Saturday, November 04, 2006

 

SABTU YANG SEPI

Hari Sabtu ini aku bersendirian di Johor Bahru. Walaupun kehadiran Pak Lah berjaya mengheret ribuan orang ke Teluk Danga hari ini, aku sendiri tidak berminat untuk sama-sama menyertai Majlis Perasmian Wilayah Ekonomi Johor Selatan (SJER) yang disempurnakan oleh DYMM Sultan Iskandar. Mengikut perancangan, projek ekonomi ini memang hebat. Projek ini melibatkan pembangunan kawasan seluas 2,217 kilometer persegi meliputi kawasan segitiga antara Lapangan Terbang Senai di selatan, Pelabuhan Tanjung Pepepas di barat daya dan Pelabuhan Pasir Gudang di tenggara menjadi pusat pertumbuhan ekonomi bertaraf sebuah metropolis antarabangsa. Terangkum dalam projek itu ialah Kompleks Pentadbiran Kerajaan Negeri Johor yang terancang dan bersepadu di Nusajaya yang bakal menjadi mercu tanda baru di negeri Johor, sama seperti Putrajaya.

Aku memulakan hari dengan menziarahi Ilia di Pasir Gudang dan bersamanya bersarapan pada jam 8.30 pagi. Sepinggan nasi lemak bersama telur rebus dan paru goreng serta segelas kopi O sudah cukup memenuhi ruang kosong perutku. Bayangkan malam tadi aku sekadar makan malam dengan segelas Nescafe kosong dan beberapa biji kuih raya yang dibekalkan oleh isteriku dari Seremban.

Sesampainya semula ke tempat kediaman, aku membaca akhbar sebelum berhadapan dengan TV secara berbaring. Dapat juga aku mengikuti Majlis Pelancaran SJER melalui TV3 yang dipancarkan secara langsung. Dalam keadaan yang selesa secara berbaring itu, rupa-rupanya aku turut merakam audio dari TV di sebelahku itu ke dalam mimpiku.

Apabila terjaga kira-kira jam 1.00 petang, aku meneruskan aktivitiku di hadapan komputer ini, membuat homework untuk tugas dalam Konvensyen UMNO Johor esok dan lusa yang akan dijalankan di Persada, Johor Bahru. Timbalan Perdana Menteri akan hadir pada 6 November untuk menerima penyerahan resolusi konvensyen daripada Ketua Perhubungan UMNO Johor, YAB Dato' Haji Abdul Ghani Othman. Harap-harap kerja rumah ini akan dapat membantu sesi perbengkelan nanti. Sebenarnya aktiviti ini jugalah yang menyebabkan aku tidak pulang ke Seremban hujung minggu ini. Tak apalah, sudah menjadi tugas ...

Dan walaupun kini sudah jam 2.30 petang, aku belum berhasrat untuk makan tengah hari. Pastinya isteriku ditemani anak-anakku kini sudah berada di Bangi, menghadiri majlis rumah terbuka hari raya sepupunya, Kiah. Sedangkan aku sedang berfikir, adakah cukup aku merebus dua biji telur untuk makan tengah hariku?

TV di kiriku sedang menayangkan sebuah filem Hindustan - riuh dengan muzik dan dialog. Sesekali sambil menaip aku menjeling visual yang ditayangkan itu, terutama apabila mendengar hilai ketawa atau pengucapan pelakon wanita yang lain sedikit bunyinya. Namun visual itu tidak dapat memikat perhatianku.

Namun aku tetap terus sepi pada hari Sabtu ini.
Comments:
assalamualaikum wbt...

saya pengunjung tetap blog ini...dan sejujurnya saya sangat suka akn pengolahan bahasa yang digunakan dalam entry yang bertajuk Sabtu yang Sepi ini... sangat tersusun dan bagaikan mempunyai rima seperti sedang berpuisi panjang...

teruskan menulis!
 
selamat hari raya dan maaf zahir batin buat pak mail. harap pak mail sekeluarga sihat sejahtera walau dalam kesibukan kerja. :)
 
Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]





<< Home

This page is powered by Blogger. Isn't yours?

Subscribe to Posts [Atom]