Monday, June 04, 2007

 

MENGHARGAI ANAK













Kini anakku yang bungsu tinggal di Seremban menemani ibunya. Dia meninggalkan sekolah berasrama penuh di Sekolah Seri Puteri (SSP), Cyberjaya selepas lebih tiga tahun berada di sana, dan meneruskan pelajaran di sekolah harian biasa di Seremban. Aku terpaksa akur dengan keputusannya untuk meninggalkan sekolah itu, walaupun isteriku merasa agak kecewa dibuatnya. Bayangkan, dia meninggalkan sebuah sekolah pilihan yang menjanjikan kejayaan masa depannya. Tetapi bagiku, segala-galanya berpunca dari hati. Kalau hati tidak suka, kau longgokkanlah gunung emas depan mata, pintu hatinya tidak akan terbuka.

Semasa ditawarkan ke sekolah berasrama penuh tersebut selepas menghasilkan keputusan cemerlang dalam UPSR, kegembiraannya tidak terkata. Aku cuba melunturkan semangatnya dengan mengatakan bahawa dia akan kehilangan banyak perkara apabila berada di sekolah "bernasi kawah" ini, namun dia menyanggah, "Adik nak berdikari." Kehendaknya semacam tidak dapat ditahan-tahan lagi.

Namun selepas sebulan berada di sekolah tersebut, entah mengapa tiba-tiba sahaja dia menyatakan hasratnya ingin berpindah ke sekolah lain. Kali ini aku pula yang berkeras, dan menjanjikannya supaya dia tangguhkan dahulu hasratnya.

"Tunggu sampai PMR. Lihat bagaimana keadaannya nanti. Kau mungkin belum biasa dengan keadaan di asrama. Kalau dah selesa, tentu kau suka, macam Kak Long, Kak Ngah dan abang-abang kau tu. Kau dulu kata, nak berdikari. Kenapa tak teruskan?" aku pulangkan paku buah keras kepadanya. Alhamdulilah, aku dapat mententeramnya untuk terus kekal di Sekolah Seri Puteri selama tiga tahun.

Namun setelah keputusan PMR diumumkan dan dia layak ke Tingkatan Empat aliran Sains, dia sudah mula menagih janjiku dahulu. Aku buat-buat tidak dengar sebab aku mengharapkan dia akan terus kekal di situ hingga tamat SPM. Aku cuma berjaya menghalang selama satu semester. Dia sudah mogok tidak mahu kembali semula ke sekolah apabila semester berikutnya bermula walaupun puas dipujuk, malah "diugut". Alasannya dia ingin belajar dalam aliran Sastera kerana di SSP tidak menawarkannya.

Tidak tahan dengan karenahnya, aku segera menulis surat ke sekolah memohon kebenaran supaya dia dikeluarkan dari Sekolah Berasrama Penuh (SBP), dikuti dengan menelefon Ketua Sektor SBP di Kementerian Pelajaran, Abdul Ghafar Mahmud untuk memohon pelepasan anakku itu. Tugas itu tidak terlalu sukar, kerana kebetulan Abdul Ghafaar memang telah lama kukenali. Akhirnya kelulusan rasmi diperolehi dan kini anakku itu belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Puteri, Seremban dalam Tingkatan Empat aliran Sastera.

Dan kerana itu, dia terpaksa berulang ke sekolah dari rumah yang jauhnya kira-kira empat kilometer. Ibunyalah yang menjadi pemandu menghantarnya ke sekolah dan menjemputnya pulang ke rumah. Dialah kini jadi teman bergurau dan "bergaduh" ibunya, di samping dua orang cucuku (berusia empat tahun dan dua tahun) yang setiap hari dititipkan kepada neneknya untuk menguruskan sewaktu ibu bapanya bekerja - seorang di Putrajaya dan selorang lagi di Kuala Lumpur. Hari-hari seterusnya menjadi hari-hari yang amat sibuk bagi seorang isteri tinggal bersama-sama anak bungsunya, sedangkan anak yang enam orang lagi tidak tinggal bersama kerana membawa haluan masing-masing bekerja atau belajar.

Mengenangkan pengalaman ini, aku teringat kisah seorang teman baikku beberapa tahun yang lampau. Pada suatu hari aku terbaca namanya tersiar di akhbar kerana dia mendapat kurniaan Justice of Peace (JP) di negerinya. Pada ketika itu dia sudah bersara wajib dari Perkhidmatan Awam dengan jawatan terakhirnya sebagai Pengetua Sekolah Menengah.

Oleh kerana kesibukan tugas, aku terlupa untuk menyampaikan penghargaanku kepadanya pada masa itu. Kira-kira sebulan selepas itu baharu aku teringat, lantas aku menghubunginya melalui telefon untuk mengucapkan tahniah.

"Apa khabar, bang? Tahniah kerana dikurniai JP bulan lepas," ujarku tanpa memperkenalkan diri. Aku membahasakan dirinya sebagai "abang" kerana dia jauh lebih tua daripada aku. Beza umur antara kami berdua lebih kurang sepuluh tahun.

"Eh, tak adalah. Salah orang ni," dia cuba mengelak.

"Tak ada dua nama seunik nama abang di Melaka. Jangan nak tipu saya, bang!"

"Ni siapa ni?" baru dia hendak bertanya siapakah yang menelefonnya.

"Ni Mail. Ismail Adnan dari Seremban."

"Ahai, kau rupanya. Terima kasih ajalah. Sebenarnya Mail, sejak namaku tersiar, aku banyak betul terima ucap tahniah. Tapi lepas tu, mereka minta derma pula. Yang telefon lain, yang datang ke rumah lain. Dia ingat aku ni banyak duit. Nak bayar yuran persatuan JP sebanyak RM 500.00 pun belum dapat lagi, lepas tu baru boleh pakai cop."

"Jadi, abang ingat saya nak minta dermalah, ya?"

"Ah, sekadar nak mengelak," katanya dalam ketawa.

Selepas itu kami pun berbual perkara-perkara lain. Memang telah lama kami tidak saling berhubugan. Jadinya banyaklah perkara yang kami bualkan. Dahulu semasa sama-sama belajar di Universiti Malaya pada tahun 1969 - 1971, kami memang akrab, terutama kerana kami mengambil subjek pengajian yang kebanyakannya sama. Kami pula membentuk satu kumpulan belajar (study group) dan sama-sama belajar, berbincang dan mengulang kaji pelajaran.

Aku tanyakan tentang keadaannya sekarang, termasuk tugasnya, kesihatannya dan keluarganya. Dia memberitahu aku banyak perkara - yang rahsia dan yang tidak rahsia. Antaranya dia memakluamkan bahawa isterinya masih bertugas sebagai guru dan menunggu masa untuk bersara beberapa bulan lagi. Anaknya yang tua sudah beberapa tahun bertugas sebagai juruterbang MAS, yang seorang lagi menjadi pegawai tentera, sementara anak perempuan tunggalnya mewarisi kerjaya dia dan isterinya sebagai pendidik.

"Anak abang yang nombor tiga tu kerja mana sekarang?"

"Oh, dia tu ukur jalan." jawabnya spontan.

"Baguslah tu, bang. Ada juga yang jadi jutera, ya!" aku membalas percakapannya itu, dengan anggapan bahawa yang dimaksudkan "ukur jalan" itu adalah bekerja sebagai jurutera awam.

"Jurutera apa nama? Tak kan kau tak tahu ukur jalan?" sambutnya dengan nada seolah-olah merasa kecewa.

"Saya tak faham, bang."

"Tak ada kerja, Mail. Duduk rumah aja. Penat duduk rumah, pergi keluar ukur jalan. Lapar dia balik. Itulah kerjanya." dia menjelas apa yang dimaksudkan itu.

"Dia tak kerjalah. Jadi dia seorang la duduk rumah dengan abang?"

"Yalah, siapa lagi? Yang lain semua dah kerja. Ada di KL. Yang perempuan ikut suami di Ipoh. Seorang lagi di PJ."

"Belum ada rezeki tu, bang!"

"Nak kata, tak ada rezeki, tak juga. Sengaja tolak tuah. Dah dua tahun dah, Mail."

"Abang jangan risau, bang. Mungkin juga ada rahmatnya tu, bang. Kalau semua kerja, siapa nak jaga abang? Nak jaga kakak. Sebab dia tak kerja, dia duduk rumah sama abang. Sakit pening abang kakak dia boleh tengok. Ada apa-apa keperluan abang, boleh abang suruh dia. Dia ada depan mata," aku juga memujuk hatinya yang semacam merajuk itu.

"Ya tak ya juga, Mail. Yang bekerja tu tunggu raya baru nak balik. Itu pun asal tunjuk muka. Hari ini sampai, esok dah nak balik. Katanya dah masuk kerja. Allah Maha Adil, Mail," dia berkata sayu tetapi memahami. Aku turut merasa sayu mendengar pengakuan jujurnya itu.

Perkara yang sama kini aku pula menghadapinya. Lebih-lebih lagi, isterikulah kini yang berhadapan dengan perkara ini. Aku jauh di Johor Bahru. Anak-anakku yang berenam tidak ada di rumah. Ada tak ada, anak yang bungsu itulah.
Aku mula memahami kebesaran Allah. Aku mula memahami erti kekuatan dan kelemahan, kecukupan dan kekurangan, kekayaan dan kemiskinan, kejayaan dan kegagalan. Aku mahu isteriku juga memahami. Malah anak-anakku juga sewajarnya memahami. Allah mengatur kehidupan manusia dengan cukup terancang, sempurna dan penuh keadilan. Sekadar sejauh mana kita menyedari dan memahaminya.

Bagi ayah dan ibu, setiap anak itu mendapat perhatian dan kasih sayang yang sama. Tidak ada seorang ibu atau seorang bapa yang mahu membeza-bezakan kasih sayang terhadap anak-anaknya. Bagi mereka, setiap anak ada keistimewaan masing-masing yang tersendiri. Dan layanan yang dianggap berbeza itu tidak lain sekadar persepsi anak-anak disebabkan oleh jarak waktu, tempat, situasi dan tuntutan persekitaran.

Menghargai anak sememangnya agenda tanggungjawab setiap ibu dan ayah.

Comments:
Tak mampu nak di balas jasa baik Ayah & Ibu selain doa yang berterusan buat bekalan dan ungkapan terima kasih yang tak putus ... walaupun di beri seluruh dunia,belum tentu dapat menyamai apa yang Ayah & Ibu dah berikan pada Am dan kami semua anak-beranak ....

Terima kasih banyak-banyak!
 
Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]





<< Home

This page is powered by Blogger. Isn't yours?

Subscribe to Posts [Atom]