Wednesday, July 11, 2007

 

YANG KITA TAK SUKA, ITULAH YANG DATANG MENERPA

Kita tidak suka, tetapi itulah yang datang pada kita.
kita tidak mahu, tetapi itulah yang kita dapat.
Kita tidak hendak, tetapi itulah yang kita miliki.
Sesungguhnya ada yang tersembunyi dari apa yang datang.
Sesungguhnya ada yang terlindung dari apa yang kita dapat.
Sesungguhnya ada yang tersirat dari apa yang kita miliki.
Dan Allah mengajar kita erti bersyukur.
Dan Allah mengajak kita membugar minda fikir.
Kita terus merendah diri bertafakur.
Insya-Allah, kita tidak akan tersungkur.

Aku ingin berkongsi beberapa kisah yang berlaku di sekitar diriku. Pertama, entah kenapa dahulu aku paling benci pada Pusat Perkembangan Kurikulum (PPK). Aku kutuk institusi penting Kementerian Pendidikan itu habis-habisan. Sehinggakan apabila aku ditukarkan bertugas di sana, aku segera ingin menolak. Aku memberontak. Sepanjang aku bertugas itulah kali pertama dan terakhir aku menolak arahan pertukaran. tetapi Datuk Abdul Aziz Ismail (Allahyarham), Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan berjaya memujuk aku. Antara lain, dia berkata kepadaku, "Kau pergi dulu. Tenguk dulu. Kalau tak suka, nanti jumpa saya balik. OK?" Dengan hati yang berat, aku pergi melaporkan diri ke PPK. Sehari ... seminggu ... sebulan ... setahun ... aku mula seronok da bahagia bertugas di situ. Akhirnya aku bertugas di PPK selama sebelas tahun, satu tempoh yang paling panjang dalam perkhidmatanku dengan kerajaan. Aku gembira dapat bertugas di situ walaupun aku terpaksa setiap hari berulang alik dari Seremban ke Kuala Lumpur.

Kedua, Semasa remaja aku sering disogokkan dengan cerita-cerita negatif tentang Negeri Sembilan, adat istiadatnya dan orang-orangnya. Antara kata-kata yang menghantui aku termasuk: "Jangan kahwin orang Negeri Sembilan, nanti harta kamu habis dikikis dan kamu keluar rumah sehelai sepinggang. Jangan kahwin orang Negeri Sembilan, nanti kamu kena masuk suku. Jangan kahwin orang Negeri Sembilan, nanti kau diguna-guna. Jangan makan makanan di Negeri Sembilan, nanti kamu kena santau. Ingat pantun orang Jelebu?"

Ke Jolabak ke Jolobu;
Tuai padi tiga tangkai.
Bila terkeno komat Jelebu;
Kalau tak mati, badan merasai.

Justeru aku memang tak ingin berkahwin dengan orang Negeri Sembilan. Tetapi apa yang berlaku? Aku diperintahkan bertugas ke Negeri Sembilan selesai sahaja pengajianku di Universiti Malaya, walaupun aku memohon penempatan ke Johor atau Melaka. Bayangkan, semua teman sengeri balik bertugas ke Johor, aku seorang terpelanting ke Negeri Sembilan. Tetapi di Negeri Sembilan itulah aku segera mendaki kejayaan kerjayaku, dan kemudiannya aku meniti usia dewasa, berkahwin dan berkeluarga dengan orang Negeri Sembilan dan seterusnya bermustautin di sana. Pelik bukan?

Ketiga, menurut cerita isteriku, dia semasa kecil amat benci dan meluat dengan orang keturunan Jawa, kerana kebetulan di kampungnya ada satu keluarga Jawa yang amat daif dan merempat. Dalam hatinya dia menyimpan satu azam bahawa dia tidak pernah ingin untuk bersuamikan sesiapa daripada keturunan Jawa. Selisih malaikat 44, katanya. Entah di mana silap agaknya, keturunan Jawa yang dibenci itu kini menjadi teman sebiliknya sejak 32 tahun yang lalu, sehingga bersamanya dia menjadi ibu kepada tujuh orang anak.

Demikian kebesaran Allah. sebabnya barangkali kita disuruh bersederhana dalam kehidupan kita. Kalau sayang, jangan melampau-lampau sayang. Entah esok atau lusa, kita naik benci. Tetapi kalau benci, jangan melampau-lampau benci. Entah esok atau lusa, kita jatuh sayang.

Itulah kenikmatan yang Allah beri kepada kita. Kita syukur!
Comments: Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]





<< Home

This page is powered by Blogger. Isn't yours?

Subscribe to Posts [Atom]