Tuesday, July 17, 2007

 

KUASA BUKAN UNTUK MENGHUKUM

Beberapa hari lalu sebuah akhbar arus perdana melaporkan betapa seorang exco sebuah kerjaan negeri tergelak besar menerima surat daripada seorang yang sudah letih kononnya menjadi nabi untuk orang Melayu dan mencabar Yang Berhormat ini mencari penggantinya. Aku yang membaca berita itu pun turut tergelak sama.

Esoknya exco yang sama dilaporkan pula dengan kenyataan yang lain. Dia menuduh Ashari Mohamad, bekas pemimpin Al-Arqam menulis buku yang kandungannya untuk menghidupkan semula pertubuhan itu, dan mengagung-agungkan dirinya sendiri. Apabila ditanya pemberita sama ada dia sudah membaca buku tersebut, dia kata dia belum baca lagi, tetapi dengan bangga mengatakan dia yakin bahawa itulah kandungan buku tersebut. Kenyataannya membuatkan aku ketawa lebih besar lagi. Agaknya ketawa aku jauh lebih besar daripada ketawanya. Ashari sendiri pun agaknya turut tergelak besar jika dia membaca berita itu. Ketawa aku bukan kerana aku menyokong Ashari, jauh sekali dari pengikut Al-Arqam. Tetapi yang membuatkan aku ketawa ialah telatah pemimpin politik ini yang membukakan kejahilannya sendiri.

Aku pernah berhadapan dengan situasi yang sama. Aku pernah dituduh komunis semata-mata kerana aku menulis kisah tentang Mat Indera dalam sebuah buku tokoh terbitan organisasi tempat aku bekerja. Tulisanku itu berdasarkan kajian bahan-bahan bercetak dan temu bual serta pemerhatian dan perbandingan. Penasihat penerbitan tersebut, Profesor Emeritus Datuk Abu Bakar Hamid setuju rencana itu diterbitkan bagi menggalakkan orang ramai berfikir, di samping untuk dijadikan asas bagi kajian selanjutnya.

Bukan sebarangan orang yang membuat tuduhan itu. Antara mereka termasuk dua orang yang membuatkan aku bukan tergelak, tetapi sedih sesedih-sedihnya kerana mereka orang yang berilmu dan berkuasa. Seorang yang menuduh itu ialah seorang profesor sejarah, dan seorang lagi ialah senator dengan Ph.D luar negara.

Ramai teman yang membaca tulisanku itu mengucapkan tahniah, kerana menurut mereka, aku melihat kisah Mat Indera dari satu perspektif yang berbeza. Tetapi bagi mereka yang tidak membaca rencanaku mengatakan aku mengagung-agungkan komunis dan menyanjung perjuangannya. Masya-Allah. Tidak ada satu perkataan pun yang dalam tulisanku itu merujuk sebagai mengagungkan komunis, sebaliknya kutukan terhadap komunis yang aku buat. Tulisanku itu sebenarnya mengutuk komunis.

Kebetulan aku bertemu dengan orang yang hebat menghentam aku - seorang profesor sejarah. Aku tanya dia, “Profesor dah baca ke tulisan saya tu?”

“Dah!” jawabnya ringkas.

“Cuba tunjukkan bahagian mana dalam tulisan tu yang saya ni komunis?

Dia jadi teragak-agak dan cuba mengelak. Sebaliknya, dia dengan penuh emosi menceritakan betapa kejamnya Parti Komunis Malaysia membunuh orang dan merosakkan harta benda rakyat. Dan aku akur. "Bapa saya seorang polis pada zaman darurat," dia bercerita hal lain yang tidak ada kaitan dengan persoalan pokok yang kami bincangkan. Dalam hatiku, kenyataan yang mengatakan bahawa bapanya seorang polis itu adakah satu kajian ilmiah? Atau dorongan emosi?

Aku tanya dia, "Adakah saya menceritakan kebaikan Parti Komunis Malaysia, Profesor? Adakah saya menyanjungi mereka? Profesor tunjukkan di mana dalam tulisan saya itu yang saya tidak mengutuk mereka?" Akhirnya dia mengaku bahawa dia sebenarnya belum pun membaca buku yang dirujuknya itu. Dia cuma membaca tajuk tulisan aku itu sahaja. Aku sungguh sedih mendengar jawapannya itu, lantas aku kini hilang penghormatanku tentang kepakarannya sebagai profesor sejarah. Aku menyimpan perasaan curiga terhadapnya. Kata hatiku, rupanya dia tidak ikhlas dalam kerjayanya. Rupanya ada udang di sebalik batu dalam segala usahanya. Maaf, mungkin ini prasangka buruk semata-mata.

Tetapi bagiku, itulah peribadi yang ada pada sebahagian pemimpin kita kini. Mereka menjatuhkan hukuman kepada sesiapa sahaja walaupun tanpa usul periksa. Sebabnya, mereka berkuasa. Memang bukan semuanya begitu, tetapi yang sedikit ini silap-silap boleh menjual negara, menggadai maruah bangsa, tetapi merekalah yang berkuasa. Berapa ramaikah lagi yang begitu?

Ingatanku: Kuasa itu amanah Allah. Kuasa bukan untuk menghukum orang lain sewenang-wenangnya. Gunakanlah kuasa itu dengan berhemah dan penuh keinsafan. Kuasa itu Allah pnjamkan kepada kamu buat sementara waktu sahaja. Peliharalah dengan sempurna. Dan Allah boleh tarik kuasa itu pada bila-bila masa dan memberikannya pula kepada orang lain.

Tetapi yang lebih penting, janganlah jatuhkan orang lain dengan memfitnah semata-mata untuk kepentingan diri sendiri. Sesungguhnya memfitnah lebih jahat daripada membunuh.

Aku merasa betapa kerdilnya ku. Aku insaf. Dalam keinsafan ini, aku muhasabah diri: Berapa banyakkah kuasa yang ada padaku telah aku gunakan untuk menghukum? Sejauh manakah aku sudah menghukum orang lain, termasuk anak-anakku sendiri, tanpa maklumat dan bukti yang sahih dan cukup? Moga-moga Allah ampunkan aku!
Comments: Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]





<< Home

This page is powered by Blogger. Isn't yours?

Subscribe to Posts [Atom]