Tuesday, January 16, 2007

 

HUJAN OH HUJAN

Hujan berpanjangan menyababkan negara dilanda banjir sekali lagi, terutama di negeri Johor. Banjir kali ini memang teruk. Begitupun, pada kali ini tidak kedengaran hal-hal yang boleh dikaitkan dengan cerita Bangau Oh Bangau, kisah bagaimana orang atau organisasi cuba mengelakkan tanggungjawab terhadap sesuatu keadaan dan meletakkan tanggugan setiap kesilapan yang berlaku kepada pihak lain. Nampaknya kebanyakan raykat Malaysia berpadu dan bersatu bagi mengatasi bencana yang Allah turunkan ini. Bantuan dihulurkan, sumbangan diberikan, khidmat bakti dicurahkan, dan kewangan disediakan. Alhamdulillah. Ini merupakan satu pertanda baik bagi kehidupan negara yang lebih aman, harmoni dan bersatu padu. Dalam pada itu, masih juga ada orang yang cuba mengambil kesempatan daripada penderitaan orang lain melalui pelbagai cara.

Dalam keadaan sedemikian, aku terkenang betapa kerosakan dan kemusnahan yang besar akibat banjir ini boleh dikurangkan sekiranya kita rajin menyelak lembaran sejarah. Kalau kita kembali kepada sejarah, orang Melayu membina rumah bertiang tinggi. Malah orang Asli membuat rumah di atas pokok. Tujuannya ialah untuk mengelakkan kerosakan sekiranya banjir melanda atau melindungi dari serangan binatang buas. Dalam dunia moden ini, setiap inci di atas muka bumi ini digunakan sepenuhnya. Malah hutan ditarah, sungai dikambus, bukit diratakan. Rumah-rumah moden yang menghasilkan hutan batu di bandar-bandar tidak lagi bertiang tinggi. Jabatan-jabatan kerajaan termasuk sekolah-sekolah tidak memanfaatkan teknologi orang-orang tua bagi mengelakkan masalah akibat bencana alam. Aku pernah ke Thailand dan melihat dewan sekolah dibina di atas tiang tinggi. Di bawah dewan itu kawasan lapang tidak berdinding yang boleh digunakan sebagai tempat bermain, berhimpun atau menjalankan aktiviti kokurikulum. Alangkah praktikalnya. Aku juga melihat di negara jiran Singapura membina kondo dan apartmen yang bertiang. Bolehkan kita belajar daripada sejarah atau keluar dari kepompong? Bolehkah kita mengelakkan diri dari tamak dan gelojoh?

Aku juga sering membayangkan, betapa keadaan kita sekiranya hujan turun berterusan. Bagaimana kita rakyat Malaysia menguruskannya? Seperti juga aku pernah membayangkan, betapa agaknya kehidupan kita sekiranya negara kita mengalami cuaca empat musim - panas (summer), dingin (winter), bunga (spring) dan luruh (fall). Rakyat Malaysia mungkin menjadi umat yang paling berjaya di dunia.

Hujan oh hujan ...
Comments: Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]





<< Home

This page is powered by Blogger. Isn't yours?

Subscribe to Posts [Atom]