Thursday, July 26, 2007

 

KANDAS DI TANDAS

Kebelakangan ini aku sering berulang alik dari Johor Bahru ke Mersing kerana urusan program khatan beramai-ramai yang akan diadakan di Endau pada 18 - 21 Ogos akan datang, kelolaan bersama IKLAS dan Persatuan Perubatan Islam Malaysia (Russia Students' Chapter). Program ini dinamakan Sunathon 2007.

Biasanya dalam perjalanan itu aku berhenti di Rehat dan Rawat Jamaluang untuk membasahkan tekak dan menyenangkan diri. kadang-kadang dalam perjalanan pergi, kadang-kadang sewaktu pulang, dan kadang-kadang kedua-dua sewaktu pergi dan kembali. Dua tiga kali berbuat demikian, aku tidak menghadapi apa-apa masalah.

Pada minggu lepas, seperti biasa aku singgah di situ untuk "melawat" tandas dan mengambil wuduk kerana kebetulan waktu itu sudah masuk waktu Maghrib. Sedang aku melangkah ke bilik air, aku mendengar suatu suara dalam gelap, "Encik, kena bayar masuk bilik air."

Aku tidak menghiraukan sangat suara itu. Aku memang tahu bahawa bayaran 20 sen dikenakan untuk masuk ke tandas , kerana ada disediakan mangkok pungutan wang di pintu masuk tandas tersebut dengan kenyataan bayarannya tertampal di dinding. Seperti biasa, aku campakkan wang syiling 20 sen dan terus masuk ke tandas. Aku menghidu bau yang kurang menyenangkan - busuk dan hancing. Biasanya tidak begitu.

Oleh kerana sudah terlalu lama menahan kencing, aku tanpa berlengah memancutkan air kencingku ke mangkuk tandas. Malangnya paipnya tidak keluar air, kecuali ada sebiji beldi yang mengadnungi sedikit air di dalamnya. Air itulah yang aku gunakan untuk membersihkan hadas kecilku.

Lebih malang lagi, apabila aku ingin mengambil air sembahyang di surau brsebelahan, air juga tidak ada. Aku kembali ke sebuah gerai berdekatan dan bertanyakan tempat mengambil wuduk.

"Tak apalah, encik ambil air sembahyang tempat saya ni. " kata seorang perempuan pertengahan umur, yang bekerja gerai itu. Mungkin dia tuan punya gerai tersebut.

"Kenapa?"

"Paip air di surau dah kena potong."

"Kenapa?"

"Inilah masalahnya, encik. Orang yang diamanahkan pungut duit, tak bayar duit air. Bekalan kena potonglah."

"Siapa?"

"Ala, siapa lagi. Orang kitalah. Malas nak cakap."

Dengan hati yang hiba, aku megambil wuduk lalu solat Maghrib. Selepas itu aku duduk makan malam di gerai makcik yang baik hati itu sambil berbual-bual melepaskan lelah dan marah.

Demikianlah kisah bagaimana aku terkandas di tandas. Sebenarnya kisah serupa ini bukanlah kejadian pertama yang kualami di negaraku sendiri. Sudah banyak kali. Kebanyakan disebabkan oleh tandas yang tidak terurus dan kotor dengan bau yang amat tidak menyenangkan hidung. Di tandas awam, di restoran, di kios petrol, di sekolah, malah di masjid dan di surau, kebanyakan tandas bagaikan tidak terurus. Rata-rata kotor dan berbau busuk. Mengapakah begitu?

Berlainan dengan di luar negara, terutama di Canada, Jepun, Singapura dan Amerika Syarikat yang pernah aku lawati. Aku pernah tinggal setahun setengah di Amerika Syarikat bersama-sama keluarga kerana belajar. Dan tandas awam di sana cukup bersih dan kemas, sehinggakan kalau kita hendak sembahyang di dalam tandas, kita semacam tidak merasa ragu-ragu terhadap kebersihannya. Begitu sekali halnya. Sedap mata memandang. Selesa hidung menghidu. Tenang hati dan perasaan.

Aku teringat satu peristiwa yang melucukan. Seorang anakku yang aku masukkan belajar di Tahun Tiga sebuah sekolah rendah di Seremban sekembalinya dari Amerika Syarikat sering ingin segera pulang ke rumah selepas tamat sekolah, semata-mata kerana hendak membuang air kecil yang disimpannya lima enam jam. Sebabnya, dia tidak sanggup membuang air kecing di sekolahnya kerana tandas di sekolahnya kotor dan busuk, berbanding dengan tandas sekolahnya di Amerika Syarikat yang luas, bersih, kemas dan ceria.

Apa yang patut kita buat? Adakan kempen? Adakan kursus khas macam kursus perkahwinan? Kenakah denda? Masukkan dalam kurikulum sekolah?

Aku tidak ada jawapan yang pasti!
Comments: Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]





<< Home

This page is powered by Blogger. Isn't yours?

Subscribe to Posts [Atom]