Wednesday, January 24, 2007

 

PERGI DAN TINGGALKAN AKU

PERGI DAN TINGGALKAN AKU

Pergi dan tinggalkan aku
kalau sungguh itu yang kaumahu
usah lagi berpaling ke belakang
memandangku menghampar harapan
hasrat tidak mungkin kesampaian.


Kau pasti tahu apa yang aku mahu
bukan sekadar mengharapkan kehadiran

sepasang tangan ramah terhulur
mencabut segala onak dan duri
yang mencucuk dan menyusuk
jauh dalam ke lubuk hati
mengundang nanah dan barah
sakitnya bertambah parah.


Aku tidak sanggup melapangkan dada
membariskan lafaz-lafaz pujuk rayu
menangis meratapi pemergianmu
kalau sungguh itu mahumu
pergilah dan tinggalkan aku.

Sajak di atas nukilan Khairil Idham yang telah kusunting hari ini. Aku baru kembali dari menghadiri seminar tentang rasuah dan integriti di Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dan di situ bertemu sahabat lama, Ashaari Noh yang kini menjawat jawatan Pengarah Radio IKIM. Banyak kenangan lama diungkapkan kembali. Tetapi yang menarik apabila dia berkata, "Budak-budak sekarang kerja tak macam kita dulu. Pukul lima petang pejabat dah lengang ... Tak ada kerja-kerja rakaman dibuat ... Tak ada kajian dijalankan ... Tak ada!"

Dua berita penting di akhbar hari ini. Pertama, berita tentang dua orang bekas pegawai kanan Tabung Haji dijatuhi hukuman penjara 16 tahun kerana menyalahgunakan kuasa dan wang jabatan. Kedua, berita tentang kembalinya ke rahmatullah Datuk Dr. Syed Hussein Al-Attas, tokoh akademik, politik dan pemikir bangsa dalam usia 79 tahun. Tiga kali sepanjang tahun lepas IKLAS menggunakan khidmat kepakarannya dalam pengkisahan sejarah perjuangan Dato' Onn Jaafar di Batu Pahat, di Seremban dan di Johor Bahru. Sekali lagi beliau diundang berkisah tentang perkara yang sama dalamPersidangan Kebangsaan Mengenai Dato' Onn di Persada, Johor Bahru pada 1 - 4 Disember 2006. Beliau sungguh bersemangat dan bertenaga.

Yang menariknya, Allahyarham Datuk Dr. Syed Hussein sempat mengadakan kunjung hormat YAB Menteri Besar Johor dan isteri di Saujana dan sama-sama bersarapan. Khabarnya dalam bertemuan enam mata selama empat jam itu banyak perkara yang dibincang bersama. Kena merisik khabar YAB Dato' Abdul Ghani Othman sekiranya ingin mengetahui apakah gerangan yang mereka bincangkan itu. Al-Fatihah!
Comments: Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]





<< Home

This page is powered by Blogger. Isn't yours?

Subscribe to Posts [Atom]