menyediakan juadah berbuka yang akhirnya tidak lalu dimakan lagi kerana basi atau perut sudah penuh. Kita selalu kena ingat Ramadan bukan bulan kita mengaut keutunngan segera yang berganda dengan menaikkan harga barangan yang kita jual itu tidak berpada. Kita kena selalu ingat bahawa Ramadan bukan bulan pesta, berbuka di hotel-hotel besar yang menyediakan sajian yang mahal berserta hiburan muzik yang berpanjangan. Ingatlah, Ramadan adalah bulan sebaliknya ...

Jangan biarkan Allah murka kerana kelalaian kita itu dan diturunkan kepada kita bencana yang membawa derita. Apa yang kita mahukan ialah perlindungan dan keberkatan daripada Allah. Dalam fikir dan renung, dalam timbang dan hitung, dalam sedar dan menung, aku sering teringat betapa Allah banyak kali menduga kita, antaranya tanpa kita jangka, Allah menghantar tsunami ke negara kita awal tahun lepas. Bayangkan, dalam sekelip mata, penderitaan datang menerpa, sedang di negara-negara jiran kesangsaraan tak usah lagi dikata. Untuk itu, izinkan aku menurunkan sebuah sajak berkaitan yang pernah kukarang suatu ketika dahulu. Mungkin sajak ini boleh menjadi bahan untuk renungan kita bersama.



RAKSAKSA PUTIH

Dalam kealpaan tiba-tiba sahaja kita terjaga
Lautan Hindi yang tenang memecah gelora
Ratusan raksaksa putih menyusun barisan
Lalu meluncur deras memecah lautan
Menerpa pantai menerobos naik ke daratan
Menelan segala keindahan dan kecintaan
Menghakis keselesaan dan kesombongan
Menusuk masuk ke benteng ego
Diperdayanya kita kerana kejahilan yang panjang
Dibalasnya kezaliman kita dengan keruntuhan.

Raksaksa putih itu sungguh luar biasa
Mempamer keajaiban yang mengundang pesona
Lalu kita sambut kehadirannya dengan pesta
Takjub melihatnya berdiri gagah di muka sagara
Tanpa memahami citra kebengisan di wajahnya
Bersandarkan nama tsunami membawa khabar derita
Terpukau kita menjadi terpaku dalam trauma.

Pelbagai teknologi canggih kita pelajari dan kaji
Tidak terjangkau mengenal kebangkitan tsunami
Keupayaannya bagai raksaksa putih yang hebat
Mengajar kita mengenal erti kebesaran Ilahi
Merangsang daya fikir yang terkubur dalam sengketa
Betapa kita sudah lama lupa mengucap syukur
Kemakmuran bumi ini sudah tidak terpelihara
Darah yang tertumpah sudah tidak lagi berharga
Masihkan kita mempersoal Allah yang murka?


ISBIHA

Pulai Desaru, KotaTinggi
26 Januari 2005
Comments: Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]





<< Home

This page is powered by Blogger. Isn't yours?

Subscribe to Posts [Atom]