Monday, April 09, 2007

 

RAHMAT

Halangan. Aku sudah memohon cuti rehat selama dua minggu mulai 2 April. Mengikut rancanagan, 3 April aku dan isteri bertolak ke Mekah untuk melakukan umrah. Tetapi rancangan terhalang kerana masalah visa. Kata agen pelancongan yang menguruskan perjalanan kami, Kerajaan Saudi Arabia menukar peraturan pemberian visa umrah dan akibatanya urusan mengenainya tergendala. Kesukaran ini melibatkan seluruh Asia Tenggara, katanya.

Aku tunggu dan tunggu dari sehari ke sehari, namun jawapannya masih negatif. Sehinggalah pada hari Jumaat 6 April, aku diberitahu kelulusan visa sudah diperolehi dan rancangan bertolak ke Mekah pada 13 April, berlepas jam 2.40 petang. Hai, lama lagi tu.

Untuk tidak mensia-siakan cuti rehatku, aku pun bercadang pulang ke Johor Bahru untuk menyambung kerja mulai 9 April hingga 12 April. Sekurang-kurangnya empat hari cuti rehat dapat diselamatkan. Bagi memudahkan isteriku bergerak ke sana ke mari sementera keretanya digunakan oleh Ilia berulang alik ke Senawang di tempatnya menjalani latihan amali pengajiannya, aku bercadang meninggalkan keretaku di Seremban. Malangnya semua tiket bas bagi perjalanan Seremban ke Johor Bahru pada hari Ahad sudah habis ditempah. Aku kecewa.

Kerana itu, semalam isteriku ditemani Ilia dan Izza menghantarku pulang ke Johor Bahru. Petangnya mereka kembali berkereta ke Seremban meninggalkan aku sendirian di rumah cum pejabat tanpa kenderaan. Tak apa. Rumah di bawah, pejabat di atas.

Pagi ini selepas solat Subuh aku bergegas di pejabat selawal jam 6.15 pagi. Tanpa sarapan. Aku terus menghadapi komputer ini. Aku berharap dapat bersarapan bersama teman-teman sepejabat apabila mereka sampai nanti. Tetapi hingga jam 8.00 pagi, tidak ada seorang pun yang muncul di pejabat. Aku hairan dan mula mengsyaki sesuatu. Aku buka kalender. Ya, Allah! hari ini cuti am bagi negeri Johor rupanya kerana menggantikan hari kelmarin - cuti Ulang Tahun Keputeraan DYMM Sultan Johor.

Tapi tak apa. Aku anggap ini rahmat. Pertama, aku terus berniat puasa sunat (semoga terhasil sekiranya dapat terus bertahan). Kedua, aku dapat menyiapkan beberapa tugasan. Ketiga, aku dapat menenangkan fikiran bersendirian tanpa sebarang gangguan.

Dan dalam bersendirian itu, aku dapat merenung banyaak perkara. Antaranya, betapa bersyukurnya aku dengan banyaknya rahmat dan nikmat Allah - sedar atau tidak sedar. Syukur aku dianugerahi seorang isteri bernama Siti Khadijah yang begitu banyak berkorban untuk suami dan keluarga. Terima kasih, sayang ... Aku sungguh mencintaimu.

Betapalah jika anak-anak tidak menghargai, menghormati dan mensykuri pengorbanan seorang wanita yang bernama ibu. Percayalah, leteran dan omelannya adah halua telinga dan hadiah yang tidak bernilai. Kau sekadar mendengar suaranya dalam amarah, tapi aku melihat air matanya yang tercurah, sedang hatinya mungkin luka tanpa darah. Jangan pula menjadi parah. Kau akan mengerti apabila dia sudah tiada nanti. Percayalah ...
Comments: Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]





<< Home

This page is powered by Blogger. Isn't yours?

Subscribe to Posts [Atom]