Monday, July 02, 2007

 

MEMRANGKAI SENI VISUAL




Sejak di sekolah rendah lagi, aku memang berminat dalam seni lukis. Aku menjual beberapa keping lukisanku kepada teman-teman mengaji di rumah dengan harga lima sen sekeping. Lukisan itu disempurnakan dengan pensil warna di atas sekeping kertas lukisan berukuran 6 inci x 6 inci. Sewakatu aku berada dalam Darjah Lima, seorang guru memintaku menyediakan lukisan untuk alat bantu mengajarnya. Seingat aku, aku melukis beberapa ekor binatang secara berasaingan - ayam, lembu, kambing, itik dan lain-lain. Namun minatku dalam lukisan kurang mendapat perhatian daripada bapaku, seorang imam masjid. Menurutnya, melukis manusia dan binatang dilarang. Katanya, makhluk yang dilukis itu nanti meminta kita nyawa. Jadi aku sering am enyorok-nyorok apabila melukis manusia atau haiwan.
Di sekolah menengah aku juga cemerlang dalam seni lukis. Aku beroleh gred A untuk Lukisan dalam SRP, tetapi keputusanku dalam mata pelajaran Lukisan peringkat SPM kurang menyerlah. Entah di mana dan kenapa silapnya, aku cuma mendapat C3.
Sewaktu di Tingkatan Empat dan Tigkatan Lima, aku berjinak-jinak dengan cat minyak. Dan seorang guru penolong kanan bernama Eric Yeow mengupah aku melukis dua lukisan cat minyak untuknya - satau lukisan pemandangan menjemur ikan kering di tepi pantai, dan satu lagi lukisan longgokan buah rambutan yang merah menyala. Semasa Tingkatan Lima di Sekolah Datuk Abdul Razak, Tanjung Malim, aku mendapat tempat pertama dalam Pertandingan Melukis Poster Hari Kemerdekaan bagi daerah Tanjung Malim.
Sewaktu di Tingkatan Enam, Sekolah Alam Shah, Kuala Lumpur, aku menjadi Ahli Jawatankuasa Kelab Seni Lukis. Di situ aku belajar melukis dengan guru seni lukis sekolah yang bernama Idris Salam. Aku terus terlibat dalam bidang seni lukis sewaktu di Maktab Perguruan Lembah Pantai, melalui Kelab Seni Lukis. Dua kali mengambil bahagian dalam pameran lukisan peringkat maktab, dan beberapa buah lukisanku dibeli oleh beberpa orang pensyarah, termasuk Mutapha Kamil Yasin dan Nordin Bachik. Beberapa pelukis MPB kektika itu ialah Sarim Mustajab, Ahmad Sulaiman, Abdul Razak "King", Rahmat Saripan, Haris Fadzilah, Ramli Chik, Ismail Abdullah, Saranom Kalimon, dan Mahmud Naim. Hatiku kembang gembira apabila Syed Ahmad Jamal memuji lukisan abstarakku berjodol Gerak Khas, yang menggambarkan kewujudan rumah-rumah haram di Kampung Kerenchi, Lembah Pantai.
Aku juga turut mengambil bahagian dalam Pameran Lukisan Pelukis-Pelukis Muar pada tahun 1968. Antara yang terlibat dalam pameran tersebut ialah Salleh Hamzah, Ahmad Abas, Abdul Shukor Ismail, dan Kasmin Mohamad. Pada tahun yang sama Majlis Belia Daerah Muar mengadakan pameran dan pertandingan lukisan, dan aku menggondol tiga hadiah pertama untuk lukisan abstark, pemandangan dan gubahan fikiran. Matlob telah menulis tentang diriku dan penglibatanku dalam bidang ini dan disiarkan semuka penuh di Utusan Melayu.
Walaupun aku taerdidik sebagai guru Bahasa Melayu dan Sejarah, minatku dalam seni lukis menyebabkan aku turut mengajar mata pelajaran tersebut apabila aku bertugas di Sekolah Menengah Semerah (1967 - 1967) dan Sekolah Menengah Mantin (1972). Pada ketika itu, aku bercita-cita untuk menjadi seorang pelukis terkenal dan mendalami bidang ini di luar negara. Namun harapan itu tidak kesampaian, dan aku kini menjadikan seni lukis sekadar aktiviti pada masa lapang bagi meluahkan perasaan dan kreativiti.
Apapun, dalam kerjayaku sebagai seorang pendidik, aku pernah mengetui Bidang Seni dan Kesihatan di Pusat Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pendidikan, yang di dalamnya terangkum seni visual. Pada masa itu, aku sempat terlibat dalam penggubalan sukatan pelajaran mata pelajaran Seni Visual Sekolah Menengah dan Sekolah Rendah. Ketika itu aku banyak meanghasilkan logo. Antaranya aku memenangi ciptaan logo untuk Persatuan Perpustakaan Sekolah-Sekolah Negeri Sembilan, dan Yayasan Guru Malaysia. Saya juga diberi peluang mencipta logo Asia Pacific Group UNESCO Paris.
Aku bersyukur beberapa orang anakku kini menyambung minatku dalam diri mereka. Kesemua keempat-empat orang yang mengambil mata pelajaran Pendidikan Seni peringkat SPM telah mendapat A. Mudah-mudahan mereka terus berjaya dan bergembira dengan penglibatan mereka dalam bidang ini.

Comments: Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]





<< Home

This page is powered by Blogger. Isn't yours?

Subscribe to Posts [Atom]