Monday, July 02, 2007

 

SEMINAR JATI DIRI JOHOR

LATAR BELAKANG

Tinggal empat hari lagi Seminar Jati Diri Johor menjelang. Segala perhatian ditumpukan untuk menjayakan program ini, terutama dari segi penyertaan dan kertas kerja. Cemas ada, gementar pun ada. Namun begitu, Yayasan Warisan Johor dan Fakulti Pengurusan dan Pembangunan Sumber Manusia, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang mengelolakan program anjuran Kerajaan Negeri Johor tetap menaruh harapan yang tinggi untuk memastikan kejayaan seminar ini.

Sesungguhnya Johor telah mewarisi sejarah dan tamadun Melayu yang panjang. Ini terserlah dengan pengwujudan Kesultanan Melayu Johor, yang merupakan kesinambungan Kesultanan Melayu Melaka yang musnah disebabkan kehadiran penjajah Portugis pada tahun 1511. Signifikannya, Johor telah mencetuskan suatu tamadun Melayu yang gagah, gemilang dan perkasa dalam semua bidang kehidupan yang diwarisi sehingga kini sebagai jati diri Johor.

Jati diri adalah himpunan segala pengenalan diri yang dikongsi bersama oleh setiap individu dengan orang lain dalam masyarakatnya sejak dilahirkan. Jati diri bukan sekadar berfungsi membentuk kelakuan individu berkaitan dengan kebersamaan dalam kehidupan bermasyarakat, tetapi juga sebagai pendorong, penggerak dan peledak dalam memelihara dan mempertahankan harga diri dan maruah agama, bangsa dan tanah air.

Dalam konteks ini, kefahaman dan penghayatan terhadap pelbagai aspek tentang jati diri Johor perlu diperluas terutama di kalangan anak negeri Johor melalui penyebaran dan pengembangan ilmu. Seminar ini merupakan salah satu usaha bagi mencapai hasrat tersebut.

Sehubungan itu, dalam negara kita menyambut ulang tahun kemerdekaan yang ke-50, adalah amat wajar dan bertepatan sekali Seminar Jati Diri Johor diadakan. Ia adalah suatu manifestasi untuk mempertahankan keperibadian nasional di kalangan rakyat dalam suasana masyarakat dunia sedang diasak dengan ancaman globalisasi.

OBJEKTIF
Untuk mempertemukan para penggiat seni budaya dengan para ilmuan dalam satu kegiatan intelektual.

Untuk mencari kesatuan pemikiran di kalangan para penggiat seni budaya dan para ilmuan tentang jati diri Johor melalui peprbincangan dan percambahan fikiran.

Untuk menghasilkan penulisan ilmiah yang menyeluruh tentang jati diri Johor untuk diterbit dan diedarkan secara meluas di seluruh negara.

Untuk menyokong usaha-usaha kerajaan Johor bagi merealisasikan hasrat membangunkan bandaraya Johor Bahru sebagai Kota Budaya dengan fungsinya sebagai pusat perhimpunan budaya, pusat konvensyen, pusat perdagangan dan pusat pelancongan.

Untuk menanamkan semangat jati diri Johor melalui program pengembangan ilmu yang tersusun dan berterusan.

PEMBENTANGAN
Pengertian dan Konsep Jati Diri Johor – Profesor Datuk Dr. Zainal Kling
Kesultanan dan pemerintahan - Profesor Dr. Abdullah Zakaria Ghazali

Politik – Datuk Johan Jaffar
Pemikiran – Datuk Dr. Hassan Ahmad
Daerah dan Wilayah – Tuan Haji Kassim Thukiman
Penduduk - Profesor Madya Dr. Noriah Mohamad
Kebudayaan - Prof. Emiritus Datuk Abu Bakar Hamid
Sastera dan Persuratan – Tuan Haji Md. Ismail Zamzam
Bahasa – Profesor Dr. Awang Sariyan
Ekonomi – Profesor Madya Dr. Durrishah Idrus
Agama – Professor Dr. Abd. Jalil Borham
Pendidikan - Profesor Dr. Rahimah Abdul Aziz
Sosiobudaya - Profesor Madya Datuk Zainal Abidin Borhan
Busana – Profesor Madya Dr. Siti Zainon Ismail

TARIKH DAN TEMPAT

Seminar ini akan diadakan pada 6 hingga 8 Julai 2007, di Hotel Selesa, Johor Bahru. Dijangka 250 ahli akademik, para ilmuan, penggiat budaya dan pelajar IPT akan menghadiri majlis ilmu ini.



Comments: Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]





<< Home

This page is powered by Blogger. Isn't yours?

Subscribe to Posts [Atom]