Friday, October 20, 2006

 

MENONGKAH ARUS

Termasuk hari ini tinggal empat hari lagi menjelang aidil fitri. Hari ini aku akan pulang ke Seremban. Seperti lazimnya setiap hari Jumaat, majlis membudayakan Al-Quran dimulakan jam 8.00 pagi. Kehadiran staf tidak begitu ramai, pastinya ramai yang sudah bercuti rehat. Aku juga mengambil cuti yang agak panjang, terutama kerana cuti rehatku masih banyak berbaki. Tetapi seperti selalunya, kebenaran bercuti akan ditarik balik apabila ada sesuatu tugas penting dan urgent yang memerlukan tindakanku.

Aku tidak pasti bagaimana keadaan lalu lintas di jalan raya pada hari ini. Yang pasti tentulah kesibukannya melebihi keadaan biasa. Namun aku berdoa semoga perjalanannya permudahkan Allah, terhindar daripada segala halangan, rintangan, kesusahan dan kemalangan. Kelmarin Izwan turun ke Johor Bahru untuk menemani aku pulang hari ini. Turut bersama pulang ke Seremban ialah Ilia dari Pasir Gudang.

Aku merancang untuk bertolak pulang kira-kiran jam 2.30 petang dari Pasir Gudang. Kerana perlu mengambil kuih yang dipesan daripada seorang teman, aku akan singgah di rumah teman itu di Parit Kuda, Batu Pahat. Dalam keadaan demikian, aku tidak pasti jam berapa akan sampai Seremban. Lebih-lebih lagi teman tersebut beria-ia sangat mengajakku berbuka puasa di rumahnya. Kalau sudah berbuka puasa dahulu, maknanya perjalanan akan menjadi bertambah lambat. Tetapi tak apalah, mungkin pada ketika itu jalan raya sudah tidak sibuk lagi. Ingat, pandu cermat jiwa selamat. Syaratnya, orang lain juga perlu pandu cermat. Berhati-haati di jalan raya.

Menjelang hari raya, aku terkenang tentang kerja-kerja yang aku lakukan kini. Dalam diam tak diam, aku sudah bergelumang dengan tugas-tugas memelihara warisan budaya ini selama hampir tujuh tahun. Aku tidak pernah terbayang bahawa selepas aku bersara wajib daripada perkhidmatan awam sewaktu usiaku 55 tahun p[ada bulan awal Januari 2000, aku diminta menyambung tugas ini secara konttrak di Johor. Kalau tidak, apakah agaknya yang aku lakukan? Barangkali aku akan sekadar duduk di raumah - tidur, bangun, baca surat khabar dan makan. Sekali sekala pada waktu petang berborak dengan kawan-kawan. Aduhai, betapa bosannya ... Aku bersyukur, aku masih terus aktif bekerja. Terima kasih Kerajaan Negeri Johor.

Sajak di bawah ini sedikit sebanyak menggambarkan apa yang aku lakukan kini. Namun aku merasa amat bahagia, puas dan selesa, walaupun cabaran sentiasa mendesak menduga.

MENONGKAH ARUS

Semua orang berperahu ke hilir
Pantas dibawa derasnya air mengalir
Sorakan sokongan gemuruh di pinggiran
Pengayuh di tangan sekadar perhiasan
Usah risau rintangan halangan
Sambutan meriah menanti di pangkalan.

Sedang aku berpeluh berkayuh ke hulu
Menongkah arus menyongsang angin
Bergerak sendiri memelihara tradisi
Mengutip tinggalan warisan yang tercicir
Jangan sampai aku tewas dan tergelincir
Dibawa derasnya air menerjah lubuk hati
Hingga terdampar terkulai di pantai
Bersatu bersama bangkai.
Comments: Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]





<< Home

This page is powered by Blogger. Isn't yours?

Subscribe to Posts [Atom]