Monday, June 11, 2007

 

PEMANDU TEKSI

Sebahagian hidupku banyak kuhabiskan dalam perjalanan. Sepanjanag sebelas tahun aku bertugas di Kementerian Pelajaran, aku berulang alik sejauh 150 km dari rumahku di Seremban ke tempat kerja di Kuala Lumpur. Kadang-kadang aku memandu sendiri kenderaanku, kadang-kadang aku berkongsi kenderaan dengan kawan-kawan, tetapi kebanyakan perjalanan aku dipermudahkan dengan menaiki bas khas. Ada masa-masa tertentu apabila aku tertinggal bas khas, aku menaiki bas ke Puduraya, kemudian menyambung perjalanan ke tempat kerja dengan menaiki teksi.
Begitu juga halnya apabila aku ditukarkan bertugas dari Seremban ke Johor Bahru, dan kemudian dari Johor Baharu ke Melaka, aku banyak sekali berjalan, terutama pada hujung minggu. Hal ini demikian kerana aku diperintahkan bertukar pada pertengahan tahun dan isteriku seorang guru hanya dibenarkan berpindah sekolah pada awal tahun. Kerana itu, aku terpaksalah berulang alik setiap minggu dari kediaman sementara di tempat kerja ke rumah tempat tinggal isteri dan anak-anak. Kisah perjalanan ini belum lagi termasuk sewaktu aku bertugas di luar daerah ke merata tempat di seluruh negara kerana menghadiri mesyuarat, mengikuti kursus, memberi ceramah dan sebagainya.

Sebulan selepas bersara wajib dari Perkhidmatan Awam pada tahun 2000, aku bekerja pula secara kontrak dengan Kerajaan Negeri Johor. Apabila aku bertugas di Johor Bahru sejak lebih tujuh tahun yang lalu, keluargaku tidak berpindah sama. Mereka sudah begitu selesa dengan persekitaran hidup di Seremban. Aku terpaksa pula berulang alik dari Johor Bahru ke Seremban dan sebaliknya hampir saban minggu. Kebanyakan perjalanan menggunakan bas ekspres. Biasanya aku pulang ke Johor Bahru menaiki bas terakhir pada jam 11.00 malam hari Ahad, yang akan sampai di Terminal Bas Larkin kira-kira jam 2.00 pagi Isnin. Dari situ aku mengambil teksi ke Jalan Mariamah, dengan kadar tambang biasa untuk waktu malam sebanyak RM8.00.

Sepanjang tempoh itu, banyak pengalaman dapat kukutip tentang pemandu teksi. Sempena Tahun Melawat Malaysia 2007, aku ingin berkongsi maklumata tentang pemandu teksi yang dianggap sebagai "duta kecil" Malaysia bagi mempromosi negara kita kepada pelancong, terutama pelancong asing melalui budi bahasa, pemanduan berhemah, dan integriti yang tinggi.
Memang banyak yang dapat kukisahkan tentang pemandu teksi ini. Ada pemandu yang cdekap Ada pemandu yang banyak cakap, tanya itu dan ini, atau cerita itu dan ini. Cerita pemandu teksi ini tidak kurang menariknya. Entah betul, entah temberang, aku dengar sahajalah. Ada juga pemandu teksi yang pendiam, kita tanya sepatah dijawabnya sepatah, malah ada juga yang kita tanya pun kadang-kadang malas dia nak menjawabnya. Ada juga pemandu yang membawa teksinya dengan cermat, tetapi tak kurang juga yang kelihatan agak ganas dalam pemanduan hingga membuatkan kita merasa cemas berada di dalam teksinya. Ada yang mukanya manis berseri, ada juga yang garang macam hendak makan orang.
Ada pada suatu ketika aku menaiki sebuah teksi yang dipandu oleh seorang pemandu tua. Aku naik takut melihat tangannya menggigil-gigil berterusan sewaktu memandu, menyebabkan dia kelihatan kurang kawalan terhadap teksinya. Tetapi yang mencemaskan aku ialah pada suatu ketika apabila pemandu teksi yang kunaiki itu terlelap semasa memandu dan teksinya bergerak ke tepi jalan. Nasib baik dia dapat mengawal semula teksinya dan meneruskan perjalanan.


Pada hematku, banyak pemandu yang ingin mengenakan penumpang, terutama pada waktu malam. Misalnya, mereka meminta bayaran RM 10.00 bagi perjalanan dari Terminal Bas Larkin ke Jalan Mariamah, sedangkan bayaran sebenar ialah RM 8.00. Kalau meter digunakan, bayaran yang perlu dibayar hanya sekadar RM 7.00, sebagai gandaan RM 3.50 yang tercatat pada meter.

Aku pula mempunyai satu perangai yang tersendiri. Ketika banyak pemandu jual mahal dan menekankan bayaran RM 10.00, aku terus berusaha hingga bertemu pemandu yang sanggup dibayar dengan RM 8.00. Biasanya aku tidak kecewa. Mesti ada yang sanggup menghantar aku ke tempat yang aku kehendaki, sebab harga yang aku tawarkan itu memang harga biasa. Dan sepanjang perjalanan itu, aku berbual-bual dengan pemandu teksi itu, melihat dan menilai reaksinya.

Aku akan membayar tambang teksi menggunakan not RM 10.00. Sewaktu pemandu teksi itu hendak memulangkan RM 2.00 baki tambang itu, aku akan berkata, "Tak apa, simpanlah duit itu. Aku suka kamu, sebab kamu pemandu yang baik. Bawalah teksi dengan jujur dan ikhlas." Biasanya pemandu itu merasa riang dan berkali-kali mengucapkan terima kasih. Malah kalau hatiku cukup senang dengannya, aku akan tambah RM 2.00 lagi. "Ini bonus," kataku.

Apa yang ingin kunukilkan di sini ialah kisah berkenaan seorang pemandu teksi yang pernah kutemui beberapa tahun lalu semasa aku bertugas di Kementerian Pendidikan.

Pada suatu ketika aku telah ditugaskan untuk menghadiri satu mesyuarat di Mersing. Mesyuarat itu bermula jam 8.30 pagi. Aku jenis orang yang malas hendak memandu bersendirian ke tempat-tempat yang jauh perjalanannya. Jadi aku pun mengambil keputusan untuk menaiki teksi terus dari Seremban ke Mersing sehari sebelum mesyuarat. Pada ketika itu, perkhidmatan bas ekspres terhad menghubung bandar-bandar utama sahaja dan tidak sekerap sekarang. Jangan harap ada bas ekspress dari Seremban ke Mersing.

Sewaktu di Perhentian Teksi Seremban, aku diberitahu perkhidmatan teksi terus ke Mersing tiadk ada. Aku dicadangkan mencubanya di Melaka. Maka naiklah aku teksi ke Melaka. Di Melaka aku dikhabarkan bahawa teksi ke Mersing banyak di Muar, lalu aku pun menaiki teksi ke Muar. Aku sampai di Muar jam 5.00 petang, dan dimaklumkan bahawa semua teksi ke Mersing sudah meninggalkan Muar jam 4.00 petang bagi mengelakkan bergerak pada waktu malam. Maklumlah jalan dari Kluang ke Mersing sunyi melalui celah-celah hutan tebal.

Setelah aku menceritakan hajatku ke Mersing, seorang pemandu teksi mencadangkan supaya aku mengambil teksi ke Kluang, dan bermalam di Kluang. Esok paginya baharu aku bertolak ke Mersing dari Kluang.

"Encik tak perlu risau," kata pemandu teksi itu, seolah-olah dapat membaca apa yang sedang berligar dalam kotak fikirku, "Malam ini Encik tidur di White Swan Hotel, depan taxi stand. Pagi esok encik cari Pak Mat di taxi stand. Dia bertolak ke Mersing jam 6.00 pagi. Ada ke tak ada penumpang, dia jalan terus." Untuk kemudahanku, dia memberitahu sekali nombor teksi Pak Mat.

Yakin dengan penjelasan itu, aku setuju mengikutnya ke Kluang, dan seperti yang dicadangkan, aku bermalam di White Swan Hotel. Dan esoknya, jam 5.30 pagi aku sudah tercegat di perhentian teksi Kluang menanti ketibaan Pak Mat. Memang benar, kira-kira jam 5.40 sebuah teksi yang bernombor seperti yang dinyatakan padaku semalamnya muncul di perhentian teksi itu.

Selepas pemandunya memberhentikan teksinya dan keluar dari kenderaannya, aku terus menyapa, "PakMat, bila nak jalan?"

"Macam biasalah, jam 6.00. Pergilah minum dulu," jawabnya spontan. Mungkin dia mengagak bahawa aku adalah penumpangnya yang ragular. Aku pun pergi sarapan di restoran mamak tidak jauh dari perhentian teksi itu.

Tepat jam 6.00 bergeraklah teksi Pak Mat menuju ke Mersing membawa aku sendirian sebagai penumpang. Sepanjang perjalanan, kami berbual-bual mesra, seolah-olah kami sudah kenal lama. Sesungguhnya Pak Mat memang seorang yang peramah dan berbudi bahasa. Dia juga memandu dengan cukup cermat melalui jalan yang berliku-liku dari Kluang ke Mersing itu.

Apa yang menarik perhatianku ialah cerita tentang peribadi Pak Mat. Kalau dilihat dari susuk badannya, jangkaanku dia berusia tidak lebih 50 tahun. Tetapi menurutnya, dia seorang pesara polis sejak dua tahun sebelum tarikh kami bertemu. Anak-anaknya sudah berumah tangga dan bekerja, dan setiap bulan mereka akan mengirim wang kepadanya. Tetapi dia merasa tidak selesa hanya dengan duduk di rumah tanpa membuat apa-apa kerja. Falsafah hidupnya mudah dan praktikal. Katanya, "Kita menyimpan wang untuk orang lain. Sebab itu wang yang kita perolehi kita belanjakan untuk orang lain. Rezeki Allah akan sentiasa ada di mana-mana."

Katanya, sebab itu dia terus memandu teksi selagi badannya sihat dan kudratnya berupaya melakukannya. Dia akan bertolak dari Kluang ke Mersing setiap hari jam 6.00 pagi biarpun tidak ada penumpang. Selepas waktu Zohor dia akan pulang ke Kluang walaupun teksinya kosong.
Dan sepanjang perjalananku dari Kluang ke Mersing, tidak ada orang lain yang jadi penumpang teksi Pak Mat kecuali aku seorang. Tepat jam 8.00 pagi teksi Pak Mat sudah sampai di hadapan hotel tempat mesyuarat diadakan. Sewaktu aku tanyakan tambangnya, dia spontan berkata, "RM 8.00!" Aku terperanjat kerana bagiku terlalu murah tambang bagi satu perjalanan menaiki teksi bersendirian dari Kluang ke Mersing.

Aku pun hulurkan wang tunai RM 30.00 kepada Pak Mat.

"Eh, kenapa banyak sangat ni? RM 8.00 saja," katanya dalam nada terperanjat.

"Tak apa, Pak Mat. Saya ikhlas. Terimalah," ujarku sambil terus menghulurkan wang tersebut. Dia akhirnya menerimanya sambil mengucapkan terima kasih.

Rupa-rupanya RM 8.00 itu adalah tambang satu tempat duduk dalam teksi bagi perjalanan dari Kluang ke Mersing pada ketika itu. Aku amat kagum dengan Pak Mat, seorang manusia yang ikhlas dan jujur, yang tidak mementing diri sendiri dan tidak mengambil kesempatan ke atas orang lain. Bagiku, Pak Mat seorang pemandu teksi contoh yang boleh menjadi teladan kepada semua pemandu teksi di Malaysia. Kalau ada Anugerah Pemandu Teksi Misali, bagi aku Pak Matlah orangnya.

Berapa orangkah pemandu teksi kita seperti Pak Mat?

Comments: Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]





<< Home

This page is powered by Blogger. Isn't yours?

Subscribe to Posts [Atom]