Monday, May 21, 2007

 

KASIH IBU

Pengisian blog aku kali ini dimulai dengan memetik sepotong ayat Al-Quran dalam Surah Al-Ahqaf, ayat 15 yang bermaksud, "Kami wasiatkan kepada manusia supaya berbuat baik kepada kedua ibu bapanya. Ibunya mengandung dia dengan susah payah dan melahirkannya dengan susah payah juga ..."

Memang sukar untuk menghuraikan secara terperinci tentang pengorbanan ibu terhadap anaknya. Bagiku, pengorbanan ibu tidak dapat terhurai hanya dengan kata-kata, sebab seorang ibu sanggup berkorban segala-galanya untuk anak-anaknya, waima nyawanya sendiri. Pengorbanan ibu hanya boleh dihuraikan melalui penghargaan dan pengiktirafan yang ikhlas dan jujur daripada anak-anaknya.

Kasih ibu berterusan tanpa berpenghujung. Sehebat mana pun seorang wanita yang bergelar ibu, setinggi mana pun pangkat dan jawatan yang digenggamnya, seperkasa mana pun kekuatannya melampaui halangan dan rintangan, sebanyak mana pun harta benda yang melimpahi hidupnya, hatinya tetap cair dan air matanya tetap mengalir apabila mengenangkan hal anak-anak. Sesunggunya Allah telah menganugerahinya dengan naluri keibuan terhadap anak-anak yang tidak ada galang gantinya. Justeru kasih ibu tiada bertepi, kasih ibu tidak bersempadan, kasih ibu tidak berkesudahan.

Sempena sambutan Hari Ibu pada awal minggu lepas, aku terkenang ibuku yang sudah kembali ke alam baqa pada tahun 1980. Aku memang amat merasakan betapa hebatnya kasih sayangnya terhadapku. Apatah lagi aku anak lelaki tunggal dua beradik. Aku juga anak bungsu. Lebih dari itu, aku dilahirkan setelah kakakku berusia 14 tahun. Bayangkan ...

Dia tidak berpelajaran. Dia tidak tahu membaca dan menulis kecuali membaca Al-Quran. Namun dia mempunyai pelbagai kemahiran yang istimewa dan unik. Tetapi yang lebih penting, dia amat menginginkan aku menjadi orang pandai, mengubah hidup keluarga daripada sekadar petani miskin di kawasan pedalaman.

Dia amat mementingkan pelajaran. Di rumah aku belajar mengaji Al-Quran. Pagi-pagi lagi dia sudah bangun menyediakan bekalan untuk aku bawa ke sekolah. Paling kurang nasi berlaukkan sambal tumis dan ikan kering goreng yang dibungkus dalam upeh. Dia menghantar aku ke rumah bapa saudaraku - seorang guru lepasan SITC - setiap cuti sekolah untuk mengulang kaji pelajaran daripadanya. Malah dia mengarahkan aku mengikuti kelas bahasa Inggeris kelolaan Cikgu Zaiton (seorang kerani di majlis Tempatan Parait Jawa) pada setiap hari Sabtu di Parit Pechah, lima kilometer dari rumahku. Pada masa itu sekitar awal tahun 1950-an, bahasa Inggeris tidak diajar di sekolahku, Sekolah Melayu Parit Nawi. Dia juga mengantar aku ke sekolah agama pada sebelah petang. Membaca berzanji, berkhasidah dan bernasyid, dihantarnya aku ke rumah seorang penduduk kampung yang aku kenbali bernama Ibong. Nama sebenar Ibong tidak kukektahui hingga kini.

Aku masih ingat satu peristiwa yang melucukan. Sewaktu aku Darjah Empat, dia membawaku menemaninya ke pekan Parit Jawa, kira-kira 12 kilometer dari rumahku. Dia membeli barang keperluan untuknya menyediakan ubat-ubatan tradisional, terutama untuk keperluan wanita yang bersalin, seperti bedak, parem, pilis dan sebagainya.

Selepas selesai tugasnya, dibawanya aku ke kedai buku. Kalau tak silap aku kedai buku itu bernama Mohamadiah Book Store. Dia minta aku cari apa-apa buku yang aku minati. Aku pun melihat keliling. Akhirnya aku amat tertarik dengan sebuah buku yang dipamerkan dalam almari.

"Mak, saya nak buku tu," kataku sambil menunjukkan jari telunjuk ke arah almari cermin itu.

Ibuku pun lantas menyatakan keinginanku kepada tuan punya kedai.

Tuan punya kedai menggeleng kepala.

Aku hendak juga buku itu.

"Tak boleh nak," katanya. "Anak beli buku ni. Buku ni bagus. Ada cerita," sambungnya lagi sambil menghulurkan sebuah komik.

Aku tetap bergedil. Aku tidak mahu yang lain kecuali buku yang sebuah itulah yang aku idamkan. Pada hemat aku pada ketika itu, ceritanya mesti menarik kerana jodolnya juga amat menarik. Jodol buku itu berkaitan dengan apa yang sering guru agama aku ceritakan dalam kelas, iaitu tentang syurga.

Aku tetap tidak dapat memiliki buku itu walaupun aku menangis. Kami balik tetapi aku menyimpan rasa hampa yang berpanjangan kerana gagal memiliki buku itu.

Dan apabila menjelang dewasa, barulah aku faham mengapa aku tidak diizinkan memiliki buku itu, kerana buku itu dikhaskan untuk orang dewasa. Tajuk buku itu ialah "Syurga Dunia".

Itulah antara imbauan aku terhadap seorang wanita yang bernama ibu.
Comments: Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]





<< Home

This page is powered by Blogger. Isn't yours?

Subscribe to Posts [Atom]