Wednesday, August 29, 2007

 

BENDERA KITA (2)

Bendera kita, bendera negara Malaysia dinamakan Jalur Gemilang. Sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-50 Kemerdekaan, kempen secara besar-besaran dilancarkan supaya Jalur Gemilang dikibarkan di rumah kediaman dan di bangunan sektor awam, sektor swasta dan sektor kesukarelaan, serta di kenderaan awam dan persendirian. Malah di mana-mana tempat yang sesuai, rakyat diminta untuk menghiasinya dengan Jalur Gemilang.

Aku menyambut seruan itu dengan mengibarkan dua Jalur Gemilang di rumahku di Seremban – satu di pintu pagar dan satu lagi di anjung rumah. Rumah-rumah jiranku juga kelihatan terkibar Jalur Gemilang. Aku juga memasang Jalur Gemilang di keretaku, namun bendera itu sekadar sempat berada di keretaku beberapa jam kerana melayang diterbangkan angin. Tahun lepas pun aku mengalami masalah yang sama. Selain diterbangkan angin, ada juga Jalur Gemilang yang aku pasang di kereta kelihatan sudah lusuh walaupun baharu beberapa jam dipasang.

Mengikut pengamatanku, sambutan orang ramai terhadap pengibaran Jalur Gemilang dianggap amat dingin. Keghairahan memasang di kereta tidak begitu jelas kelihatan. Aku tak pasti sama ada hal ini disebabkan oleh masalah yang serupa seperti yang aku hadapi, atau kerana tidak banyak pihak menawarkan Jalur Gemilang secara percuma, atau kerana sikap tidak peduli.

Jalur Gemilang di bangunan-bangunan juga agak kurang, terutama di rumah kediaman. Masih juga nterdapat di sana sini, Jalur Gemilang yang sudah lusuh dan kayak rabak terkibar dengan megahnya, seolah-olah melambangkan betapa hancurnya negara yang diwakilinya. Kenapa? Adakah tidak peka?

Aku juga melihat betapa Jalur Gemilang dikibarkan pelbagai cara. Dan yang bertambah pelik dalam hatiku, ada pula Jalur Gemilang yang diubahsuai susunannya, yang melibatkan keududukan bulan bintang dan penggunaan warna biru. Adakah bendera ini dapat kita namakan Jalur Gemilang?

Jalur Gemilang adalah lambang negara, lambang bangsa, lambang agama, dan lambang ketuanan negara. Jaur Gemilang tidak sewajarnya diubahsuai mengikut selera, sebab dengan berbuat demikian, kita sudah tidak menghormatinya. Saiznya pasti boleh dibuat mengikut keperluan, tetapi bukan susunan warna dan reka letak gubahannya.

Siapakah yang hendak dipersalahkan?
Comments: Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]





<< Home

This page is powered by Blogger. Isn't yours?

Subscribe to Posts [Atom]