Wednesday, June 13, 2007

 

SUNATAN @ SUNATHON

Dalam masyarakat Melayu Islam, bersunat atau berkhatan adalah satu peristiwa penting yang mesti dihadapi oleh seseorang kanak-kanak lelaki. Biasanya upacara ini dilakukan pada ketika kanak-kanak itu berusia 10 hingga 12 tahun. Pada kebiasaannya, seseorang kanak-kanak yang berusia dalam lingkungan 10 hingga 12 tahun sudah khatam al-Quran, dan majlis berkhatan disempurnakan sekaligus dengan majlis khatam al-Quran. Kanak-kanak sering dimomokkan bahawa selagi dia tidak khatam al-Quran, dia tidak boleh dikhatankan. Selain memenuhi tunutan agama, berkhatan ini dianggap sebagai lambang menunjukkan zaman peralihan dari kanak-kanak kepada remaja. (Sebenarnya berkhatan juga diperlukan kepada kanak-kanak perempuan, tetapi jarang diperkatakan kerana kelazimannya kanak-kanak perempuan dikhatankan secara senyap-senyap oleh Mak Bidan dalam tempoh kira-kira sebulan selepas kelahirannya.)

Pada awal cuti sekolah yang lepas, ramai kanak-kanak lelaki bersunat atau berkhatan. Berkhatan dilakukan sendirian oleh keluarga atau dibuat secara kumpulan dalam masyarakat. Di setengah-setengah tempat, berkhatan ini dijalankan secara beramai-ramai bertujuan untuk menambahkan kemeriahan dan keseronokan. Ia juga bertujuan untuk mengurangkan rasa cemas atau takut di kalangan mereka yang berkhatan itu.

Kini berkhatan dianggap perkara biasa. Dengan kemudahan kaedah perubatan moden, berkhatan dilakukan dengan mudah dan ringkas oleh doktor bertauliah. Bawalah sahaja anak itu ke hospital atau klinik, dan selepas beberapa minit sahaja hujung kulit di pangkal kemaluan lelaki sudah hilang dipotong menampakkan kepala kemaluan. Sakitnya tidak terasa. Beberapa hari selepas itu luka pada kemaluan pun sembuh. (Tiga orang anak lelakinya dikhatankan oleh Dr. Abdullah di Klinik Abdullah, Ampangan, Seremban dengan bayaran RM 70.00 seorang tanpa sebarang majlis khusus kecuali jamuan makan istimewa pulut kuning dalam keluarga. Dino berkhatan sewaktu usianya 11 tahun, sementara Izwan dan Idham berkhatan serentak sewaktu masing-masing berusia 10 dan 9 tahun.)

Keadaan ini berlainan jika dibandingkan dengan keadaan 50 atau 60 tahun yang lalu. Berkhatan satu peristiwa besar seseorang kanak-kanak yang perlu dibesarkan. Berkhatan disempurnakan oleh seorang yang bergelar Tok Mudim, yang memang terkenal dengan kepakarannya dalam kerja "potong memotong" ini. Tok Mudim akan melaksanakan tugasnya menggunakan kaedah tradisi dengan peralatan-peralatan tertentu yang khusus untuk tujuan tersebut. Oleh kerana bilangananya amat terhad dan pekerjaannya juga dianggap rumit, seseorang Tok Mudim perlu ditempah awal-awal untuk dia menjalankan tugasnya. Dia hanya boleh melaksanakan tugasnya bagi seorang dua sahaja bersunat dalam sehari, dan lazimnya dilakukan pada waktu awal pagi. Tetapi yang lebih utama, berkhatan dilakukan sebagai satu upacara penting dalam hidup seseorang yang disertai oleh upacara-upacara lain yang berkaitan.

Aku teringat bagaimana aku dikhatankan sewaktu umurku 12 tahun pada tahun 1957. Sehari sebelum berkhatan, ibu bapaku membuat kenduri besar menjemput seluruh orang kampung. Balai didirikan. Penanggah juga didirikan. Rewang dijalankan. Pasukan ghazal mengadakan persembahan. Aku dipakaikan bagai seorang pengantin dan kemudian diarak berkompang dan berbunga manggar dari jarak 500 meter dari rumahku. Sampai di halaman rumah, aku disambut bukan sahaja dengan pencak silat, tetapi juga ibuku menaburkan wang syiling lima sen menyebabkan kanak-kanak berebut-rebut untuk mendapatkan syiling-syiling yang bertaburan di atas tanah. Kata ibuku, perbuatannya sebagai tanda kesyukuran kejayaan aku sebagai anaknya dengan meraikan dan memeriahkan kanak-kanak.

Aku dengan dua orang pengapitku terus naik ke atas balai yang sudah penuh dengan para jemputan. Aku masih ingat, Mislan Ithnin dan Tukimin Paijan menjadi pengapitku. (Mereka berdua adalah teman mengaji al-Quran di rumah dan sebaya dari segi umur.) Selepas duduk di tempat yang dikhaskan, aku pun mula membaca ayat-ayat al-Quran yang ditetapkan dalam majlis khatam ql-Quran itu. Tok Imam mengakhiri majlis dengan membaca Doa Khatam al-Quran. Setelah tamat majlis, para jemputan dihidangkan makanan dan berjamu secara ambeng dan pulang dibekalkan dengan bunga telur. Bagi para jemputan terpilih, mereka juga diberi sebungkus barkat (bungkusan nasi lengkap berlauk pauk sebagai buah tangan).

Kemeriahan khatam dan khatan ini sama hebatnya dengan majlis perkahwinan. Barangkali kerana aku anak lelaki tunggal, ibu bapaku menjalankan upacara ini agak berlebihan sedikit. Aku sendiri tidak pasti. Tetapi selepas majlis khatam al-Quran, pada sebelah malamnya, ada lagi majlis lain berlangsung di rumah. Di atas balai, orang-orang lelaki berkompang kemplingan beramai-ramai hingga subuh, semntara di atas rumah, orang perempuan mengadakan majlis berzanji dan marhaban. Memang sungguh meriah. Aku disuruhnya tidur awal. Tetapi bagaimana suruhan itu dapat aku laksanakan dalam suasana kemeriahan begitu rupa. Kemeriahan itu turut menghalang aku daripada tidak turut serta hingga larut malam.

Keesokan subuhnya aku sudah dibangunkan dan diminta berendam di dalam perigi. Sejuknya bukan main. Kononya perbuatan itu bertujuan untuk melembutkan kulit kemaluan aku supaya tidak susah untuk dipotong nanti.

Selepas memakai aku baju kurung baharu dengan kain pelekat baharu, aku pun dibawa ke halaman rumah lalu didudukkan di atas kerusi di atas pangkuan seseorang yang mengangkangkan kedua-dua belah kakiku dan memegang tanganku. Aku tidak ingat siapa yang memangku aku pada ketika itu. Aku diminta pejamkan mata.

Sebaik-baik sahaja mata kupejamkan, bunyi kompang dan orang berselawat pun kedengaran bergema memecah kesunyian pagi. Dalam keadaan riuh rendah yang bercampur baur itu, aku terasa seketika sedikit kepedihan di atas kemaluanku, dan apabila paluan kompnag berhenti aku dimaklumkan bahawa aku sudah selamat dikhatankan. Pada waktu itu, kesakitan tidak terasa sangat. Selepas itu pada setiap pagi dan petang aku merawat lukaku sendiri dengan penuh cermat mengikut arahan ibuku. Antaranya membasuh luka bersih-bersih, menyapu ibu kuning di atas luka dan membalutnya dengan daun sirih yang sudah dilayukan sebelum membungkusnya dengan kain putih. Antara pantang larangnya ialah tidak boleh melanggar bendul pintu. Berkat kesabaran dan ketelatenan merawat luka, seminggu selepas itu, luka pada kemulanku pun sembuh dan aku pun sudah boleh bergerak bebas seperti biasa.

Demikianlah bersunat atau berkhatan secara tradisi yang kini sudah tinggal kenangan sahaja. Aku tidak pasti sama ada masih wujud atau tidak kaedah berkhatan sebegini rupa pada ketika ini. Tok Mudin pun mungkin sudah tidak wujud lagi. Yang pasti, pada percutian sekolah pada bulan Ogos yang akan datang, satu majlis berkhatan beramai-ramai akan diadakan di Endau, Mersing. Aku terlibat dalam aktiviti ini.

Aktiviti ini dianjurkan oleh Persatuan Perubatan Islam Malaysia (Islamic Medical Association of Malaysia), kependekannya IMAM, pada 18 Ogos 2007 dalam satu program khidmat komuniti pada 17 - 20 Ogos 2007. Program ini dinamakan Sunathon 2007, merujuk kepada sunat atau khatan beramai-ramai. Kalau dalam bahasa Jawa dipanggil Suntan sahaja.

Mengikut perancangannya, seramai 100 orang kanak-kanak akan dikhatankan dalam program yang dikelolakan bersama oleh IMAM Cawangan Pelajar Russia dan Institut Integriti, Kepimpinan dan Latihan Semangat (IKLAS) dengan kerjasama Pejabat Daerah Mersing. 200 pelajar perubatan Islam Malaysia yang kini sedang belajar di IPTA di dalam dan di luar negara dan 20 orang doktor bertauliah akan terlibat dalam parogram ini. Anakku Khairil Idham yang kini pelajar perubatan di Russian State Medical University menjadi penyelarasnya.

Semoga program ini berjalan dengan lancar dengan bantuan, sokongan dan kerjasama semua pihak yang berkaitan, dan dengan taufek dan hidayah Allah mudah-mudahan dipermudahkan segala urusan serta terhindar dari sebarang halangan dan kepayahan. Kepada Allah doa dipohonkan dan kepada Allah kami berserah.
Comments: Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]





<< Home

This page is powered by Blogger. Isn't yours?

Subscribe to Posts [Atom]