Tuesday, July 24, 2007

 

AKHBAR SAMPAH

Akhbar berbahasa Melayu pernah memainkan peranan penting meniupkan semangat perjuangan bangsa, mempertahankan maruah dan mendaulatkan kewibawaan. Akhbar Melayu menjadi lidah rasmi bangsa, menuturkan kata-kata bernas yang dapat memimpin bangsa ke arah memantapkan jati diri. Dato' Onn Jaafar bersandarkan akhbar pimpinannya menyatukan bangsa dalam kesatuan yang sejati, di samping "meledakkan jerangkap samar" kepada penjajahan Inggeris. Dan selepas itu, bertahun-tahun lamanya Utusan Melayu menyatukan jiwa raga orang-orang Melayu dalam satu semangat, satu muafakat, satu gerak dan satu tindak.

Sehinggalah Utusan Melayu disaingi dengan UtusanMalaysia yang sifatnya lebih terbuka sebagai sebuah akhbar untuk seluruh penduduk Malaysia berbilang kaum. Lama kelamaan, UtusanMelayu terpinggir dan akhirnya tenggelam bersama-sama tulisan Jawi, kerana kini sifatnya sekadar sisipan mingguan kepada Utusan Malaysia. Di samping itu, Berita Harian pula muncul dan saling mencari tempat bersama-sama Utusan Malaysia.

Kehadiran dua akhbar tulisan Rumi dalam bahasa Melayu serentak merupakan satu perkembangan yang sihat sekiranya semangat keMelayuan terus bertahan. Orang Melayu seharusnya tetap menjaga kepentingan bangsa Melayu. Itu janji Allah. Allah berfirman: "Tidak berubah sesuatu kaum itu kecuali kaum itu sendiri mengubahnya."

Pada peringkat permulaan, kelunturan semangat belum nampak terhakis dengan adanya "orang-orang kuat" di dalam akahbar-akhbar tersebut yang jiwanya dan semangatnya berteraskan Melayu seperti Melan Abdullah, Ibrahim Fikri, A.Samad Ismail, Haron Hasan dan sebagainya.

Sekarang akhbar-akhbar berbahasa Melayu bukan lagi hak orang Melayu, tetapi juga tidak berminat memperjuangkan bangsa Melayu. Sepatah kata A.Samad Ismail sendiri, akhbar-akhbar Melayu kini adalah sampah, yang ceritanya banyak menunjukkan aib orang Melayu sendiri. Hiburan ditonjolkan, pendidikan dipinggirkan. Cerita rogol, mat rempit, ragut, bunuh, buang bayi, berkhalwat dan sebagainya menjadi fokus, sementara kecemerlangan, kemuliaan budi pekerti, semangat juang, memburu ilmu, meningkatkan kemahiran dan sebagainya merupakan cerita-cerita yang jarang disiarkan.

Orang Cina dengan akhbar berbahasa Cina. Orang India dengan akhbar berbahasa India. Di situ jiwa raga dan suara hati mereka. Di situ juga medan perjuangannya. Di samping itu, akhbar-akhbar berbahasa Inggeris juga berpihak kepada mereka - Cina dan India. Apakah akhbar-akhbar berbahasa Melayu juga berpihak kepada Cina dan India? Dan orang Melayu dihidangkan dengan berita, cerita dan rencana sampah, dengan semangat yang habis tertumpah.

Aku merasa amat sedih dan pilu mengenangkan nasib bangsaku di tanahairnya sendiri. Atas nama globalisasi dan libralisasi, maruah bangsa sanggup digadaikan, martabat bangsa sanggup dike sampingkan, perjuangan bangsa bukan landasan.

Wahai pemimpin bangsa, kembalikanlah kecemerlangan akbhar-akhbar berbahasa Melayu sebagai wadah perjuangan bangsa. Sekolahkanlah pendokong akhbar-akhbar tersebut dengan semngat Melayu dan perjuangan Melayu - pengarangnya, wartawannya, editornya, pemberitanya.

Akhbar berbahasa Melayu, di manakah agenda Melayunya?
Comments: Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]





<< Home

This page is powered by Blogger. Isn't yours?

Subscribe to Posts [Atom]