Wednesday, August 29, 2007

 

BENDERA KITA

Bendera Malaysia

Manusia merasakan perlunya satu simbol atau lambang sebagai tanda dirinya, keluarganya dan negaranya. Simbol-simbol tersebut mempunyai berbagai-bagai bentuk di mana salah satu daripadanya ialah bendera. Bendera telah digunakan semenjak kurun ke 16 dalam bentuk, saiz, warna dan reka bentuk yang berbeza-beza. Penggunaan bendera yang awal dapat dikesan ialah bendera yang digunakan pada tahun 1122 sebelum Masihi oleh Maharaja Chou di China. Maharaja Chou iaitu Pengasas Dinasti Chou menggunakan bendera atau banner berwarna putih.
Dalam bahasa Inggerisnya, perkataan Flag berasal dari perkataan Old Saxon atau German, Flaken atau Fleogan yang membawa maksud mengibarkan atau mengapungkan di atas angin. Bagaimanapun kini perkataan bendera dikhususkan kepada bentuk kain yang dikibarkan dari tiang yang tegak (Vartical Staff) .

Hari ini bendera adalah lambang kewujudan dan kedaulatan sesebuah wilayah, negeri atau negara. Bendera berkait rapat dengan semangat patriotik dalam mempertahankan maruah bangsa, agama dan negara. Pujangga pernah berkata “ Bendera adalah suatu perkara yang mudah iaitu tidak lebih daripada secebis kain berwarna. Walau bagaimanapun kerananya manusia sanggup bermati-matian.

Sejarah Bendera Persekutuan Tanah Melayu

Merdeka, Merdeka, Merdeka ! – Tepat jam 12.00 malam 30 Ogos 1957 bertempat di Padang Kelab Selangor bendera Union Jack diturunkan dan Bendera Persekutuan Tanah Melayu dinaikkan dengan penuh kegemilangan, melambangkan kemerdekaan Negara yang tercinta. Beribu-ribu rakyat dari pelbagai lapisan masyarakat dan bangsa serta pejuang-pejuang kemerdekaan menyaksikan peristiwa tersebut dengan penuh rasa bangga .

Sejarah penerimaan bendera Persekutuan Tanah Melayu ialah melalui perjanjian dengan Majlis Raja-raja di mana sebuah Jawatankuasa telah ditubuhkan dalam tahun 1949 untuk menimbang dan membuat perakuan berhubung dengan reka bentuk Bendera Persekutuan Tanah Melayu.
Satu Pertandingan Peringkat Kebangsaan telah diadakan bagi memilih Bendera Persekutuan Tanah Melayu yang baru. Pertandingan ini diadakan oleh Majlis Perundangan Persekutuan dalam tahun 1949. Sebanyak 373 karyawan telah mengambil bahagian di mana tiga reka bentuk bendera dipilih ke peringkat akhir. Reka bentuk pertama ialah lambing keris bersilang di tengah-tengah dengan dikelilingi oleh 11 bintang pecah lima. Reka bentuk kedua hampir serupa dengan reka bentuk pertama kecuali 11 bintang pecah lima itu disusun dalam bulatan mengelilingi Keris bersilang tersebut. Reka bentuk ketiga ialah 11 jalur biru-putih dengan Bulan Bintang berwarna kuning di bahagian tepi kiri.

Majlis Perundangan Persekutuan menjemput orang ramai memberikan pendapat kepada ketiga-tiga reka bentuk tersebut. Pendapat umum itu telah dikelolakan oleh akhbar The Malay Mail. Keputusan akhir yang disiarkan pada 28 November 1949 menunjukkan majoriti orang ramai memilih reka bentuk ketiga. Reka bentuk tersebut adalah ciptaan seorang Arkitek Kerajaan Johor iaitu Encik Mohamad bin Hamzah. Reka bentuk bendera tersebut dengan beberapa pindaan telah mendapat perkenan Mesyuarat Majlis Raja-raja pada 22 dan 23 Februari 1950. Pada 19 April 1950 Majlis Perundangan Persekutuan telah meluluskan usul yang dibentangkan oleh Pemangku Ketua Setiausaha Negara seperti berikut:

That in the opinion of this Council, the Flag of the Federation of Malaya should be as follows:-
“Eleven horizontal stripes alternately red and white in colour. The uppermost stripes being red, having a blue quarter with a cresent and eleven-pointed star in yellow superimposed, the standard size of the flag to be six feet by three feet.”


Reka bentuk bendera tersebut telah mendapat kelulusan King Gerge VI pada 19 Mei 1950. Pertama kali Bendera persekutuan Tanah Melayu dikibarkan ialah dalam satu majlis menaikkan bendera tersebut yang dianjurkan oleh Persuruhjaya Tinggi British pada 26 Mei 1950 di perkarangan Istana Sultan Selnagor dengan dihadiri oleh D.Y.M.M. Raja-raja Melayu dan Pegawai-pegawai King George VI.

Sejarah Bendera Malaysia

Bendera Malaysia adalah dari Bendera Persekutuan Tanah Melayu. Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu dan Tuan-Tuan Yang Terutama Gabenor-Gabenor dalam satu Persidangan Majlis Raja-Raja menjelang pembentukan Malaysia telah memperkenankan iaitu reka bentuk Bendera Malaysia Hendaklah mengikut reka bentuk Bendera Persekutuan Tanah Melayu dengan pengubahsuaian pada bilangan jalur-jalur dan bintang pecah 14 bagi menunjukkan 14 buah negeri baru bagi Persekutuan Malaysia.

Percantuman Sabah, Sarawak dan Singapura dengan Persekutuan Tanah Melayu telah melahirkan sebuah Negara baru iaitu Malaysia. Bendera Malaysia telah dikibarkan dengan rasminya di seluruh Negara untuk melambangkan lahirnya Malaysia pada 16 September, 1963.
Sungguhpun Singapura berpisah daripada Malaysia pada 9 Ogos 1965, namun jalur-jalur dan bintang pecah 14 terus dikekalkan hingga sekarang. Kini jalur-jalur dan bintang pecah 14 itu membawa maksud keanggotaan yang sama dalam Persekutuan 13 buah negeri dan Kerajaan Persekutuan.

Hak mengebarkan Bendera

Bendera adalah hak mutlak rakyat Malaysia. Sesiapa juga boleh mengibarkannya asalkan ianya dikibarkan mengikut amalan-amalan biasa mengibarkan bendera seperti tempat, masa, kedudukan saiz, tiang dan bendera serta susunan bendera sekiranya dikibarkan lebih daripada satu jenis bendera.

Pejabat-pejabat Kerajaan Persekutuan, badan-badan Berkanun Persekutuan, Pihak Berkuasa Kerajaan Tempatan Persekutuan diwajibkan mengibarkan bendera Persekutuan seperti diarahkan melalui Surat Pekeliling Am Bil. 3 tahun 1994.

Selain dari agensi-agensi Kerajaan dan rakyat biasa, pertubuhan dan persatuan sukarela, syarikat-syarikat gedung-gedung perniagaan, kedai-kedai dan gerai-gerai juga digalakkan mengibarkan Bendera Persekutuan sama seperti agensi-agensi Kerajaan.

Jenis-Jenis Bendera

Bendera boleh dibahagi kepada 5 jenis:
i) Bendera Persekutuan - Malaysia;
ii) Bendera Negeri-negeri dalam Malaysia;
iii) Bendera Wilayah-wilayah Persekutuan;
iv) Bendera Institusi – kementerian, Jabatan, Badan Berkanun, Syarikat, Pertubuhan, Persatuan dan lain-lain; dan
v) Bendera Peribadi – Seri paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong, Seri Paduka Baginda dan D.Y.T.M. Raja Muda/Tengku Mahkota.

Terminologi Bendera

Mengikut amalan antarabangsa, bendera boleh dibahagikan kepada beberapa bahagian iaitu:
i) Lebar (Width)
ii) Panjang (length)
iii) Bahagian Biru Tua (Canton)
iv) bahagian Atas (Top/Head)
v) Bahagian Bawah (Bottom/Foot)
vi) Kepala (Hoist)
vii) Ekor (Fly)

Ukuran Bendera

Bendera mempunyai berbagai-bagai ukuran bergantung kepada tujuan kegunaannya dan di mana ianya hendak dikibarkan.

i) Bendera Biasa (Standard)
Lebar - 91.5 sm (3 kaki)
Panjang - 183 sm (6 kaki)

Bendera ukuran inilah yang dikibarkan di bangunan, pejabat dan boleh juga dikibarkan di rumah-rumah.

ii) Bendera Rumah
Lebar - 61 sm (2 kaki)
Panjang - 122 sm (4 kaki)

Bendera ukuran ini dikhususkan untuk kegunaan rumah-rumah kediaman di mana saiz dan ketinggian tiang-tiang bendera yang dapat digunakan adalah terhad.

iii) Bendera Sedang
Lebar - 122 sm (4 kaki)
Panjang - 244 sm (8 kaki)
Bendera berukuran di atas digunakan sebagai penutup keranda bagi mereka yang 'mendapat penghormatan' Negara.

iv) Bendera Besar

Lebar - 183 sm (6 kaki)
Panjang - 366 sm (12 kaki)
Bendera Besar dikibarkan di Kedutaan-kedutaan Negara kita di luar Negara. Dalam negeri ianya dikibarkan di tempat-tempat tertentu sahaja. Untuk mengibarkan Bendera Besar ketinggian tiang bendera hendaklah bersesuaian.

v) Bendera Meja

Lebar - 15.25 sm (0.5 kaki)
Panjang - 30.50 sm (1 kaki)
Bendera ukuran inilah yang digunakan untuk bendera yang diletakkan di atas meja. Ianya digunakan di persidangan, seminar, mesyuarat dan majlis-majlis menandatangani perjanjian.

vi) Bendera Kereta

Lebar - 15.25 sm (0.5 kaki)
Panjang - 30.50 sm (1 kaki)

Bendera Kereta dikibarkan di bahagian hadapan kereta sama ada di tengah-tengah, di hadapan kanan atau kiri kereta. Amalan menggunakan Bendera Kereta hanyalah dikhaskan kepada pembesar-pembesar tertentu sahaja iaitu:

i) Seri paduka Baginda Yang di Pertuan Agong dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri
ii) Pelawat-pelawat Negara asing yang mendapat taraf Tetamu Negara/Kerajaan (Bendera Peribadi atau Bendera masing-masing)
iii) Duta-duta Negara Asing di Malaysia (Bendera Negara masing-masing)
iv) Pegawai-pegawai Angkatan Tentera dan Polis Di Raja Malaysia (Bendera Tentera atau Polis DI Raja)

Tiang Bendera

Tiang-tiang yang akan digunakan bagi mengibarkan bendera-bendera hendaklah bersesuaian dari segi ketinggian dan lilitan dengan ukuran bendera. Bendera Besar tidak sesuai dikibarkan pada tiang yang rendah dan kecil. Ketinggian dan lilitan tiang bagi beberapa ukuran bendera disenaraikan seperti berikut:
Bil
Ukuran Bendera
Ukuran
Tinggi
Garis Pusat
1.
Bendera Biasa
(Luar Bangunan)
(Dalam Bangunan)

610.00 sm (20')

7.6 sm (3")
2.
Bendera Biasa
(Luar Bangunan Kekal)
(Dalam Bangunan Tidak Kekal)

610.00 sm (20')
305.00 sm (10')

7.6 sm (3")
3.8 sm (1.5")
3.
Bendera Sedang
915.00 sm (30')
7.6 sm (3")
4.
Bendera Besar
1,220.00 sm (40')
15.2 sm (6")
5.
Bendera Meja
40.00 sm (15.75")
1 sm (3/8")
6.
Bendera Kereta
40.00 sm (15.75")
1 sm (3/8")

Cara-Cara Mengebarkan Bendera

Adab Dan Tertib
Bendera adalah lambing kebesaran dan kedaulatan Negara. Oleh yang demikian menarik dan menurunkannya hendaklah dalam keadaan dan cara yang sopan. Cara-cara yang sesuai ialah:

i) Sebelum menaikkan bendera ujilah tali temali bendera terlebih dahulu bagi memastikan ianya teguh dan tidak mudah putus hingga menyebabkan benderanya jatuh atau melampai tidak tentu arahnya.

ii) Sebelum bendera dinaikkan, pastikan ianya dalam keadaan yang baik.

iii) Mereka yang akan menarik dan menurunkan bendera hendaklah berpakaian kemas.

iv) Menaik dan menurunkan bendera hendaklah dengan tertib iaitu perlahan-lahan. Apabila mengibarkan bendera separuh tiang, bendera hendaklah dinaikkan sepenuhnya dahulu dan kemudian menurunkannya semula ke separuh tiang. Apabila menurunkan bendera separuh tiang, langkah pertama ialah menaikkan semula bendera tersebut sepenuhnya dan kemudian menurunkannya terus.

v) Bendera janganlah diletakkan di tanah semasa hendak menaikkannya.

vi) Bendera janganlah dibiarkan meleret ke tanah sewaktu menurunkannya tetapi hendaklah ditatang atau diselempangkan ke habu apabila ia sampai ke bawah.

vii) Selepas digunakan bendera hendaklah dilipat dan disimpan dengan baik di tempat tertentu supaya tidak dilangkah dan sebagainya.

viii) Bendera tidak seharusnya digunakan untuk mengalas meja atau menutup sesuatu melainkan sebagai memberi kehormatan Negara seperti menutup keranda dalam Istiadat Permakaman / Pengebumian Negara.

ix) Bendera yang koyak dan telah bertukar warna adalah dianggap sebagai bendera yang uzur. Bendera yang uzur hendaklah tidak dikibarkan kerana pengibarannya menunjukkan tanda tidak hormat. Ianya hendaklah dimusnahkan dengan cara yang sopan. Caranya ialah dengan membakar bendera tersebut secara tertutup tanpa menunjukkan rasa tidak hormat kepada bendera tersebut.

Petikan daripada Buku Bendera, Lambang dan Lagu Kebesaran Negeri-Negeri Di Malaysia Oleh Lim Kim Wah (Bahagian Penerbitan Jabatan Penerangan Malaysia)
Comments: Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]





<< Home

This page is powered by Blogger. Isn't yours?

Subscribe to Posts [Atom]