Wednesday, May 30, 2007

 

MENGENANG KAWAN-KAWAN BERDRAMA

Pagi ini aku menerima SMS daripada Mahaya Yasin, Ketua Satu PEN (Persatuan Penulis Negeri Sembilan) memaklumkan Abdul Rahman Sidek yang menggunakan nama samaran Wagiman S kembali ke rahmatulllah kerana sakit jantung. Abdul Rahman ialah salah seorang Ahli Jawatankuasa PEN dan pernah menerima anugerah Tokoh Seni Negeri Sembilan tidak berapa lama dahulu. Moga-moga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya.

Abdul Rahman kukenali semasa aku bertugas di Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan. Ketika itu dia bertugas sebagai kerani di sebuah sekolah di Johol. Kami akrab kerana mempunyai minat dan aktif dalam aktiviti yang sama iaitu berdrama. Pada ketika itu di sekolahnya - Sekolah Kebangsaan Nuri - Abdul Rahman berjaya mendidik murid-murid berdrama sehingga kumpulan sekolahnya berjaya menjadi johan dalam Pertandingan Drama Sekolah Rendah Negeri Sembilan pada awal tahun 1970-an.

Pada masa itu aku adalah Pengerusi, Kumpulan Drama PERKESAPP (Persatuan Kebudayaan dan Sukan Anggota Perkhidmatan Pelajaran Negeri Sembilan). Bersamaku yang bergerak cergas dalam aktiviti kumpulan ini ialah seorang guru siswazah yang amat kreatif dan sangat kuat bekerja, bernama Abdul Manaf Ibrahim, mengajar di Sekolah Menengah Tunku Durah, Seremban. Bersamanya aku pernah menerbitkan sebuah antologi drama kanak-kanak berjodol Pengemis Kudung terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka. Bersama Abdul Manaf juga aku telah diberi tugas mengelolakan persembahan drama keselamatan di seluruh daerah di Negeri Sembilan anjuran Majlis Keselamatan Negeri Sembilan. Berkaitan dengan ini, satu kenangan pahit ialah sewaktu kami mengadakan persembahan di Rembau sehari sebelum Hari Raya Aidil-Adha pada tahun 1977, pada malam i tulah rumah sewaku di Gedung Lalang, Ampangan telah digeledah pencuri yang sempat mencuri barang-barang kemas isteriku dan sejumlah wang tunai.

Kumpulan Drama PERKESAPP tidak besar dan tidak mempunyai ahli yang ramai. Kami dianggotai oleh beberapa orang yang memang benar-benar berminat dan berbakat. Selain Abdul Manaf Ibrahim dan Abdul Rahman Sidek, kawan-kawan lain termasuk Dahlan Tunggal, Hamzah Yasin, Suria Kadis, Zulkifli Maulud dan Sulaiman Habib. Kenangan manis kami ialah apabila PERKESAPP menjadi johan negeri dalam Pertandingan Drama anjuran Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan pada tahun 1976, dan Suria Kadis diangkat sebagai Pelakon Wanita Terbaik peringkat kebangsaan. Dia membawa watak perempuan tua dalam drama Perempuan Di Persimpangan, sebuah drama muzikal. Tahun berikutnya sekali lagi bertanding tetapi sekadar menjadi naib johan peringkat negeri. Pada tahun 1978 sekali lagi berjaya sebagai johan negeri melalui drama Jantung arahan Dahlan Tunggal dengan Abdul Rahman Sidek sebagai watak utama. Lima orang berlakon dalam drama tersebut, kesemuanya lelaki. Drama Jantung ini kemudiannya terpilih sebagai sebuah daripada empat buah drama terbaik di peringkat kebangsaan dan diberi penghargaan untuk mengadakan pertunjukan dalam program teater keliling anjuran Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan. Tiga kumpulan yang lain ialah dari Kedah, Perak dan Wilayah Persekutuan yang mengenengahkan beberapa aktivis drama seperti Hashim Yassin (Allahyarham), Megat Saifulbahri dan Sidek Hussein.

Aku juga bergiat dalam PEN sebagai Penolong Setiausaha (1975 - 1979) membantu Abdul Manaf sebagai Setiausaha. Ketua Satu pada ketika itu ialah Jaaman Abu. Kami mengadakan kursus drama dan dari situ muncullah beberapa orang yang berbakat dalam bidang ini seperti Zainuddin Bujang, Siti Hawa Jadid, Hayati Sharif, Norwati Mahat, Sharif Taha, Noreha Baba dan lain-lain. Kami sempat mementaskan tiga drama serentak dalam satu persembahan Malam Tiga Drama yang dirasmikan oleh Dato' Taha Talib, Pemangku Menteri Besar Negeri Sembilan pada tahun 1976. Satu daripada drama itu ialah hasil karyaku berjodol Jahanam, dan sebuah lagi berjodol Teraniaya Zaman, hasil karya peserta-peserta kursus. Drama sebabak Malam Jahanam karya Mustapha Kamal Yasin juga turut dipersembahkan.

Sebenarnya pada awal tahun-tahun 1970-an itu aku memang aktif dalam aktiviti kemasyarkatan, terutama yang melibatkan penulisan, seni visual, pementasan dan kerja-kerja kebajikan. Apatah lagi pada waktu itu aku masih bujang sebelum aku mendirikan rumah tangga pada 30 Ogos 1975. Jadi, pergerakanku agak bebas sedikit.

Minatku dan penglibatanku dalam bidang drama ini mungkin hasil daripada didikan guruku yang bernama Mustapha Kamal Yasin (MKY atau Kala Dewata) di Maktab Perguruan Bahasa (MPB) dan kemudian di Universiti Malaya(UM). Di MPB dia pensyarah subjek Kebudayaan dan pada masa yang sama menjadi Penasihat Kumpulan Seni Drama (KUSED), sementara di UM dia adalah pensyarah subjek Penulisan Kreatif (Tahun Dua) dan Drama (Tahun Tiga). Semasa di MPB aku berpeluang mengarahkan drama karyaku sendiri Bulan Oh Bulan, sementara di UM aku mengarahkan drama skripku sendiri berjodol Jahaman, sebagai memenuhi tugasan kerja kursus subjek Drama itu pada tahun 1971. Aku masih dapat bayangkan kemeriahan dan sambutan hangat penonton yang penuh sesak di Dewan Kuliah Fakulti Pendidikan UM ketika Jahanam dipentaskan pada tahun 1971, yang turut disaksikan oleh beberapa bintang filem yang dijemput khas oleh MKY. Aku ingat kehadiran Jamil Sulong kerana dia memberikan komen positif terhadap drama itu selepas pementasan. Drama Jahanam kemudian kupertaruhkan di dalam pertandinganMalaysian Drama Festival (Kategori Drama Bahasa Melayu) anjuran Majlis Drama Malaysia, dan menobatkan Noraini Mohamad sebagai Pelakon Pembantu Terbaik.

Antara teman-teman yang sama-sama mengikuti subjek Drama yang masih kuingat termasuk Rahani Jamil (kini Datuk), Kalthom Mohamad, Tan Ah Wang (setelah tamat pengajian di UM, memeluk agama Islam, menukar namanya kepada Atan Awang bin Abdullah dan berkahwin dengan Kalthom Mohamad), Mizan Adillah Ahmad Ibrahim (kini Profesor Datin), Shamsiah Sahar, Md. Ismail Zamzam (Zam Ismail), Sudin Kamari (kini Dato'), Md. Zain Idros, Zakaria Ahmad, Ahmad Janor, Noraini Mohamad dan Baharudin Adam Beh.

Di Negeri Sembilan aku juga dipilih menjadi Setiausaha Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Negeri Sembilan (1973 - 1979). Persatuan ini pernah mengadakan aktiviti berdrama di sekolah-sekolah, termasuk mengadakan Pertandingan Menulis Skrip Drama Sejarah dan Pertandingan Pementasan Drama Sejarah peringkat sekolah rendah dan sekolah menengah. Kenangan manis dalam aktiviti ini ialah kejayaan Persatuan buat pertama kali mementaskan persembahan pelbagai muzik tradisional Negeri Sembilan dalam satu persembahan cerita yang bersepadu, yang disaksikan bersama oleh pemimpin-pemimpin utama negeri, khususnya DYMM Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan dan DYMM Tuku Ampuan Negeri Sembilan. Kepujian dan penghargaan tinggi sewajarnya diberikan kepada Pengarah Pelajaran Negeri Sembilan ketika itu, Idris Haji Tain (sekarang Dato') yang mencetuskan idea memerkasakan semula muzik tradisional seperti caklimpung, dikir rebana, tumbuk kalang, randai, bongai dan tarian piring.

Beberapa orang yang terlibat aktif dalam Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Negeri Sembilan ketika itu termasuk Abas Ahmad (Allahyarham), Haji Asli, Mohd. Said Radzi, Mohd. Nor Long, William Jaleh, Tan Ghee Peng, Shariff Fakeh Hasan (Allahyarham), H. S. Tan, Abdul Malek Yatim, Abdul Rahman Yeop (kini Dato'), Musa Wahab (kini Dato' Undang Luak Jelebu), Ahmad Janor, Zainal Abidin Yusof, Sulaiman Samad (kini Dato'), Abu Samah Katas, Mokhtar Zakaria, Noraini Ali, Abdul Malek Ahmad, Mahzan Hamzah (kini Dato'), Ahmad Affendi Johan (kini Dato'), Syed Jaafar Abdul Rahman, Vicky Mutthu, Nordin Awal (kini Dato'), Jalil Bulat, Shamsudin Hamidan, Basir Othman (Allahyarham), Amirullah Ismail, Ahmad Saleh (Alahyarham) dan Adam Amin. Turut terlibat dalam aktiviti berdrama ini ialah Abdul Hamid Abdul Kadir, Pengetua, Maktab Perguruan Raja Melewar, terutama melalui keizinan yang diberikan bagi membolehkan pelajar-pelajar maktabnya mengambil bahagian. Itu yang seronoknya.

Persatuan ini pernah terlibat dalam Pentomen Sejarah yang dipentaskan oleh Kerajaan Negeri Sembilan pada tahun 1974 di kawasan terbuka di Taman Tasik Seremban sempena Sambutan 200 Tahun Sistem Beraja di negeri berAdat Perpatih ini. (Mengikut sejarah, pada tahun 1774, pembesar-pembesar Negeri Sembilan yang terdiri daripada penghulu-penghulu luak sepakat menjemput Raja Melewar dari Minangkabau untuk diangkat menjadi Yamtuan Negeri Sembilan.) Pendokong utama pementasan ini ialah Majlis Belia Negeri Sembilan yang dipimpin oleh Abdul Rahman Ali. Beberapa orang teman dalam aktivti kali ini yang masih kuingat termasuk Abdul Rahman Ali, Hasan Malik (sekarang Dato' dan seorang Wakil Rakyat - kini jiranku di Bukit Chedang), Nor Hayati Ghazali, Mokhtar Ahmad (sekarang Dato'), Ibrahim Che Mat (sekarang Dato'), Siti Norjani Ahmad, Halimah Sharif (Allahyarhamah), Jamil Mukmin (sekarang Dato'), Ayob Mohamadiah (Allahyaraham), Siow Min Shin dan lain-lain lagi. Dalam aktiviti ini aku menjadi Pengurus Pentas, melibatkan kira-kira 300 orang pelakon, termasuk pasukan tentera dari Port Dickson. Oleh kerana pentas itu terapung di atas tasik, ada masa-masa tertentu aku trpaksa terjun ke dalam air bagi menguruskan pentas itu.

Tidak berapa lama selepas itu aku menyertai rombongan Kerajaan Negeri Sembilan mengadakan persembahan kebudayaan di Sarawak. Kumpulan kami dipimpin oleh Abdul Rashid Abdullah, Penolong Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan ketika itu. (Kini Abdul Rashid bergelar Datuk dan bertugas sebagai Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang). Seminggu kami berada di Bumi Kenyalang, dan sempat mengadakan tiga kali persembahan mengandungi pelbagai muzik tradisional Negeri Sembilan yang dirangkaikan dalam satu persembahan yang bersepadu - sekali untuk majlis jamuan makan malam untuk orang-orang kenamaan dan dua kali di padang terbuka di Kuching untuk orang ramai. Sambutannya sungguh hebat dan mengagumkan.

Selepas itu, sempena pengisytiharan Seremban sebagai sebuah Majlis Perbandaran pada tahun 1977, sekali lagi pementasan terbuka dibuat di Taman Tasik Seremban. Kali ini drama hasil karyaku berjodol Seremban Oh Seremban telah aku arahkan bersama-sama Mokhtar Haji Meon, seorang jurulatih drama di Pejabat Kebudayaan, Belia dan Sukan Negeri Sembilan. Aku tak ingat siapakah yang berlakon ketika itu, tetapi yang pasti Amirullah Ismail mencipta sebuah lagu khas, dan bahagian tarian dijayakan oleh pelajar-pelajar Sekolah Menengah Tunku Durah di bawah pimpinan Sofiah Ismail.

Sebuah lagi dramaku berjodol Alam Beraja Luak Berpenghulu turut dipersembahkan pada tahun 1976 di Dewan Bandaran Seremban. Kebanyakan pelakon drama ini ialah pelajar-pelajar Tingkatan Enam, Sekolah Menengah Tunku Durah, Seremban di bawah bimbingan Abdul Manaf. Seorang daripada mereka yang kukira berbakat ialah Awasilahati Katajariah Baharom, adik kepada Rasanubari Asmaramah (sekarang Datin) dan Barupawati Utamaju. (Bapa mereka Baharom adalah seorang penulis vateran dan ahli PEN yang setia.) Awasilahati kemudian turut mengambil bahagian dalam persembahan tablo Adat Perpatih berjodol Cicir Dipungut, Hilang Dicari di kediaman Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato' Mansor Othman sempena Mesyuarat Agung Tahunan PEN. Tablo tentang adat menjemput ini disesuaikan daripada tulisan seorang tokoh adat di Kuala Pilah bernama Hasan Ahmad.

Apabila aku bertugas di Jabatan Pelajaran Johor (1979 - 1982) aku sekali lagi turut terlibat dalam aktiviti berdrama ini, terutama apabila jabatan ini ditugaskan oleh Kerajaan Negeri Johor di bawah Menteri Besarnya, YAB Dato' Othman Saat, mengadakan persembahan tablo setiap sambutan Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos dan Perhimpunan Perkhidmatan Awam pada 1 Januari. Selain menjadi Panel Penulis Skrip, aku juga turut berlakon dan penyelaras teknikal. Perhimpunan ini diadakan di Stadium Terbuka Tan Sri Haji Hassan Yunos di Larkin.

Pada ketika itu beberapa orang yang aktif, berbakat, kuat bekerja dan melibatkan kerja dalam bidang ini termasuk Nasron Masjidin (Allahyarham), Ahmad Sameon (Allahyarham), Musa Abdul Hamid, Ayob Haji Nor, Daluis Sadini dan Ahmad Hashim (bapa pengarah filem Yasmin Ahmad). Kerana penglibatanku inilah aku menerima anugerah darjah kebesaran Johor PIS (Pingat Ismail Sultan) Kelas Kedua pada tahun 1981. Aku juga sempat menyelaras penerbitan dan berlakon drama sejarah untuk TV Pendidikan berjodol Sejarah Johor Lama arahan Mahmud Yaacob. Turut berlakon pada ketika itu ialah Ahmad Semeon sebagai Laksamana Bentan, dan aku pula menjadi Sultan Melaka yang menjadi tawanan Acheh. Beberapa pelakon dari Taman Seni Johor turut mengambil bahagian, termasuk Abdul Jalil Hamid, Ismail Atan dan Shukor Mohd. Nor.

Inilah sebahagian catatan tentang aktivitiku dalam bidang drama di samping teman-teman yang sama-sama bergelumang siang dan malam memeriahkan aktiviti berkaitan drama. Sebenarnya banyak lagi kawan yang sama-sama terlibat dalam aktivitiku ini, namun faktor umur memungkinkan aku tidak upaya mengemaskinikan maklumat dalam memori. Hasilnya memori menjadi kabur untuk mengingat kembali nama kawan-kawan yang lain itu. Fail-fail maklumat dalam komputer mindaku mungkin sudah kacau bilau oleh kurangnya usaha untuk menyusun kembali dan mengemakinikan secara sistematik.

Apapun, terima kasih kepada guru-guru dan kawan-kawan yang turut mendidik, mendewasakan dan mematangkan aku dengan pengalaman, pengetahuan dan kemahiran dalam bidang drama.
Comments: Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]





<< Home

This page is powered by Blogger. Isn't yours?

Subscribe to Posts [Atom]