Wednesday, February 21, 2007
LEBUH RAYA DAN TOL
Lebuh raya sentiasa sesak;
Samy Vellu jadi sasaran;
Sakit hati menahan berang.
Rakyat keliru siapa yang betul;
Kerajaan terus didesak diasak;
Op Sikap apakah tujuan;
Mati katak tidak pun kurang.
Saat yang menjengkelkan. Pada jam 5.00 petang, 16 Februari aku bertolak dari Johor Bahru ke Seremban. Hampir sepanjang perjalanan, kenderaan bertunda bumper ke humper, bergerak macam semut. Dalam lambat itu pun masih juga ada kemalangan di lebuh raya. Atau kemalangan itu sebenarnya memang disebabkan perjalanan yang lambat. Bayangkan, perjalanan yang lazimnya memakan masa selama tiga jam, aku terpaksa menghadapinya selama lebih lima jam. Aku sampai Seremban jam 10.15 malam. Dan keadaan yang serupa aku hadapi sewaktu aku pulang ke Johor Baharu pada petang 20 Februari.
Ketidakselesaan ini menyebabkan aku menyoal sendiri: Apakah ertinya lebuh raya? Apakah maknanya bayaran tol? Apakah yang tersirat dalam perjanjian konsesi? Kerana itu, langkah untuk mendedahkan kandaungan perjanjian kerajaan dengan syarikat konsesi lebih raya itu ada juga baiknya supaya kerajaan dilihat telus dan tulus.
Benarkah syaraikat konsesi tak untung? Khabarnya pekerja-pekerja lebuh raya mendapat bonus hingga tiga bulan gaji. Ada pula yang kata, enam bulan gaji. Malah ada juga yang kata setahun gaji. Betulkah itu?
Jawablah dengan jujur. Pilihanraya sudah di ambang pintu ...
Thursday, February 15, 2007
CANTIK DAN INDAH

Sesungguhnya kecantikan seseorang perempuan itu bukan sekadar terpancar melalui wajah yang ayu dan tubuh badan yang menarik atau terjelma melalui pakaian indah dan berharga yang menyaluti tubuhnya, tetapi yang lebih penting ialah ketinggian akhlak yang menghiasi dirinya.
Bagaimana dengan lelaki? Siapakah pilihan anda? Yang ayu? Yang gebu? Yang syahdu? Yang akhlak bermutu? Tanya selera hendak makan apa?
Wednesday, February 14, 2007
MARAH DAN PUJUK


Firman Allah yang menceritakan tentang pesan Luqman Al-Hakim kepada anaknya, bermaksud: "Lunakkanlah suaramu ... "
Sekiranya kamu salurkan air panas dan air sejuk serentak melalui satu saluran yang sama, kamu hanya akan mendapat air suam. Dan jika kamu lontarkan kemarahan dan pujukan kepada seseorang pada masa yang sama, yang kamu perolehi hanyalah hati yang tercalar. Luka sudah berlaku, parutnya tetap ada. Kerana itu, pendamkanlah kemarahan kamu dan tumpukan perhatian kamu kepada idea semata-mata. Idea yang baik akan menghasilkan tindakan yang positif sekaligus menjulang perhubungan mesra dan kasih sayang.
Sesungguhnya kemarahan tidak upaya mempengaruhi orang, dan kemarahan juga tidak upaya mencetuskan pemikiran rasional, malah kemarahan tidak tergolong sifat terpuji. Manusia berakhlak ialah manusia yang antara lain berjaya membendung rasa amarahnya.
Tuesday, February 13, 2007
LOGO

Friday, February 09, 2007
BUDI BAHASA JATI DIRI KITA

BUDI BAHASA JATI DIRI KITA
Mari ke mari hulurkan tanganmu kita erat berjabat
di bawah sinar damai kita jejaki rantau selamat
santun kita dalam gegak gempita memerkasa jati diri
memagang amanah berbekalkan budi bahasa nilai murni
syukur berpanjangan biar terus bertakhta di lubuk hati.
Mari ke mari kita taburkan benih kecintaan
gendang perjuangan sudah dipalu, aturkan barisan
sederap kita bergerak tegakkan budaya warisan
menjadi mercu tanda ketinggian sebuah peradaban
budi bahasa cemerlang, sopan santun gemilang
jangan biarkan yang tercicir meratap sepi sendirian
lalu membuka pintu cemburu mengundang petualang.
Kita megah memelihara bersama wilayah damai ini
kita berhimpun menyusun barisan mengatur strategi
sebagai pewaris setia sopan santun budi bahasa
pakaian peribadi lambang keteguhan jati diri
sumber kekuatan mempertahan hak mutlak bangsa
menjanjikan rantau selamat rukun hidup harmoni
merungkai amarah berpanjangan, dendam dan benci
jangan sampai terpalit tercalar angkara keji.
Mari ke mari kita penuhkan setiap ruang
menjadi kelompok besar di puncak satu wawasan
megah berdiri sebagai juara di tengah gelanggang
nilai-nilai murni kukuh teguh benteng ketahanan
budi bahasa sentiasa menjadi dinding kesantunan
budi bicara membentuk pagar menjana cendiaka
budi pekerti tembok kukuh pertahankan upaya.
Mari ke mari kita bangunkan teras kekuatan
tertegak budi bahasa jati diri kita bersama
menepis menapis segala cabaran musim
langkah tangkas tidak dilihat sumbang
gerak jelas tidak mungkir.
ISBIHA
Johor Bahru, 9 Februari 2007
Thursday, February 08, 2007
ANAK JANTAN

Apa tanda si anak jantan?
Matinya di tengah gelanggang
Tidurnya di puncak gelombang
Makannya ditebing panjang
Langkahnya menghentam bumi
Lenggangnya menepis semak
Gelaknya terbang ke langit
Tangisnya di angin lalu
Esaknya ditelan tanah
Yang tak kenal air mata
Terendam sama basah
Terbakar sama hangus
Sakit tidak disebut
Mati tidak diungkit
Wednesday, February 07, 2007
MELENTUR BULUH

Kalau anak tidak dilatih
Bila besar ibu bapanya letih
Bagaimanakah kita hendak menyemai perpaduan di kalangan generasi muda? Tidak lain dan tidak bukan ialah dengan melalui pendekatan melentur buluh ini. Gambar foto di atas menunjukkan sekumpulan anak-anak kaum Tionghua dari sebuah SRJK (Cina) di negeri Johor sedang menarikan tarian zapin, satu unsur jati diri Johor
Tuesday, February 06, 2007
LEMBU ATAS LORI

Lori itu dipandu di atas jalan raya.
Jalannya sejauh Rembau ke Seremban.
Di simpang jalan, lampu isyarat merah.
Lori berhenti tanda hormat undang-undang.
Dua ekor lembu di atas lori melompat.
Apabila lampu isyarat hijau, lori terus jalan.
Sampai lagi di simpang jalan, lori berhenti lagi.
Dan tiga ekor lembu pula melompat.
Akhirnya sampai lori itu ke destinasi.
Berapa ekor lembu tinggal di atas lori?
Monday, February 05, 2007
BANGUNAN DATO' JAAFAR

Bangunan ini bukan sekadar menyimpan banyak rahsia sejarah, tetapi juga unik dari segi reka bentuk yang menyamai beberapa bangunan lama di England seperti Hardwick Hall dan River Castle.
Rumah ini dibina oleh Dato' Jaafar Mohamad, Menteri Besar Johor yang pertama. Pembinaan rumah ini bermula pada tahun 1986 dan siap dalam tempoh dua tahun, dengan kos pembinaan peringkat pertama berjumlah RM 80,000.00. Selama 22 tahun Dato' Jaafar mendiami rumah ini. Selepas kematiannya -ada 3 Julai 1919, kerajaan Johor mengambil alih rumah ini.
Untuk beberapa ketika, bangunan ini terbiar begitu sahaja. Pada zaman pemerintah Jepun (1941 - 1945) bangunan ini digunakan oleh tentera-tentera Jepun untuk meletakkan perempuan-perempuan simpanan mereka. Pihak Inggeris juga selepas berkuasa semula di Tanah Melayu pernah menggunakan bangunan itu sebagai markas tentera.
Selepas Merdeka, Bangunan Dato' Jaafar dijadikan Maktab Perguruan Bahasa sebelum insitusi itu dipindahkan ke Lembah Pantai, Kuala Lumpur. Beberapa pejabat kerajaan seperti JKR, KEMAS dan Yayasan Warisan Johor pernah ditempatkan di bangunan ini.
Sekarang bangunan ini telah diserahkan oleh Kerajaan Negeri Johor lkepada Yayasan Warisan Johor untuk dibangunkan sebagai Muzium Tokoh. Namun beberapa tahun kebelakangan ini, bangunan tersebut masih terus sunyi tanpa penghuni. Takut-takut kesepian itu nanti diriuhkan oleh anak-anak muda yang berpesta yang akhirnya mengundang keruntuhan moral. Khabarnya projek ini tergendala kerana kekurangan peruntukan kewangan. Janganlah biarkan dibazirkan khazanah negara dengan sikap yang tidak serius dan komitmen yang rendah. Selamatkanlah segera Bangunan Dato' Jaafar!
Subscribe to Posts [Atom]