Monday, July 16, 2007

 

ALLERGIC

Aku berpeluang bertemu semula bekas ketuaku di Kementerian Pendidikan, Dato’ Haji Jumaat Mohd. Noor di Seminar Jati Diri Johor pada 6 – 8 Julai 2007 yang lalu. Pada malam perasmian seminar oleh YB Tuan Haji Ahmad Zahri Jamil, kami memakai baju Melayu Teluk Belanga lengkap. Sewaktu bersalaman, dia menegurku dalam ketawa, “Kau berani pakai baju ni ya, Mail? Bagus! Bagus!!”

Aku bertanya hairan, “Kenapa?”

“Di KL ramai orang kita allergic warna hijau,” jawabnya. Aku agak dia merujuk baju Melayu Johor berwarna hijau yang aku pakai itu.

“Kenapa?” soalku lagi buat-buat tidak faham.

“Hijau kan warna PAS. Tak ingat apa dah jadi logo Petronas?”

Kata-kata itu mengingatkan aku tentang polimek berpanjangan warna hijau putih yang terdapat pada logo Petronas. Akhirnya logo itu diubahsuai seperti yang terdapat kini kerana orang-orang UMNO takut logo itu seperti logo bulan PAS.

Aku teringat juga pada suatu peristiwa yang melucukan yang berlaku sewaktu aku bertugas di Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan akhir tahun 1990-an. Sebuah sekolah menengah bersiap sedia untuk menyambut lawatan seorang Perdana Menteri, antaranya dengan mengecat semula bili-bilik darjah yang telah pudar catnya. Tugas mengecat dan memilih warna yang digunakan diserahkan kepada kelas berkenaan.

Dua hari sebelum lawatan, seorang wakil rakyat tempatan yang ada jawatan penting dalam kerajaan Pusat datang meninjau persiapan sekolah. Dia terperanjat besar bagaikan hendak pengsan apabila melihat salah sebuah bilik darjah dicat dengan warna hijau. Dia lantas memberi kelas tersebut wang tunai RM 200.00 untuk membeli cat bagi menukar warna diding kelas tersebut dengan warna selain hijau. Pelik kan? Namun itulah mentaliti pemimpin kita.

Tiga empat hari yang lalu, anakku Idham yang baru balik dari menemui seorang pemimpin UMNO di Putrajaya masuk ke rumah dengan marah-marah. Aku hairan. Tujuannya menemui pemimpin itu untuk mendapatkan pertolongan tajaan bagi program berkhatan beramai-ramai anjuran persatuannya – Persatuan Perubatan Islam Islam – bertukar menjadi perkara lain pula. Tajaan yang diharapkan tidak berapa sen sangat, tetapi pertanyaan pemimpin itu yang bukan-bukan pula. Antaranya dia bertanya, “Kenapa namakan persatuan itu Persatuan Perubatan Islam? Tak boleh Persatuan Perubatan saja? Senang sikit nak beri tajaan.”

Hai, begitukah? Apa silapnaya nama Islam sehingga begitu sangat digeruni? Adakah orang yang beragama Islam cukup allergic dengan nama Islam itu sendiri? Adakah ini mentaliti pemimpin-pemimpin kita yang memperjuangkan Islah Hadhari? Aku amat keliru dibuatnya.

Aku tidak dapat jawapan yang pasti. Tetapi itulah yang kini diperhatikan oleh orang biasa sepertiku terhadap para pemimpin kita. Mereka terlalu allegric dengan nama-nama yang sejati dan sebati dengan dirinya, seperti Melayu, Islam, Bumiputera dan lain-lain. Kalau boleh, mereka tidak mahu menggunakannya. Macam mereka takut dengan bayang-bayang sendiri.

Kritikan ini bukan bermakna aku memusuhi mereka. Aku cuma berharap mereka menjadi pemimpin tulen bangsa dan Negara, yang bukan sahaja ada pendirian, tetapi yang penting, ada ilmu. Kalau tidak ada ilmu, fikirannya bercelaru, keputusannya tidak menentu, rakyat hilang pandu, dan bangsa terkulai layu.Mahukah kita?
Comments: Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]





<< Home

This page is powered by Blogger. Isn't yours?

Subscribe to Posts [Atom]