Tuesday, August 07, 2007

 

MENTALITI SUBSIDI

Sejak tahun 2001 IKLAS merancang mengadakan kursus kepimpinan Orang Asli, namun usaha tersebut hingga kini belum kesampaian. Pada mulanya IKLAS sendiri merancang untuk mengadakan kursus tersebut dengan kerjasama dan sokongan Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA). Sokongan JHEOA amat padu dan memberangsangkan, namun pada akhirnya kursus yang dirancang itu terpaksa ditangguhkan beberapa kali, dan akhirnya dibatalkan terus. Dua tahun kebelakangan in, IKLAS membuat strategi terbalik pula, iaitu dengan meletakkan JHEOA sebagai "pemain utama" dengan IKLAS sebagai penyokong. Namun pengalaman terdahulu masih menghantui menyebabkan kursus ini ditangguhkan. Kursus tahun lepas ditangguhkan ke tahun ini, dan kursus tahun ini sering tertangguh beberapa bulan. Kalau segala-galanya berjalan dengan lancar, pertengahan bulan Disembr nanti kursus itu dijalankan setelah lima kali bertangguh.

Apakah sebabnya? Tidak lain dan tidak bukan ialah soal kewangan. Bukanlah kerana kewangan untuk menganjurkan kursus itu menjadi masalah, tetapi lebih kepada bagaimana kewangan dibelanjakan. Itu masalahnya. Bayangkan, apakah akan terjadi kepada pemimpin dalam tugas-tugas kepimpinannya sekiranya setiap gerak dan langkah perlu dibayar, dan perkhidmatan sewajarnya perlu disediakan. Kenderaan perlu disediakan di depan tangga rumah, imbuhan hilang pendapatan harus diganti, makan minum dan tidur baring sepanjang kursus perlu ditanggung, makan minum anak isteri yang ditinggalkan perlu diambil perhatian, dan sebagainya.

Sebenarnya segala keperluan itu dapat disediakan kewangannya. Tetapi yang menjadi persoalan, sejauh manakah budaya subsidi ini perlu berlanjutan. Kita mahu menolong Orang Asli berubah selaras dengan perubahan dan kemajuan, terutama dari segi ilmu dan kemahiran. Tetapi sekiranya semuanya perlu dibayar, bilakah akan berakhir budaya begini?

Baru-baru ini Jabatan Agama Johor mengadakan kursus khas untuk Orang Asli. Mengikut berita yang tersiar, kursus tersebut dianggap berjaya. Namun aku masih tertanya-tanya. Sejauha manakah kejayaan yang dicapai, sedangkan Tok Batin yang hadir kursus dibayar RM 600.00 seorang, sementara Ahli Jawatanakuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung dibayar RM45.00 seorang? Aku tidak ada jawapan.

Ini cerita tentang Orang Asli? Bagaimana cerita tentnag orang Melayu sendiri?

Baru-baru ini, dengan bantuan orang dalam, isteriku berpeluang mengikuti kursus pembuatan coklat selama empat hari di Bandar Baru Bagi anjuran Kementerian Luar Bandar dan Wilayah. Mengikut isteriku, kursus yang dihadiri oleh seramai 20 orang itu memang amat baik dan bermanfaat. Namun siapakah yang mengikutinya? Penilaian oleh isteriku menunjukkan para peserta seolah-olah diambil secara tanagkap muat dari sesiapa sahaja di luar bandar, termasuk dari Kelantan, Pahang dan Trengganu, kemudian disediakan segala-galanya seperti pengangkutan, makan minum dan tidur. Malah peralatan berkaitan dengan pembuatan coklat pun diberikan secara percuma.

Selepas itu? Barangkali Kementerian Luar Bandara dan Wilayah akan melaporkan bahawa kursus telah selamat dijalankan dengan belanja sekian sekian banyak, supaya tahun depan dan tahun-tahun berikutnya dapat merancang lagi. Tetapi apakah halnya mereka yang telah mengikuti kursus? Apakah tindakan mereka selanjutnya? Mereka sendiri khabarnya tak tahu apa hendak dilakukan. Mereka mungkin menunggu kursus lain ...

Orang Melayu memang kurang atau tidak ada modal untuk berniaga. Kenapa tidak difikirkan cara mudah untuk memanfaatkan kemahiran dalam pembuatan coklat ini misalnya dalam dunia perniagaan. Beri mereka modal dan suruh mereka hasilkan coklat. Ambil coklat yang dihasilkan dan tolong pasarkan, sebab si pembuat sudah pasti tidak ada pengalaman dan kemahiran dari segi pemasaran. FAMA yang diwujudkan untuk memasarkan produk pertanian tidak berbuat demikian, sebaliknya FAMA sendiri memasarkan hasil keluaran sendiri. Jadi, apa sudah berlaku?

Aku kadang-kadang merasa hiba juga apabila mendapat perkhabaran bahawa anakku yang bekerja di sebuah kementerian tidak menang tangan membuat kertaskerja demi kertaskerja. Aku sering bertanya sendiran: Apakah matlamat dan hasil jangka panjang daripada perkara-perkara yang dikemukakan dalam kertaskerja itu?

Aku sekadar mengeluh, dan sebab itu jawapannya tidak pernah muncul. Namun sesuai dengan 50 tahun negara menyambut kemerdekaan, sejauh mana menteliti sabsidi ini terhakis daripada menjadi budaya orang Melayu?
Comments: Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]





<< Home

This page is powered by Blogger. Isn't yours?

Subscribe to Posts [Atom]