Sunday, June 17, 2007

 

HARI BAPA

Hari ini aku menerima SMS daripada anak-anak mengucapkan Selamat Hari Bapa. Di luar kesedaranku rupanya hari ini, 17 Jun adalah hari yang diiktiraf oleh Malaysia sebagai Hari Bapa. Hari Bapa di Malaysia adalah hari Ahad minggu ketiga bulan Jun, dan tahun ini hari tersebut jatuh pada 17 Jun. Terima kasih kerana ucapan tersebut. Selain anak-anak, aku telah menerima ucapan dari seorang teman akrab dari Seremban. SMS yang dikirim antara lain berbunyi: "Happy Father's Day. Be the best father lillahi-taala." Aku terkedu. Namun begitu, aku tidak lupa mengucapkan terima kasih kepadanya.

Pada umumnya pengorbanan bapa tidak dilihat oleh anak-anak sehebat pengorbanan ibu. Kemungkinan kerana bapa tidak mengandungkan anak. Kemungkinan juga kerana bapa tidak melahirkan anak. Dan bapa juga tidak membesarkan anak dari segi susuan, penjagaan dan pemeliharaan secara langsung. Tugas bapa banyak di luar rumah, di tempat kerja. Kerana itu, masa anak-anak sejak dilahirkan lebih banyak bersama ibu. Hal itu barangkali memungkinkan ikatan, ingatan, hubungan dan perhargaan antara anak dengan bapa dan antara anak dengan ibu agak berlainan. Itulah kelebihan ibu, tetapi bagiku tidak pula mengurangkan kelebihan bapa. Sebenarnya masing-masing mempunyai kelebihan yang tersendiri sebab mereka saling melengkapi antara satu sama lain sebagai pasangan suami dan isteri, ibu dan bapa.

Dalam budaya Melayu, pengorbanan bapa terhadap anak kurang diberi perhatian, malah jarang mendapat penghormatan. Dalam himpunan karya sastera Melayu, peranan bapa jarang ditonjolkan. Sebaliknya ibu diketengahkan sebagai tokoh yang berwibawa dan mempunyai kekuatan tersediri. Siapakah yang diungkapkan sebagai watak ideal dalam Batu Belah Batu Bertanggup, Si Tanggang, Malim Kundang dan Bawang Putih Bawang Merah kalau tidak ibu yang mempunyai kekuatan dan ketahanan diri yang begitu kukuh? Sumpahan ibu begitu hebat sehingga antaranya menyebabkan anak menjadi batu seperti dalam Si Tanggang. Barangkali kerana itu juga, Pak Pandir digambarkan sebagai seorang bapa yang jahil apabila diberi tugas menjaga anak telah memandikan anaknya dengan air panas sehingga menyebabkan anak itu meninggal dunia.

Pembacaanku menemukan sejarah kewujudan Hari Bapa. Mengikut sejarah, Hari Bapa dikesan sejak tahun 1839 bagi mengenang kematian 123 lelaki dalam peperangan Iransop. Hari Bapa pada zaman moden mula diadakan pada 5 Julai 1908 di Fairmont, West Virginia, USA sebagai satu acara keagamaan dalam agama Kristian, hasil asperasi sambutan Hari Ibu.

Hari Bapa digerakkan sebagai sambutan sedunia apabila Sonora Smart Dodd mengadakan sambutan ulang tahun pada tahun 1910 bagi mengenang bapanya, William Jackson Smart, seorang veteran Perang Saudara Amerika Syarikat yang secara bersendirian membesarkan enam orang anaknya. Tarikh yang dipilih sebagai Hari Bapa yang pertama diadakan secara rasmi ialah pada 19 Jun 1910.

Bunga ros diiktiraf sebagai bunga rasmi Hari Bapa. Warna merah dipilih untuk bapa yang masih hidup, sementara warna putih untuk bapa yang sudah meninggal dunia.

Apa pun, Hari Bapa bukan tradisi masyarakat Melayu. Hari Bapa juga bukan tuntutan dalam agama Islam. Namun begitu, umat Islam sentiasa diajar untuk terus menerus mentaati, menghormati dan menghargai kedua-dua ibu dan bapa sepanjang masa tanpa mengira hari dan waktu.

Itulah tuntutan agama yang diamanahkan kepada anak. Apakah pula tuntutan terhadap bapa?Tenas Effendy dalam bukunya Ungkapan Tradisional Melayu Riau (DBP, 1989) mengungkapkan ciri-ciri bapa yang sempurna sebagai berikut:

Pertama bapa budak
yang tahu anak bininya
tahu salah dengan silih
tahu adat dengan pusaka
tahu tunjuk dengan ajar
tahu unjuk dengan beri
tahu rumah tangganya
tahu suku sakatnya
tahu tempat tegaknya
tahu diri tahu bebannya.

Dalam budaya Melayu, ada satu peribahasa yang amat berkaitan, iaitu "Sayangkan isteri, tinggal tinggalkan, sayangkan anak, tangan tangankan". Peribahasa ini seolah-olah memberi saranan bahawa seorang bapa yang baik ialah seorang lelaki yang mempunyai nilai kasih sayang yang tinggi terhadap isteri dan anak-anak, yang bersedia keluar rumah untuk mencari rezeki dan mengajar anak-anak melalui pengajaran yang agak keras disiplinnya. Ungkapan "tinggal tinggalkan" dan "tangan tangankan" itu bagi tidak menunjukkan makna "keterlaluan", tetapi lebih merujuk kepada aspek pengajaran yang terancang dan sistematik.

Nampakanya saranan ini semacam ada persamaan dengan maksud Hadis Nabi dalam konteks mendidik anak-anak untuk bersolat. Ada unsur pendidikan yang terancang dan sistematik. Begitukah?

Aku belum mendapat jawapan yang pasti, terutama apabila pendekatan psikologi amat ditonjolkan sedangkan soal disiplin anak kini nampaknya tetap menjadi masalah yang sukar terurai. Namun begitu, aku tetap teringat bapaku Haji Adnan, yang didikan "kerasnya" itu telah menghasilkan seorang anak bernama Ismail seperti yang hadir dengan agak selesa dalam kehidupan yang dinikmatinya kini. Aku amat menghargai dan menghormati peranannya dalam hidupku. Aku hadiahkan Al-Fatihah kepada Allahyarham, moga-moga Allah meletakkan rohnya di kalangan roh orang-orang yang beriman. Amin!

Yang pasti, kepimpinan melalui teladan adalah resipi yang paling mujarab dalam membina hubungan dalam keluarga. Soalnya: sejauh mana aku?
Comments: Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]





<< Home

This page is powered by Blogger. Isn't yours?

Subscribe to Posts [Atom]