Wednesday, April 11, 2007

 

ADAB DAN BIADAB

Dalam kehidupan bermasyarakat, sejak dahulu lagi manusia telah membentuk peraturan untuk mengatur perhubungan peribadi sesama manusia dalam masyarakat. Satu daripada aspek penting dalam perkara ini ialah adab. Sehubungan itu, dalam masyarakat Melayu, timbul perlakuan yang saling bertentangan, yang diungkapkan melalui perkataan "adab" dan "biadab".

Mengikut kefahaman aku, beradab biasanya merujuk kepada orang baik-baik dan berkedudukan terhormat. Biadab dikaitkan dengan perlakuan orang-orang yang kurang berpelajaran dan berstatus rendah. Hakikatnya tidak begitu. Pengalaman mengajar aku bahawa adab dan biadab ini rupa-rupa tidak mengenal pangkat dan kedudukan.

Aku amat tercabar dengan sikap seorang pemimpin tinggi kerjaan Johor yang aku anggap bukan sahaja ego dan angkuh, tetapi juga biadab. Bukankah biadab namanya jika orang dalam kedudukan tinggi dan terhormat sepertinya menjajakan keaiban seseorang dan sesebuah organisasi di merata-merata tempat, sebahagiannya dalam nada menghasut. Perkara aib yang disebut di sana ini itu pun bukan betul. Malangnya orang dan organisasi aterlibat tidak berpeluang menjawab atau mengenakannya kembali, sebab "penjualan" dilakukan "di pasar gelap". Ikut sedap mulut menyebutnya dengan penuh emosi. Sungguh malang ...

Dalam hati aku menyimpan rasa marah dan kecewa. Beberapa orang lain juga turut kecewa. Tetapi aku segera memujuk hatiku dengan mengambil pesan daripada Ustaz Abu Bakar Selamat, Ketua Unit Warisan Kesenian Islam di tempat kerjaku.Katanya, "Itu memang kerja dia. Dia nak sombong, dia nak angkuh, nak apapun, itu kerja dia. Kerja kita buat baik, beradab dan merendah diri. Itu kerja kita." Hatiku jadi terhibur. Aku menjadi tenang. Moga-moga Allah membukakan pintu hatinya menginsafi sifat buruknya itu. Aku menyedari bahawa sifat buruk aku sendiri pun kadang-kadang pun aku tak sedar, kecuali ada orang lain memberitahunya.

Sebagai orang Islam, kita mengawal perilaku kita seperti yang dituntut oleh agama Islam. Dalam Islam telah diaturkan dengan baik dan cantik bagaimana kita boleh melakukan perkara-perkara yang dibenarkan, perkara-perkara yang digalakkan, perkara-perkara yang perlu ditinggalkan, perkara-perkara yang perlu dilakukan, dan perkara-perkara yang diegah. Kata kuncinya - harus, sunat, markuh, wajib dan haram.

Yang menarik, tidak banyak perlakuan manusia dalam Islam yang tergolong dalam kategori wajib dan haram. Yang banyak ialah perkara-perkara yang diharuskan. Malah garis pemisah antara kelima-lima kategori perlakuan itu mempunyai kelonggaran pada waktu-waktu tertentu. Perlakuana yang terlarang pada keadaan biasa mungkin menjadi wajib dalam keadaan tertentu. Sebagai contoh, Islam melarang umatnya memakan daging babi, tetapi dibolehkan pula memakannya dalam keadaan kebuluran dan hanya daging babi yang ada untuk menyelamatkan nyawanya.

Itulah nikamtnya agama Islam ini. Dan itulah juga nikmatnya apabila kita beradab mengikut lunas-lunas Islam. Ya, Allah! Kau tetapkan keimananku menjunjung adab dengan kalimah "La illaha-il-lallah, Muhammadur-rasulullah" dan jangan sekali-kali Kau palingkan hatiku selain darinya.

Hiasalah diriku dengan adab Islam ... dan hiasailah seluruh diri umat Islam dengan adab Islam. Jadikanlah hidup kita beradab. Jangan kita jadi biadab. Amin.
Comments: Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]





<< Home

This page is powered by Blogger. Isn't yours?

Subscribe to Posts [Atom]