Monday, April 09, 2007

 

ALHAMDULILLAH

Sementara belum sibuk, aku ingin terus mengisi blog ini. Apatah lagi setelah aku tidak mengemaskinikan sejak beberapa lama oleh masalah teknikal (agaknya!).

Hari ini merupakan hari yang amat bermakna bagiku. Selepas solat Subuh pagi tadi, seperti lazimnya aku berdoa ke hadrat Ilahi. Macam-macamlah yang dipohon. Tetapi ada satu kelainan dalam doaku pagi ini, yang belum pernah kulakukan sebelum ini. Aku tambahkan dalam doaku satu permohonan supaya aku pada hari ini lebih baik dari hari semalam.

Sesungguhnya aku merasakan memang hari ini lebih baik dari semalam. Aku amat merasainya. Sewaktu kebanyakan kakitangan awam di negeri Johor berehat kerana cuti am, aku di pejabat bersendiri bekerja. Bayangkan, aku berada di pejabat membuat kerja-kerja rasmi dari jam 6.15 pagi hingga jam 6.00 petang. Bayangkan, sembahyang Zohor dan sembahyang Asar pun aku lakukan di bilik pejabat. Tambahan pula, aku sempat menyempurnakan puasa sunatku yang pertama aku lakukan bagi tahun ini.

Dan sepanjang di pejabat, aku sempat menyempurnakan beberapa kerja. Pertama, draf ucapan Perasmian Bengkel Seni Visual pada 27 April telah dapat disiapkan. Kedua, kertas cadangan untuk dibentangkan Mesyuarat Lembaga Pengarah dapat dibereskan. Ketiga, sebahagian besar Manual Prosedur Kerja yang baru bagi IKLAS mengandungi latar belakang, falsafah, misi, objektif, fungsi, carta organisasi dan senarai tugas semua staf dapat disempurnakan. Keempat, laporan aktiviti dan program IKLAS untuk dibentangkan dalam Mesyuarat Keutuhan Pengurusan dapat disediakan. Syukur alhamdulillah. Sesungguhnya Allah Maha Pemurah, Maha Penyayang dan Maha Pengasih. Jadi, jangan lupa Allah. Allah akan terus bersama kita.

Sepanjang hari ini hingga ke saat pengisian blog ini dibuat (jam 11.11 malam) aku masih sendirian. Namun hari ini aku berbelanja sebanyak RM 35.40 untuk berbuka puasa yang mengandungi pizza, kepak ayam goreng dan air minuman yang aku pesan dari Domino's Pizza melalui sistem penghantaran. Dan seharian juga aku terkurung di rumah cum pejabat.

Aku berharap hari esok juga akan terus lebih baik dari hari ini.
Comments: Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]





<< Home

This page is powered by Blogger. Isn't yours?

Subscribe to Posts [Atom]